Penerbit drama Malaysia, Datuk A Aida akhirnya dipindahkan ke wad biasa selepas empat hari bertarung di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat komplikasi selepas pembedahan lutut.
Berita melegakan itu dikongsikan anak keduanya, Azeva Natassha menerusi wadah media sosial, Instagram Story pada 30 September.
“Assalamualaikum, alhamdulillah mama akhirnya dibenarkan masuk ke wad biasa.
“Terima kasih atas segala sokongan dan doa daripada semua,” tulisnya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55 tahun, dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi di sebuah hospital swasta pada 25 Setemper lalu.
Bekas suaminya, penyanyi kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57 tahun, turut berkongsi detik cemas apabila menerima panggilan telefon daripada anak sulung mereka, Wan Az Aleesa, yang panik melihat keadaan ibunya.
Lebih mendebarkan apabila Ameng memaklumkan jantung A Aida terhenti sebanyak lapan kali sehingga doktor meminta ahli keluarga membacakan surah Yasin di sisinya.
Media Malaysia melaporkan bahawa A Aida sudah boleh bercakap selepas menyedarkan diri pada 28 September.
Antara drama popular terbitan A Aida di bawah syarikat A. Aida Production Sdn Bhd termasuk Halimah Jongang (2010), Dia Menantu Rahsia (2019) dan Sekali Lagi Cinta Kembali (2023).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg