Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna TikTok sanggup belanja $100 untuk rasa makanan tular

Mar 21, 2025 | 11:16 AM
Pengguna TikTok, Encik Faisal Marican, berkongsi pengalaman mencuba makanan tular di bazar melalui wadah media sosial itu yang terus menjadi topik perbincangan. 
Pengguna TikTok, Encik Faisal Marican, berkongsi pengalaman mencuba makanan tular di bazar melalui wadah media sosial itu yang terus menjadi topik perbincangan.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Demi pengalaman mencuba makanan ‘viral’, pengguna TikTok, Encik Faisal Marican, sanggup membelanjakan sekitar $100 untuk membeli 18 keping Roti Awan untuk anggota keluarga beliau mencubanya.

Selain itu, beliau membuat kandungan mengulas dua jenama ‘kunafa viral’ iaitu Kunafa Aiwahhh dari Malaysia dan dari Singapura, Mangobossku.

Encik Faisal, berkongsi pandangannya mengenai perubahan tingkah laku pelanggan dan realiti di sebalik fenomena makanan tular di TikTok.

Encik Faisal, pegawai keselamatan yang telah lebih 10 tahun berkhidmat, mula aktif di TikTok pada Ogos 2021 selepas kelahiran anak perempuannya.

Kini, dengan videonya secara keseluruhan menerima lebih 831,000 tanda suka di wadah tersebut, beliau gemar berkongsi ulasan makanan unik.

“Saya memang suka dokumentasikan pengalaman makan hidangan yang luar biasa.

“TikTok memberi saya platform lebih luas untuk berkongsi pengalaman ini,” kata Encik Faisal, 35 tahun.

Pada 2025, Encik Faisal memilih untuk mencuba Roti Awan, jenama dari Malaysia yang mencetuskan sensasi di media sosial.

Roti Awan, yang berasal dari Pulau Pinang, ialah sejenis roti gebu yang berwarna-warni.

Ia dihidangkan dengan pelbagai sos seperti coklat di tengah roti itu untuk menambah rasa yang lebih kaya dan berkrim.

Dalam video pertamanya mengenai bazar Ramadan, Encik Faisal menghabiskan sekitar $100 untuk membeli 25 keping roti dalam sembilan perisa berbeza bagi keluarganya.

“Untuk jumlah itu, ia tidaklah terlalu keterlaluan, tetapi dari segi rasa, ia tidak mencapai jangkaan.

Pada asasnya, ia hanya roti berwarna dengan sapuan sos seperti Nutella,” katanya.

Walaupun video ulasannya mendapat ribuan tontonan, Encik Faisal sedar makanan tular lebih bergantung pada pemasaran daripada mutu rasa sebenar.

Selain Roti Awan, Encik Faisal turut menghasilkan video perbandingan antara dua jenama ‘kunafa’ yang tular iaitu Kunafa Aiwahhh dan ‘kunafa’ Mangobossku.

‘Kunafa’ ialah pencuci mulut tradisi Arab tetapi diberi kelainan dengan pelbagai perisa seperti coklat dan madu dalam versi yang tular di Singapura dan Malaysia.

Kunafa Aiwahhh jenama ‘kunafa’ yang popular di Malaysia, dikenali dengan inti keju yang kaya dan berkrim, dengan lapisan luar yang rangup.

Ia sering disiram dengan sos coklat dan pelbagai perisa lain untuk memberikan keseimbangan rasa.

Namun ‘kunafa’ Mangobossku, adalah variasi ‘kunafa’ yang popular di Singapura, terutama di acara seperti di Bazar Ramadan Geylang Serai.

Makanan itu telah menarik perhatian ramai, dengan orang ramai sanggup beratur panjang untuk mencubanya. 

“Tahun lepas (2024), ‘kunafa’ jadi fenomena besar di Singapura.

“Tahun ini (2025), dua jenama ini bersaing dengan perisa Madu Tiga dan perdebatan tentang mana yang lebih sedap masih berterusan dalam ruangan komen saya,” kata Encik Faisal.

Perisa Madu Tiga diperkenalkan oleh jenama Kunafa Aiwahhh hasil kerjasama dengan pempengaruh, Cik Epal, yang berasal dari Malaysia.

Nama Madu Tiga diambil sempena penggunaan tiga jenis madu iaitu, madu sarang lebah, siraman madu dan campuran emping jagung cornflakes bersama madu.  

Menurut Encik Faisal, makanan tular bukan lagi sekadar soal rasa, malah lebih kepada faktor sifatnya yang eksklusif dan FOMO (singkatan bagi frasa, Fear of Missing Out, atau takut ketinggalan) .

Melihat trend semasa, Encik Faisal berpendapat bahawa harga makanan di bazar semakin meningkat, tetapi pengguna tetap sanggup berbelanja demi menikmati pengalaman unik.

“Hari ini, $100 mungkin hanya cukup untuk beberapa makanan tular sahaja. Harga bukan lagi isu utama, sekarang orang lebih tertarik dengan trend dan pengalaman berkongsi di media sosial,” katanya.

Dengan kejayaan ulasannya, Encik Faisal bercadang untuk terus menghasilkan kandungan berkaitan makanan.

“Sasaran saya sekarang ialah mencapai 1 juta tanda suka di TikTok,” katanya.

Walaupun harga makanan di bazar terus meningkat, daya tarikan pengalaman unik dan trend tular masih membuat pelanggan sanggup berbelanja lebih, kata Encik Faisal.

Bagi Encik Faisal, selagi makanan terus mencetuskan perbincangan, beliau akan terus berkongsi pengalaman autentik dengan pengikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg