Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

State of Affairs tawar kopi autentik dalam ruang selesa

Kafe dibuka seawal 6 pagi pada hujung minggu bagi tarik pelanggan
Nov 9, 2024 | 5:30 AM
Kafe State of Affairs di 183 Upper Thomson Road, yang dimiliki Encik Fahmi Zailani menawarkan pelbagai kopi istimewa seperti kopi ‘Sunrise’ (paling kanan) yang mengandungi air soda, pekat limau, espreso dan halwa limau. 
Kafe State of Affairs di 183 Upper Thomson Road, yang dimiliki Encik Fahmi Zailani menawarkan pelbagai kopi istimewa seperti kopi ‘Sunrise’ (paling kanan) yang mengandungi air soda, pekat limau, espreso dan halwa limau.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebaik sahaja melangkah masuk ke kafe dua tingkat State of Affairs di 183 Upper Thomson Road, aroma kopi yang harum menusuk ke hidung, membuat anda berasa segar. 

Pemilik kafe itu, Encik Fahmi Zailani, berkata di kafenya itu yang dibuka sejak Februari 2022, tidak menjanjikan kopi yang terbaik di Singapura, tetapi beliau memastikan ketekalan dan ketulenan.

Ini selain menawarkan tempat yang mengalu-alukan kedatangan semua penggemar kopi.

Percaya atau tidak, pemilik kafe itu pada mulanya tidak minat kopi. Minatnya bermula dengan secawan latte vanila dari kafe rangkaian besar.

Mengimbas kembali perjalanannya itu, Encik Fahmi tertawa kecil dan berkata, “Sebelum itu, saya memang tidak minum kopi.

“Pada 2012, saya telah bekerja di kafe Penny University, kafe milik sepupu saya,” kongsi bapa dua anak itu kepada Berita Harian.

Dengan perlahan, kecurigaannya terhadap kopi berkembang dan minatnya terhadap kopi semakin mendalam.

Selepas empat bulan mempelajari seni menghargai cita rasa kopi, Encik Fahmi berkata deria rasanya akhirnya mampu menghargai keindahan kompleks espreso (kopi pekat) dan pelbagai jenis kopi lain.

“Pada mulanya, semuanya terasa pahit dan masam,” kenangnya.

“Tetapi lama-kelamaan, saya mula dapat mengecam setiap nota yang dicirikan biji kopi.”

Kafe ini menawarkan pelbagai pilihan kopi yang dipilih dengan teliti oleh Encik Fahmi sendiri.

Menu di kafe direka dengan pendekatan untuk menarik minat peminat kopi dan pengunjung kasual.

Kopi khas ‘Black Honey’ ($7) (kiri) mengandungi  air soda, kopi, madu, limau lemon dan garam laut  - seperti kopi kola yang menyegarkan. Di kanan pula, ‘Sunrise’ ($7) (kanan) yang mengandungi air soda, pekat limau, espreso dan halwa limau.
Kopi khas ‘Black Honey’ ($7) (kiri) mengandungi  air soda, kopi, madu, limau lemon dan garam laut - seperti kopi kola yang menyegarkan. Di kanan pula, ‘Sunrise’ ($7) (kanan) yang mengandungi air soda, pekat limau, espreso dan halwa limau. - Foto BH oleh KHALID BABA

Misalnya, kopi khas di kafenya itu menawarkan kopi ‘Black Honey’ ($7). Ia merangkumi air soda, kopi, madu, limau lemon dan garam laut.

Kopi itu mempunyai gas daripada air soda. Madu, limau dan garam pula memberikan rasa yang menyegarkan.

“Saya mereka air ini kerana di kafe ini, kami menerima ramai pelanggan yang cergas sebab di bangunan ini juga ada gim dan ramai penunggang basikal juga akan mengunjung kami.

“Jadi ini khas untuk mereka jika mereka ingin kopi yang menyegarkan diri,” ulas Encik Fahmi yang kemudian membandingkan perisa kopi itu mirip dengan air kola.

Satu lagu kopi khas ialah ‘Sunrise’ ($7) yang mengandungi air soda, pekat limau, espreso dan halwa limau.

Ia adalah kopi khas yang direkanya semasa beliau membuka cawangan kedua di Sunset Way dari Mei hingga November 2023.

Jadi, apakah ciri-ciri kopi yang enak?

Bagi Encik Fahmi, ia bergantung kepada keseimbangan rasa.

“Keasidan sering disalah faham,” jelasnya yang kemudian memberi contoh kesegaran strawberi tidak lengkap tanpa rasa masam sedikit.

Baginya, kopi yang baik memerlukan sentuhan keasidan.

Di State of Affairs, pelanggan boleh menjangkakan profil rasa yang dihasilkan dengan teliti, daripada kopi berasaskan coklat dan kekacang untuk minuman espreso, kepada rasa buah-buahan dengan profil lebih ringan kopi yang dibru secara manual.

Encik Fahmi Zailani tidak mengenakan harga yang tinggi untuk kopinya kerana beliau percaya kopi perlu mudah diakses oleh semua.
Encik Fahmi Zailani tidak mengenakan harga yang tinggi untuk kopinya kerana beliau percaya kopi perlu mudah diakses oleh semua. - Foto BH oleh KHALID BABA

Antara lain, Encik Fahmi tidak hanya bergantung pada kepelbagaian kopi tradisional.

Dalam menunya, terdapat juga biji kopi geisha yang popular, premium dan terkenal dengan mutu aromatik dan bunga.

Namun Encik Fahmi tegas dan tidak mahu mengenakan harga yang terlalu tinggi.

“Bagi saya, kopi perlu diakses dengan mudah. Sebab itu jenis geisha kami berharga $8 sahaja,” katanya sambil tersenyum.

Suasana di kafe itu pada hujung minggu, apabila mereka membukanya pada 6 pagi, ramai pelanggan seperti penunggang basikal berhenti seketika untuk menikmati secawan kopi.
Suasana di kafe itu pada hujung minggu, apabila mereka membukanya pada 6 pagi, ramai pelanggan seperti penunggang basikal berhenti seketika untuk menikmati secawan kopi. - Foto INSTAGRAM STATE OF AFFAIRS

Pada hujung minggu, kafe itu dibuka seawal 6 pagi, sekali gus mengalu-alukan kedatangan pelanggan menikmati secawan kopi seiring ufuk pagi yang mula menyingsing.

Encik Fahmi berkata waktu pagi memberikan keindahan yang tersendiri dan telah menamakan pelanggan paginya ‘6am club’ (kelab 6 pagi).

“Pada waktu pagi, ia tenang dan damai dan memberikan peluang untuk memanfaatkan hari tersebut dengan sebaiknya,” ujarnya.

Walaupun kini beliau pencinta kopi, pilihan peribadi Encik Fahmi tetap biasa-biasa sahaja.

“Saya seorang yang suka teh O ais,” katanya sambil ketawa.

“Setiap pagi sebelum kopi, mesti minum teh ais dulu.”

Namun, komitmennya untuk menyediakan kopi bermutu kepada pelanggannya tidak pernah goyah.

Alamat: 183 Upper Thomson Road, Longhaus, #01-02, Singapura 574332

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat, 7 pagi hingga 4.30 petang; Sabtu dan Ahad, 6 pagi hingga 6 petang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg