Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelukis tempatan sahut cabaran hasil animasi di bangunan Chijmes

Hafizah Jainal pelihara kisah datuk nenek melalui pemetaan unjuran sempena Pesta Malam S’pura
Aug 13, 2025 | 5:30 AM
Hafizah Jainal, Hafi, Singapore Night Fest, CHIJChijmes MES, Pesta Malam Singapura
Pelukis dan ilustrator, Hafizah Jainal, yang sering menghasilkan lukisan yang tidak bergerak mencabar diri sendiri dengan melakukan karya animasi bagi pemetaan unjuran yang bakal ditayangkan di bangunan Chijmes mulai 22 Ogos sempena Pesta Malam Singapura 2025. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

Sebagai seorang pelukis dan ilustrator tempatan, terdetik rasa gementar dan takut dalam diri Hafizah Jainal apabila menerima tawaran untuk melibatkan diri dalam projek pemetaan unjuran dalam Pesta Malam Singapura (SNF) 2025.

Ini disebabkan Hafizah, atau mesra disapa Hafi, 36 tahun, lebih selesa menghasilkan karya seni yang tidak bergerak dan dalam bentuk dua dimensi (2D). 

Ia berbeza dengan karya pemetaan unjuran, atau projection mapping, yang melibatkan elemen animasi dan ditayangkan dalam skala besar di luar sesebuah bangunan. 

“Apabila saya mendapat tawaran daripada pihak Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk melibatkan diri dalam bengkel pemetaan unjuran, saya berasa takut kerana tidak pernah mencuba teknik sebegitu. 

“Namun selepas mengenali jurulatih saya, Shakir yang mahir dalam teknik itu, saya terbuka mempelajarinya.

“Saya mula menggunakan aplikasi After Effects buat kali pertama dan memikir cara bagaimana saya boleh menggabungkan lukisan saya untuk dipaparkan di dinding bangunan,” kongsi Hafi yang ditemui Berita Harian (BH) di studionya yang terletak di kawasan bandar Singapura pada 1 Ogos. 

Hafi merupakan antara empat pereka seni wanita tempatan yang menjalani latihan dan sesi masterclass pemetaan unjuran sejak 17 Mei lalu bersama Abdul Shakir Abu Samah, penggiat seni dan pemilik bersama syarikat media Malaysia, Filamen.

Selain Hafi, barisan pereka seni itu terdiri daripada Adeline Kuah, KangLi dan Tororo.aoi.

Mereka bakal berkongsi hasil karya mereka di luar bangunan Chijmes, yang merupakan tapak lama Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus (CHIJ) dan terletak di 30 Victoria Street. 

Pertunjukan seni itu merupakan antara 80 kegiatan sempena SNF 2025 yang berlangsung selama tiga hujung minggu, dari 22 Ogos hingga 6 September di kawasan Bras Basah dan Bugis.

Ditanya apakah antara cabaran utama, Hafi berkata terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira semasa mereka karya itu. 

“Setiap bangunan ada lengkok dan celah-celah yang tidak rata lantas saya harus memikirkan bagaimana lukisan itu akan ditayangkan bagi para penonton. 

“Saya harus memikir bagaimana untuk mengaitkan satu babak ke satu babak yang lain dan memilih muzik latar belakang yang sesuai.  

“Prosesnya agak mencabar namun apabila saya melihat hasilnya, saya bersyukur,” ceritanya, yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Komunikasi Visual dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Bagi pemetaan unjuran tersebut, Hafi memilih untuk menceritakan mengenai perjalanan datuk neneknya yang datang ke Singapura dari Melaka, Malaysia dan Pacitan, Indonesia untuk memulakan kehidupan baru di negara ini. 

Ia seiring dengan tema SNF 2025 iaitu Island Nights, yang memberi tumpuan kepada identiti dan warisan pulau di Singapura.

“Keluarga ibu saya yang datang dari Melaka menetap di Lorong Sarhad, Pasir Panjang, manakala keluarga bapa saya yang berasal dari Indonesia membesar di Kampung Tempeh, Bukit Timah.

“Saya mahu menceritakan kisah mereka kerana ramai keluarga di Singapura turut mempunyai cerita yang serupa di mana nenek moyang mereka datang daripada kepulauan Nusantara dan berhijrah ke kota ini.

“Saya tidak mahu perjalanan hidup mereka hanya disimpan dalam album gambar lapuk. 

“Kita harus meraikan pengorbanan mereka supaya ia boleh dikongsikan dengan generasi akan datang,” ujar Hafi yang memulakan kajian bagi projek itu dengan mengumpul kembali gambar lama daripada anggota keluarganya. 

Antara objek yang ditonjolkan dalam animasi itu termasuk kerusi rotan yang popular dalam kalangan rumah orang Melayu suatu ketika dahulu serta rantai dan kerongsang emas yang diwarisi daripada nenek dan nenek saudaranya. 

Hafi turut menerapkan corak kain batik yang pernah digunakan neneknya untuk mendukungnya ketika beliau kecil. 

Pelukis dan ilustrator, Hafizah Jainal menerapkan corak batik yang pernah digunakan oleh neneknya untuk mendukung sewaktu kecil dalam animasinya yang mengisahkan tentang perjalanan datuk neneknya.
Pelukis dan ilustrator, Hafizah Jainal menerapkan corak batik yang pernah digunakan oleh neneknya untuk mendukung sewaktu kecil dalam animasinya yang mengisahkan tentang perjalanan datuk neneknya. - Foto BH oleh HAKIM NORMAN HASSAN

“Saya turut melukis sebuah kapal dalam animasi itu kerana datuk sebelah bapa saya datang ke Singapura menaiki kapal besar dan kami masih menyimpan surat lesen mendaratnya hingga ke hari ini. 

“Walaupun saya cuba untuk menggabungkan kededua kisah yang berbeza dari keluarga sebelah ibu dan bapa saya, ia sesuatu yang boleh difahami oleh ramai warga Singapura,” jelas Hafi.  

Terdahulu, Hafi dikenali dengan lukisan dan ilustrasinya mengenai kehidupan seharian dalam rona berwarna-warni serta pernah bekerjasama dengan syarikat seperti Uniqlo, Pokka, Muzium Peranakan dan Muzium Tamadun Asia. 

Beliau pernah menghasilkan siri majalah empat edisi, Seasonings bersama penulis dan cef, Pamelia Chia. 

Menerusi karya seninya, Hafi berharap mereka yang menonton dapat menghayati perjalanan datuk neneknya sambil menghargai kisah keluarga mereka sendiri yang turut menyumbang kepada identiti dan sejarah Singapura. 

“Di sekolah kita sering mempelajari tentang sejarah Singapura namun kisah keluarga jarang dibincangkan dalam konteks bilik darjah. 

“Saya harap kisah dan identiti mereka tidak hilang ditelan zaman hanya kerana mereka telah meninggal dunia. Ia sesuatu yang harus kita banggakan,” tambahnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg