Pilihan Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restoran ayam goreng dengan 6 tahap kepedasan, cipta pengalaman unik

Taufik Batisah dan dua rakan niaga buka Chix Hot Chicken di Prinsep Street untuk dekati pelanggan muda dari institusi pengajian tinggi
Jun 27, 2025 | 3:31 PM
Chix Hot Chicken, Taufik Batisah, Ismail Rawi Bober, Shehzad Hussain, Prinsep Street
Pengasas restoran Chix Hot Chicken, Taufik Batisah (kiri) bersama rakan niaga dan sahabat karibnya, Encik Ismail Rawi Bober, di cawangan keduan jenama itu di 64 Prinsep Street. Rakan niaga ketiga, Encik Shehzad Hussain, tiada dalam gambar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan kulit rangup bersalut rempah, isi paha ayam yang kekal lembut, serta tahap kepedasan yang perlahan-lahan ‘membakar’ lidah, ayam dari restoran Chix Hot Chicken, bukan sekadar ayam goreng biasa.

Ia diletakkan dalam roti lembut disapu mentega yang membawa tekstur dan rasa yang rangup, pedas dan berlemak.

Diasaskan oleh juara Singapore Idol (Musim Pertama) dan kini ejen hartanah Taufik Batisah, 43 tahun, bersama dua sahabatnya, Encik Ismail Rawi Bober, 38 tahun; dan Encik Shehzad Hussain, 45 tahun; Chix Hot Chicken membuka pintu perniagaan pertama pada 2018 di 1 Jalan Pisang.

Ketika itu, ayam goreng Korea sedang menguasai pasaran makanan tempatan.

“Masa itu semua orang gilakan ayam goreng Korea. Tapi kami fikir, mengapa nak ikut trend kalau kita boleh cipta makanan baru yang jarang ditemui di Singapura?” kata Taufik.

Idea membawa ayam goreng pedas gaya Nashville, Amerika Syarikat, ke Singapura bermula apabila Encik Bober kerap mengunjungi Amerika untuk melawat ayah tirinya di Louisiana.

Di sanalah beliau buat julung-julung kalinya mencuba ayam goreng istimewa dari Nashville, Tennessee dan terus jatuh hati.

“Saya makan, terus rasa ‘Ini dia!’. Ini yang kita belum ada lagi di Singapura. Bila balik, saya cakap dengan Taufik, kita perlu bawa konsep ayam goreng ini masuk ke Singapura,” katanya.

Nashville, yang terletak di selatan Amerika, terkenal sebagai tempat mendapatkan ayam goreng pedas, yang rangup di luar dan lembut di dalam dimulakan.

Versi asli hidangan itu biasanya menggunakan ayam yang digoreng garing, kemudian disapu atau dicelup dalam minyak pedas yang dimasak bersama serbuk cili seperti cili merah pedas atau cayenne, lada hitam, rempah-ratus dan herba lain.

Hasilnya ialah ayam goreng berwarna merah dengan rasa pedas yang perlahan-lahan ‘membakar’ lidah.

Namun, mereka sedar versi asli dari Tennessee terlalu berlemak untuk ditelan dan mungkin menjelakkan bagi cita rasa masyarakat tempatan.

“Bagi menikmati burger ayam itu hingga habis, tak larat rasanya.

“Kita cuba versi asli itu, tapi terlalu muak. Kita nak pelanggan boleh menikmatinya tanpa rasa jelak,” kata Encik Bober.

Setelah hampir dua tahun menjalani proses penyelidikan dan pengembangan (R&D), mereka memilih versi dry-rub iaitu ayam goreng yang dicampur dengan serbuk cili dan herba tanpa minyak berlebihan.

Kini, pelanggan boleh pilih antara enam tahap kepedasan, daripada Mild (pedas sedikit) hingga ke tahap Atomic (pedas ‘gila’), yang menggunakan cili Carolina Reaper, antara cili paling pedas di dunia.

“Kami selalu ada pelanggan yang datang sekumpulan dan memesan tahap pedas berbeza dan tengok siapa yang akan menangis dulu!

“Kita ingin cipta memori dan persahabatan melalui makanan, bukan sekadar makan dan pulang ke rumah,” cerita Taufik.

Suasana tersebut dilihat di cawangan terbaru mereka di 64 Prinsep Street, yang dibuka pada Februari 2025.

Ruangnya luas dan selesa, dengan kemampuan menampung antara 90 dengan 100 pelanggan.

Hiasannya pula terang dan berwarna-warni, penuh elemen ‘neon’, seakan memasuki sebuah restoran Amerika, dengan reka hias ‘retro’ futuristik.

Lokasi itu strategik demi menarik pelanggan muda dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Kolej Seni Lasalle, Sekolah Seni Singapura (Sota) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Ketika Kaki Makan mengunjungi Chix Hot Chicken pada waktu makan tengah hari, tempat itu penuh sesak, dengan lautan pelanggan beratur panjang.

“Kami bukan sahaja mahu jual makanan, tapi cipta pengalaman. Tempat ini untuk orang berjumpa dan berkawan, bersembang dan bina hubungan. Itu matlamat jangka panjang kami,” kata Taufik lagi.

Kini, di cawangan mereka di Prinsep Street, pelanggan boleh menikmati menu unik seperti burger Miss Alabama, $14.50, paha ayam tanpa tulang yang digaul dengan bahan perapan barbeku, disiram sos Alabama cendawan truffle dan disajikan bersama salada dalam roti mentega.

Bagi menikmati rasa manis dan pedas pula, pilihan seperti burger Sweet Barbeque, $13.90, iaitu ayam goreng disalut sos barbeku manis bersama jeruk timun dan sos istimewa Chix pink sauce, boleh dicuba pelanggan.

Sementara itu, penggemar sajian lakuran (fusion) pasti teruja mencuba burger Chix Corden Bleu, $14.90, gabungan paha ayam, ham ayam, keju Swiss dan sos madu biji sawi yang lemak manis.

Pelanggan juga boleh lengkapkan hidangan mereka dengan susu kocak (milkshake) pekat seperti Chix Milo Shake atau Cookies & Cream pada harga $8.90, sesuai untuk menyejukkan semula lidah yang ‘terbakar’ dek menikmati ayam pedas sehingga menjilat jari.

Namun, di sebalik menu yang membuka selera itu, ia semuanya bermula di dapur kecil.

“Kita cuba masak di rumah dulu sehingga dapur jadi kotor,” kata Encik Bober yang mengimbau kembali titik permulaan Chix Hot Chicken.

“Tapi mak saya juga beri saranan yang baik, seperti menggunakan lebih herba dan sebagainya,” tambahnya.

Malah, ibu Encik Bober turut membantu semasa permulaan operasi di cawangan pertama.

Bagi Taufik, tanggungjawabnya adalah menarik pelanggan untuk datang melalui media sosial dan pemasaran.

“Bober dan Zat (panggilan mesra bagi Shehzad) pula kena buat pelanggan datang balik. Jadi makanan kena sedap dan rasanya konsisten.

“Khidmat kepada pelanggan kena bagus. Sebab yang kita jual bukan sahaja makanan, tapi pengalaman,” tambahnya.

Wabak Covid-19 merupakan titik penting perniagaan.

“Masa itu, kami tak fikir untung. Fokus kami adalah untuk kekal berniaga,” katanya.

Namun, tiga sahabat baik itu telah merancang pelancaran penghantaran makanan lebih awal, dan segera melaksanakannya.

Keuntungan pula disimpan ke dalam tabung bagi menampung kos operasi dan menyokong perancangan masa depan.

“Kami tidak fokus untuk jadi kaya dengan cepat dan membuka banyak cawangan dalam masa terdekat.

“Dari awal, kami dah tetapkan matlamat jangka panjang dan berfikiran jauh untuk menyimpan keuntungan demi pembukaan cawangan kedua,” jelas Taufik.

“Kami percaya bila pelanggan dah kenal jenama kami dan kami pula memiliki prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh, barulah kami boleh buka lebih banyak cawangan.

“Insya-Allah, cawangan kedua ini merupakan satu permulaan sebelum kami membuka lebih banyak cawangan di Singapura,” dedah Taufik.

Chix Hot Chicken
Alamat: 64 Prinsep Street, Singapura 188667
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis dan Ahad, 11.30 pagi hingga 9.30 malam dan Jumaat dan Sabtu, 11.30 pagi hingga 10.30 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg