Bermula dalam industri seni tempatan sebagai pelakon cilik pada usia lapan tahun, Mujahid Mahamood, merupakan antara bakat cilik yang popular pada zaman 2000-an dan terus bergiat aktif hingga ke hari ini.
Kini pada usia 26 tahun, beliau dahagakan peluang untuk melebarkan sayap dan meraih pengalaman sebagai pelakon di seberang Tambak.
Baru-baru ini, video uji bakatnya bagi siri drama Malaysia akan datang, Kudrat 1968, mendapat perhatian netizen di media sosial dengan ramai memberikan kata semangat dan galakan.
“Saya berbincang dengan pengurus saya dan mereka berkata uji bakat bagi Kudrat 1968 merupakan antara langkah yang sesuai untuk membina kerjaya saya di Malaysia. Uji bakat itu turut dibuka kepada warga Singapura.
“Saya memilih untuk membawakan watak Kuda dalam uji bakat itu kerana saya ingin memainkan watak antagonis, sesuatu yang jarang dapat saya lakukan sebelum ini.
“Selepas membawa watak antagonis dalam drama Krisalis pada 2024, saya ingin mencabar diri saya dengan watak lebih kompleks,” kongsi Mujahid dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) di pejabat Berita Harian baru-baru ini.
Uji bakat terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba.
Anjuran Astro Shaw, ia memerlukan individu yang berminat memuat naik video lakonan mereka di wadah media sosial Instagram dan TikTok.
Pihak penerbitan bakal menghubungi individu yang mereka rasa sesuai untuk ke peringkat seterusnya.
Uji bakat itu turut melihat beberapa penggiat seni Malaysia turut menyertainya.
Antaranya termasuk finalis Hero Remaja 2017/2018, Safwan Nadzri; pelakon Atiq Azman; pelakon Adam Lee; pempengaruh media sosial Nik Rifaie; penyanyi muda Rezza Shah dan pelakon muda Rykarl Iskandar.
Selain mencuba nasib dalam Kudrat 1968, Mujahid pernah menyertai uji bakat bagi filem Malaysia, Blood Brothers, namun tidak berjaya.
“Baru-baru ini, saya telah ke Kuala Lumpur bersama pengurus saya untuk bertemu dengan beberapa agensi dan pengurus artis dengan niat memperkenalkan diri sambil berkongsi mengenai bakat lakonan saya.
“Saya turut berkongsi portfolio dan ‘showreel’ (video lakonan) saya bersama mereka supaya mereka boleh menawarkan saya sesi uji bakat yang sesuai,” cerita Mujahid yang dikenali menerusi drama kanak-kanak, Almari Ajaib, dan drama Inggeris, Tanglin.
Selain berlakon, beliau turut mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan melalui siri hiburan dalam talian, Go Jer, yang dikendalikan saluran YouTube tempatan popular, UXM.
Dalam siri tersebut, Mujahid bersama rakan pengacara, Hafiz Aziz, mencuba seni dan kegiatan daripada pelbagai budaya di Singapura.
Ia termasuk mencuba tarian singa kaum Cina; seni mempertahankan diri Melayu; silat dan memasak hidangan kaum Peranakan.
“Saya selesa bekerjasama dengan UXM kerana mereka adalah seperti kawan rapat saya.
“Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam siri drama, Cerita Hantu, kendalian UXM,” katanya.
Mujahid turut menjadi salah seorang pengacara bagi acara dagangan popular, Celebfest yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
“Ia merupakan kali pertama saya menjadi pengacara bagi acara berskala besar.
“Walaupun ia satu cabaran, namun saya bersyukur diberi kepercayaan tersebut,” kongsi Mujahid, yang turut mengakui ia peluang baik untuk beliau memperkenalkan diri kepada pihak pengurusan artis yang bakal hadir dari Malaysia.
Ditanya mengenai watak yang meninggalkan kesan mendalam pada dirinya, Mujahid berkata, watak Adam dalam filem pendek, Juang, oleh Naqib Putra Zalman, merupakan antara yang tidak dapat dilupakannya.
Dalam filem pendek yang dikeluarkan pada 2022, watak Adam ingin membantu ibunya dengan menyertai pertandingan seni bela diri campuran (MMA), namun berdepan dengan konflik dan hampir menumbuk muka ibunya.
“Saya agak rapat dengan ibu saya dan watak itu mengingatkan saya kepada apa yang beliau pernah lakukan untuk diri saya.
“Saya berkata kepada diri, saya tidak akan jadi seperti watak Adam dan akan sentiasa menghargai ibu saya, lebih-lebih lagi beliaulah yang menggalakkan saya menceburi bidang seni,” ujar Mujahid yang kehilangan ibunya, Allahyarhamha Hajjah Maimon Hassan pada April 2025.
Ibunya meninggal dunia akibat pneumonia dan Influenza A (masalah pernafasan) namun telah mengalami penyakit demensia sejak sembilan tahun lalu.
Filem pendek Juang turut dipilih untuk ditayangkan dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) selama tiga bulan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60).
Mengimbau kembali bagaimana beliau mula membabitkan diri dalam bidang seni, Mujahid berkata ibu bapanya melihat keyakinan dirinya tanpa rasa gugup ketika membuat persembahan di pentas semasa di sekolah rendah.
“Kegiatan kokurikulum (CCA) saya sewaktu di sekolah rendah merupakan tarian India.
“Dari situ, mereka membawa saya bagi uji bakat di Mediacorp kerana berasa saya sesuai menjadi pelakon cilik.
“Rancangan pertama saya merupakan Chinchilla iaitu rancangan hiburan kanak-kanak.
“Pada mulanya, saya tidak begitu selesa kerana berada di hadapan kamera dan harus mendengar arahan daripada pengarah yang saya baru kenali.
“Saya sering menangis dan ibu saya harus menemani saya ke setiap set penggambaran sehingga saya mula rasa selesa,” kongsinya yang baru tamat penggambaran bagi dua drama berbeza yang bakal ditayangkan di Mediacorp Suria, dengan salah satu bertemakan tentang mahkamah.
Kini, lakonannya sebagai Rehman dalam drama bahasa Inggeris, Provocative sedang ditayangkan di saluran Mediacorp Channel 5.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg