Topik diikuti
Pergi ke BHkuOpen Secret tutup 1 Nov apabila tamat tempoh pajakan di Arab Street
Open Secret tutup 1 Nov apabila tamat tempoh pajakan di Arab Street
Kedai makanan dan minuman (F&B) Open Secret di 60 Arab Street bakal menutup pintunya pada 1 November, apabila tempoh pajakan premis itu berakhir.
Pengasasnya mengumumkan penutupan tersebut menerusi satu video di Instagram Open Secret, sambil menjelaskan bahawa perniagaan itu pada asalnya dimulakan sebagai sebuah konsep percubaan berbentuk sementara (pop-up).
“Open Secret bermula sebagai sebuah proof of concept pop-up (konsep percubaan) antara kami berdua dan dengan tempoh pajakan kami di 60 Arab Street bakal berakhir, kami memutuskan bahawa ini juga masa yang sesuai untuk menutup lembaran ini,” menurut Encik Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, atau lebih dikenali sebagai Syarif.
Mereka turut berterima kasih kepada pelanggan yang telah menyokong konsep tersebut sejak ia dibuka.
“Anda semua menjadikan ‘eksperimen’ di lorong belakang ini sesuatu yang cukup menyeronokkan,” jelasnya.
Open Secret merupakan hasil kerjasama antara Encik Syarif, pengusaha di sebalik jenama Chulop! dan Boms & Buns, dengan Encik Fahmi Zailani, pengasas kafe kopi State of Affairs.
Ia mengetengahkan konsep bawa pulang yang menghimpunkan dua jenama tempatan, Grilla Gang oleh Encik Syarif dan State of Affairs oleh Encik Fahmi di bawah satu bumbung.
Namun, berbeza daripada konsep bawa pulang biasa, pelanggan Open Secret boleh mengambil kerusi lipat yang disediakan dan menikmati roti bakar berisi keju panas bersama kopi artisan di ruang terbuka di lorong belakang premis yang terletak dalam kawasan Kampong Gelam.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 2025, Encik Syarif berkata kerjasama tersebut tercetus daripada persahabatannya dengan Encik Fahmi dan pengalaman mereka bekerjasama dalam beberapa acara.
“Saya dah lama kenal Fahmi. Selalu ke kafenya untuk beri sokongan, dan beliau pun sama. Kami pernah bekerjasama dalam beberapa acara. Dari situ, saya tahu ada keserasian,” katanya ketika itu.
Antara yang mendapat perhatian ialah GG Toastie, yang menggabungkan keju dan trufel serta dihidangkan bersama sup tomato buatan sendiri.
Pilihan lain termasuk Bombay Toastie dengan kentang masala berempah dan jeruk tomato (chuntney); Kaya Cheese Toastie yang menggabungkan kaya pandan dan keju; serta Tuna Toastie dan Bac’n Cheese Toastie.
Bagi minuman pula, Encik Fahmi membawa kepakarannya dalam kopi artisan, dengan menu yang disesuaikan kepada suasana Open Secret yang lebih santai dan terbuka. Antara minuman yang mendapat sambutan ialah Strawberry Matcha.
Pembukaan Open Secret sebelum ini turut mencerminkan kerjasama antara pengusaha F&B tempatan dalam pasaran yang semakin berdaya saing.
Namun, konsep yang bermula sebagai satu eksperimen itu kini bakal sampai ke penghujungnya apabila fasa dan pajakan premis berakhir .
Hari terakhir operasi Open Secret ialah pada 1 November.