Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran baru rai sarapan pagi Nanyang

‘The Nanyang Breakfast Club: Let’s Lim Kopi, Jiak Roti’ ketengah konteks sejarah, budaya dan sosial di sebalik sarapan kegemaran S’pura
Apr 11, 2025 | 12:08 PM
Set permainan Lego yang diilhamkan daripada sarapan pagi Nanyang dalam pameran bergerak, ‘The Nanyang Breakfast Club: Let’s Lim Kopi, Jiak Roti’, yang dilancarkan pada 3 April.
Set permainan Lego yang diilhamkan daripada sarapan pagi Nanyang dalam pameran bergerak, ‘The Nanyang Breakfast Club: Let’s Lim Kopi, Jiak Roti’, yang dilancarkan pada 3 April. - Foto ST

Kopi Nanyang, atau kopi yang biasa didapati di rantau Asia Tenggara seperti Singapura dan Malaysia, mempunyai hubungan sejarah dengan sarang candu Singapura pada 1930-an.

Rasa uniknya terhasil apabila mentega dan gula ditambah kepada biji kopi Robusta ketika proses memanggang mencapai kira-kira 80 peratus.

Langkah itu dikatakan bertujuan memenuhi selera penagih candu, yang mengalami mulut kering dan deria rasa yang berkurangan.

Fakta menarik seperti itu mengenai sarapan Nanyang yang ikonik di Singapura boleh didapati dalam satu pameran baru, The Nanyang Breakfast Club: Let’s Lim Kopi, Jiak Roti (Kelab Sarapan Nanyang: Ayuh Minum Kopi, Makan Roti).

Ia dilancarkan oleh Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC) di Pusat Singapore Post (SingPost) di Eunos pada 3 April, lapor The Straits Times.

Pameran bergerak itu memberi penghormatan kepada sarapan Nanyang yang mempunyai tiga ciri: roti bakar arang yang disapu kaya dan ditambah sehiris mentega; dua biji telur setengah masak yang direnjis kicap dan ditaburi lada putih; serta secawan kopi beraroma.

Perkataan ‘Nanyang’ merujuk kepada Laut Selatan atau rantau Asia Tenggara.

Sarapan Nanyang berakar umbi pada awal abad ke-19, apabila pendatang dari China, khususnya dari wilayah Hainan, tiba di kawasan itu dan bekerja sebagai tukang masak dan pembantu rumah untuk keluarga British dan Eropah.

Dari masa ke masa, masakan tradisional yang digemari di Singapura itu telah dibentuk oleh pengaruh pelbagai budaya: Cina, Melayu, Peranakan dan Barat.

Contohnya, perdebatan mengenai asal usul kaya, atau jem kelapa, menunjukkan kepelbagaian pengaruh budayanya.

Ada yang mengatakan ia berasaskan puding Portugis dinamakan ‘sericaia’, yang dibuat daripada telur, tepung, gula dan kayu manis.

Manakala yang lain berpendapat ia diilhamkan daripada seri kaya Melayu, yang merujuk kepada pelbagai jenis pencuci mulut yang dibuat daripada santan kelapa dan telur.

Ada juga yang percaya bahawa kaya dicipta oleh orang Peranakan Cina, hasil gabungan warisan Melayu mereka dan interaksi dengan orang British, yang menggandingkan jem dengan roti bakar.

Namun yang lain mendakwa bahawa ia adalah adaptasi oleh pendatang dari Hainan, yang mendapat ilham daripada jem berasaskan buah-buahan British dan kaedah masakan Peranakan yang dipelajari semasa mereka bekerja dengan keluarga tersebut.

Penolong kurator SCCC, Encik Justin Lee, 26 tahun, berkata selain meneliti laporan akhbar dari awal abad ke-19 dan sumber akademik yang terhad, beliau turut bercakap dengan pihak syarikat pemanggang kopi tradisional seperti Kim Guan Guan Coffee Roaster, untuk mengumpulkan fakta bagi pameran tersebut.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) SCCC, Encik Alvin Tan, berkata:

“Dengan pameran bergerak ini, SCCC berharap dapat menyediakan konteks sejarah, budaya dan sosial di sebalik salah satu hidangan sarapan kegemaran Singapura, mempamerkan bagaimana sarapan tradisional ini telah berkembang mengikut peredaran zaman dan menyerlahkan bagaimana budaya Cina tempatan boleh ditemui dalam kehidupan seharian di Singapura.”

Pameran itu turut menunjukkan bagaimana tradisi masakan Singapura telah berada di pentas sejagat, dengan beberapa rangkaian kopi tempatan membuka cawangan di negara seperti Australia, Perancis dan Jepun.

Sarapan Nanyang juga memberi inspirasi kepada biskut Pocky yang diberi perisa roti bakar kaya dan perisa kopi-O, permainan kad Kopi King dan set permainan Lego.

Pameran itu, yang akan berada di Pusat SingPost hingga 2 Mei, akan dibawa ke pusat beli-belah, sekolah dan perpustakaan, sebelum singgah di SCCC dari 6 September hingga 30 November di Shenton Way.

Ia adalah sebahagian daripada tawaran program ulang tahun Singapura ke-60 atau SG60 SCCC, dan disokong oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura.

Siri baru pameran bergerak SCCC mempamerkan budaya Cina tempatan, dengan tumpuan seterusnya pada 2026 adalah pada peniaga karung guni.

Sementara itu, warga Scotland, Encik Scott Harrison, yang berada di pameran itu, telah menikmati sarapan Nanyang setiap hari selama 16 tahun.

Beliau juga membawa biji kopi dan kaya untuk menyediakan sarapan Nanyang sendiri apabila beliau berada di luar negara.

Ia adalah cinta ‘rasa’ pertama bagi perunding korporat berusia 49 tahun itu apabila beliau mengunjungi Killiney Kopitiam yang sibuk di Siglap dan memesan sarapan Nanyang pertamanya, kata Encik Harrison.

Kira-kira dua bulan lalu, Encik Harrison memulakan akaun TikTok, @scott_in_sg, yang meraikan sarapan pagi Nanyang itu.

Sejak itu, ia telah menjadi tular dengan ramai pengikut mencadangkan tempat untuk beliau kunjungi bagi hidangan hariannya.

“Saya telah mengunjungi kira-kira 100 kedai kopi setakat ini dan saya mahu membantu mempromosikan perniagaan kecil tempatan melalui video saya,” katanya.

“Saya bukannya pengkritik makanan mahupun pempengaruh, hanya seseorang yang benar-benar menggemari sarapan Nanyang,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg