Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nikmati bufet Peranakan dengan sentuhan moden di M Hotel 

Jul 4, 2025 | 11:52 AM
The Buffet, M Hotel, Peranakan 
Pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan Peranakan semasa makan tengah hari di restoran The Buffet, di M Hotel Singapore. Antara hidangannya ialah ‘Nyonya Laksa’, ‘Roasted Ayam Buah Keluak’, ‘Beef Cheek Rendang’, ‘Itek Tim’, ‘Udang Masak Lemak Nanas’, ‘Assam Fish’ dan ‘Sayur Lodeh’.  - Foto M HOTEL

The Buffet, restoran halal di M Hotel Singapore, membawakan pengalaman hidangan Peranakan menerusi bufet, Nyonya Classics Redefined.

Bufet makan tengah hari dan malam itu menyajikan masakan tradisional dengan olahan moden, dan boleh dinikmati hingga 30 September.

Sepanjang bufet makan tengah hari, pengunjung boleh menikmati lebih 30 hidangan seperti, Laksa Nyonya, Ayam Panggang Buah Keluak, Rendang Daging Lembu (Beef Cheek Rendang), Itek Tim, Udang Masak Lemak Nanas, Assam Fish dan Sayur Lodeh.

Antara pencuci mulut yang ditawarkan pula termasuk, Bubur Cha Cha, Kuih-Muih Nyonya dan Kek Mousse Durian Gula Melaka.

“Adaptasi semula hidangan klasik Peranakan ini bertujuan memperkenalkan semula keunikan rasa kepada generasi muda, sambil mengekalkan identiti budaya yang kaya ini,” ujar Cef Eksekutif The Buffet, Encik Jacky Zhang.

Antara tarikan utama ialah Beef Cheek Rendang yang dimasak perlahan hingga empuk dalam santan dan rempah rahsia, serta Ayam Panggang Buah Keluak, yang diolah menggunakan teknik masak, French-style confit, agar lebih mesra dengan selera moden.

Dari segi masakan, confit merujuk kepada kaedah tradisional memasak dan mengawet makanan, biasanya daging, dengan memasaknya secara perlahan dalam lemaknya sendiri pada suhu rendah.

Proses itu bukan sahaja mengekalkan kesegaran makanan bahkan juga melembutkannya, seolah-olah ia cair di dalam mulut.

Walaupun tidak bertujuan untuk pengawetan jangka panjang, teknik confit kini dihargai kerana rasa dan teksturnya yang kaya.

“Hidangan ini terkenal dengan rasa organik buah keluak (iaitu rasa pekat dan seakan wujud rempah semula jadi), namun ia mungkin tidak digemari semua.

“Dengan memanggang ayam secara confit, kami menghasilkan lapisan karamel di luar sambil mengekalkan isi yang lembut.

“Ini menjadikannya lebih mudah dinikmati tanpa mengorbankan rasa asli buah keluak,” jelas Encik Zhang.

Pada waktu malam, suasana berubah dengan bufet Nyonya Hotpot Dinner yang menawarkan pelbagai makanan laut seperti timun laut, kupang, kerang dari New Zealand dan ikan tenggiri Sepanyol.

Pilihan kuah termasuk sup kolagen ayam, laksa Nyonya berkrim dan kuah asam pedas.

“Semua bahan diperoleh daripada pembekal yang diakui halal.

“Kuah ‘hotpot’ kami dihasilkan sendiri tanpa bahan pengawet, menggunakan resipi tersendiri.

“Kami mengetengahkan dua rasa ikonik, laksa Nyonya yang harum dan berkrim serta asam pedas,” tambah beliau.

[ο] Alamat: 81 Anson Road, Tingkat 2, Singapura 079908

[ο] Harga: Bufet makan tengah hari berharga $36.80++ seorang, manakala bufet makan malam berharga $69++ (Ahad hingga Khamis) dan $79++ (Jumaat dan Sabtu).

[ο] Promosi termasuk 1-untuk-1 (Ahad hingga Khamis) dan Dine 4 Pay 3 (makan berempat dan bayar untuk tiga orang sahaja) pada hujung minggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg