Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Ngopi’ selepas jalan-jalan di MacRitchie, nikmati ‘yakiniku’ di tepi pantai
‘Ngopi’ selepas jalan-jalan di MacRitchie, nikmati ‘yakiniku’ di tepi pantai
Pelbagai idea santapan sambil bersantai sempena cuti sekolah Jun
‘Ngopi’ selepas jalan-jalan di MacRitchie, nikmati ‘yakiniku’ di tepi pantai
Musim cuti sekolah Jun sudah tiba dan bagi sesiapa yang mencari idea untuk meluangkan masa bermutu bersama keluarga atau rakan-rakan, Kaki Makan, tampil dengan beberapa cadangan tempat makan menarik yang bukan sahaja menawarkan hidangan lazat, malah boleh digabungkan dengan pelbagai kegiatan, di sekitar Singapura.
The Mad Sailors
Jenama The Mad Sailors oleh The Black Hole Group terkenal dengan hidangan ikan dan kentang goreng, fish and chips.
Selepas menutup restorannya di Haji Lane pada 2022, kemunculan semula jenama ini pada Mei disambut baik pelanggan yang merindui hidangan mereka.
Bagi sesiapa yang ingin meluangkan masa meneroka kawasan Kampong Gelam, Arab Street dan Haji Lane, The Mad Sailors boleh menjadi lokasi persinggahan untuk makan tengah hari atau makan malam.
Antara tarikan utama The Mad Sailors ialah kentang dipotong menggunakan tangan yang kemudian dimasak tiga kali.
Pilihan ikan ‘hoke’, berharga, $15.90, menawarkan isi ikan yang lembut dan ringan; manakala ikan halibut, $18.90, pula mempunyai tekstur lebih pejal dengan rasa sedikit berlemak.
Hidangan fish and chips boleh dipadankan bersama kubis Brussel, $8.90, yang digoreng rangup dengan sos balsamic; sup kerang berkrim, clam chowder, $9.90; serta puding kastard pisang, Banana Custard Pudding, ($8.90), sebagai pencuci mulut.
Alamat: 778 North Bridge Road, Singapura 198746
GENI
Diasaskan dua bekas cef The Black Hole Group, Cef Muhammad Zulfadli Normedi dan Cef Muhammad Fadzil Abdul Kadir, GENI mengetengahkan konsep masakan Melayu dengan cita rasa Nusantara.
Makanan mereka sesuai dijadikan santapan keluarga di rumah, perkelahan atau jamuan kecil bersama rakan-rakan kerana kebanyakan hidangan direka untuk dikongsi.
Antara yang menarik ialah nasi campur NASCAM Garing Madura Fried Tripe, $10.90, yang menampilkan babat lembu Madura yang digoreng sehingga rangup keemasan.
Mereka yang mahukan pilihan tanpa daging boleh mencuba NASCAM Garing Jackfruit Gudeg, pada harga $11.90.
Hidangan itu menampilkan nangka muda yang dimasak perlahan bersama rempah gudeg yang terkenal dengan masakan Jawa.
Namun, tarikan utama GENI terletak pada hidangan, Nasi Mangkreng, yang direka untuk dikongsi bersama ramai dengan pilihan untuk dua dan empat orang.
Set Nasi Mangkreng Iga Opor Hijau, $47, mempunyai iga atau tulang rusuk lembu, yang dimasak dalam kuah opor hijau berlemak.
Setiap set Nasi Mangkreng dipadankan dengan pelbagai lauk sampingan seperti babat goreng Madura, udang sambal Kalimantan, lemak pucuk paku, urap timun, ulam raja, ikan kering dan sambal belacan mangga.
Terdapat juga pilihan Nasi Mangkreng lain, seperti ayam bakar pada harga $35 dan ikan bakar Jimbaran, $42.
Makanan boleh dipesan melalui Instagram, menerusi pautan yang dimuat naik di akaun GENI.
The Meatery
Jika anda merancang berkelah di tepi pantai bersama keluarga atau rakan-rakan sempena cuti sekolah ini, The Meatery, menawarkan pengalaman menikmati hidangan daging panggang menawarkan gaya yakiniku.
Set Wagyu Yakiniku, $88, yang sesuai untuk tiga hingga empat orang, didatangkan dengan pelbagai potongan wagyu premium seperti Tokujo Karubi, Kainomi dan Ichibo, lengkap dengan sos pencecah dan perasa.
Anda hanya perlu menggunakan pemanggang yang sedia ada di rumah atau gril pakai buang yang boleh dipesan di platform e-dagang seperti Shopee, untuk menikmati pengalaman memanggang daging segar di lokasi pilihan.
Yakiniku boleh dipadankan dengan nasi Jepun, cendawan, zukini atau lada benggala, untuk hidangan lebih lengkap dan memuaskan.
Harga satu set yakiniku dijual pada harga serendah $48.
Alamat: 10 Jalan Gelenggang, Singapura 578191
Pocketza by The Fluffy Chef
Selepas menutup kedai fizikal The Fluffy Chef pada Februari lalu, pemiliknya, Cik Zarifah Abdul Rashid, kembali dengan konsep baharu dikenali sebagai Pocketza.
Buat masa ini, beliau menjalankan ‘pop-up’ di Curbside Crafters, 730 North Bridge Road, sehingga 4 Julai sambil mencari lokasi tetap untuk perniagaan tersebut.
Menariknya, Pocketza lahir hasil permintaan pelanggan setia yang merindui piza sourdough.
Idea Pocketza sebenarnya diperkenalkan sejak 2024, ketika Bazar Ramadan Kampong Gelam menerima sambutan menggalakkan.
Bagi mereka yang merancang berkelah di taman, seperti di Taman East Coast atau Gardens by the Bay, Pocketza boleh dijadikan pilihan makanan mudah dibawa.
Saiznya kompak memudahkan ia dinikmati ketika beriadah tanpa perlu menggunakan pinggan atau peralatan tambahan.
Antara pilihan menarik termasuk Rendang Dendang, $13, yang menggabungkan rendang daging kisar bersama keju mozarela; hidangan ayam, Spicy Chicken Arrabiata, $12, yang pedas; serta Pesto Burrata, $12, yang rasanya lebih segar dengan gabungan pes pesto, sayur arugula dan keju burrata.
Selain itu, pengunjung boleh mencuba piza 11 inci, Panuzzo Loaded Beef, $15, atau piza sourdough seperti Truffle Brisket, $16, dan Honey Pepperoni, $14.
Alamat: 730 North Bridge Road, Singapura 198698
Woodlands Sourdough
Setelah penat mendaki di Kolam Air MacRitchie, pelanggan boleh menikmati sarapan lewat pagi atau brunch di Woodlands Sourdough.
Terletak di Upper Thomson Road, kedai ini terkenal dalam kalangan peminat sourdough.
Ia diasaskan pasangan suami isteri, Encik Chalith Kariyawasam, dan Cik Nurhasanah Johari, yang meninggalkan kerjaya sebagai jurutera untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada dunia pembuatan roti.
Walaupun tidak menyediakan ruang makan, pelbagai pilihan roti boleh dibawa pulang atau dinikmati di sekitar kawasan itu.
Selain roti sourdough klasik, pelanggan boleh menemui pilihan bermusim seperti kek kurma, Palestinian Medjool Date Cake with Labneh Frosting; kroisan keju, Zaatar Cheese Croissant; biskut, Berry Cookie; dan kek, Lime Buttermilk Bundt Cake.
Mereka turut menawarkan sandwic sourdough, croissant sourdough, dan minuman, Iced Honeycomb Oat Latte, yang sesuai dinikmati selepas berjalan kaki di kawasan MacRitchie.
Harga hidangan yang dijual di Woodlands Sourdough bermula daripada $4 ke atas.
Alamat: 183 Upper Thomson Road, #01-03, Singapura 574332
Factory Block di New Bahru, River Valley
New Bahru menawarkan pengalaman makan dan kegiatan dalam satu tempat.
Ia terletak dalam bangunan bekas Sekolah Tinggi Nan Chiau yang dipulihara.
Kawasan itu menempatkan pelbagai jenama kreatif, butik tempatan dan pilihan makanan halal.
Antara yang menarik ialah hidangan mi, Kulon Bakmi.
Jenama yang bertapak di Bali Lane itu, terkenal dengan bakmi Indonesia, yang mempunyai mi bertekstur kenyal dan mempunyai gigitan memuaskan.
Pilihan seperti Bakmi Bangka, $8.90; Bakmi Sambal Merah, $10.50; Bakmi Katsu, $9.20; dan Bakmi Tempe, $8.90, menawarkan hidangan ringkas yang dijangka memuaskan selera.
Turut berada di Factory Block ialah Kios Minang, jenama di bawah Rumah Makan Minang yang telah bertapak sejak 1954.
Dikendalikan generasi kedua, Cef Ariff Zin, konsep di sini lebih moden dan sesuai untuk pelanggan yang mahukan hidangan cepat.
Set Nasi Padang yang berharga $12, didatangkan dengan nasi, pilihan protein, sayur, lauk sampingan, sambal belacan dan emping.
Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza, Padang Wrap, $12, menggabungkan nasi perang dan merah seiring bahan segar dalam bungkusan yang mudah dibawa.
Selepas makan, pengunjung boleh meneroka pelbagai kedai gaya hidup dan jenama tempatan yang terdapat di sekitar New Bahru.
Alamat: 58 Kim Yam Road, Singapura 239359 (New Bahru, Factory Block)
