Topic followed successfully
Go to BHkuPilihan restoran jamu insan tersayang sempena Hari Ibu dan Hari Bapa
Pilihan restoran jamu insan tersayang sempena Hari Ibu dan Hari Bapa
Aneka santapan antarabangsa jadi pilihan, daripada bufet makanan Thailand hingga hidangan panggang gaya Maghribi
Pilihan restoran jamu insan tersayang sempena Hari Ibu dan Hari Bapa
Sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa merupakan antara detik paling bermakna untuk keluarga bersama demi menghargai insan tersayang.
Meraikan kedua-dua hari itu sering disambut dengan hidangan istimewa bersama keluarga, menjadikannya peluang meluangkan masa bermutu sambil menikmati sajian enak.
Sambutan Hari Ibu bakal menjelang pada 10 Mei dan Hari Bapa pada 21 Jun.
Kaki Makan menyenaraikan beberapa tempat makanan menarik yang menawarkan pengalaman makan yang pelbagai daripada kafe moden hingga bufet dengan sajian antarabangsa yang unik.
Lucine
Salah satu lokasi yang mencuri perhatian ialah Lucine, yang baru-baru ini memperoleh sijil halal.
Terletak di 111 Somerset, kafe ini merupakan konsep kedai kek dan pastri atau patisserie tempatan terkenal, LUNA.
Menu baharu Lucine menampilkan lebih 30 pilihan hidangan tidak manis, atau savoury, sesuai untuk makan tengah hari ringkas mahupun sesi santai bersama keluarga.
Antara tarikan utama ialah Korean Spicy Marinated Egg with Scrambled Eggs Toast, diinspirasikan daripada trend Mayak eggs, iaitu telur yang diperap, dari Korea.
Hidangan ini menggabungkan telur separuh masak yang diperap dalam sos soya manis berempah, disajikan bersama telur hancur lembut di atas roti brioche bakar.
Selain itu, pelanggan boleh mencuba Cloud Egg Stack yang diinspirasikan daripada gaya Harajuku, serta pilihan pasta seperti Superb Dry Laksa, satu interpretasi moden hidangan tempatan dengan pasta dalam kuah rempah laksa yang pekat.
Pilihan lain termasuk Smoked Arrabbiata dan Creamy Chicken Carbonara.
Bagi penggemar pencuci mulut, Lucine menampilkan koleksi kek ‘petite’ seperti Tofu Cake dan Chocolate Rocher.
Dengan harga yang kebanyakannya di bawah $20, Lucine menjadi pilihan sesuai untuk keluarga yang ingin meraikan Hari Ibu atau Hari Bapa.
21 on Rajah
Bagi mereka yang gemarkan bufet dengan cita rasa antarabangsa, 21 on Rajah menawarkan pengalaman unik melalui bufet, Jai Aroy, yang menampilkan lebih 50 hidangan autentik Thailand utara.
Bufet ini merupakan hasil kerjasama eksklusif bersama Cef Wuttivong Boonsong, dari Chiang Mai Marriott Hotel.
Antara hidangan istimewa termasuk Roasted Beef with Chiang Mai Herbs, yang menggunakan campuran rempah seperti jintan putih, kayu manis dan buah pelaga, serta Gaeng Kua Hoi Ma Laeng Phu Bai Cha Plu, kari merah dengan kupang dan daun kaduk yang kaya dengan aroma herba.
Hidangan ayam panggang gaya Thailand utara juga menjadi tarikan dengan perapan serai, kunyit dan akar ketumbar yang memberikan rasa mendalam.
Satu lagi hidangan yang tidak boleh dilepaskan ialah Khao Soi Gai, mi kari kelapa khas Thailand Utara yang disediakan segar di stesen dengan tukang masak.
Untuk pencuci mulut, Mango Sticky Rice, versi Chiang Mai hadir dengan sentuhan unik seperti santan beraroma pandan dan taburan kacang hijau panggang.
Sempena Hari Ibu dan Hari Bapa, restoran yang terletak di hotel Aloft Singapore di Jalan Rajah ini turut menawarkan promosi istimewa termasuk tambahan seperti kek dan bunga, menjadikannya lokasi ideal untuk meraikan detik istimewa bersama keluarga.
Ginger
Sementara itu, Ginger di PARKROYAL on Beach Road tampil dengan konsep bufet halal yang diperbaharui.
Restoran ini memperkenalkan pengalaman makan malam dengan hidangan panggang premium yang dimasak segar mengikut pesanan, termasuk potongan daging seperti ribeye dan tenderloin yang disajikan panas dari dapur.
Selain itu, Ginger turut menawarkan pilihan makanan laut yang luas dengan hingga 15 jenis pada satu masa, termasuk udang galah, ketam, kerang dan udang yang dimasak dengan pelbagai cara.
Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai sos buatan sendiri seperti sambal belacan mangga dan cincalok, yang menambah kelainan kepada setiap hidangan.
Antara hidangan istimewa ialah Wagyu Beef Rendang yang dimasak selama enam jam dan Sarawak White Pepper Boston Lobster yang menggabungkan rasa tempatan dan Asia Tenggara.
Bermula 1 Mei hingga 30 Jun, Ginger turut memperkenalkan bufet bertema, ‘Flames of the World’, yang mengetengahkan hidangan panggang dari pelbagai negara, termasuk BBQ Wagyu Short Ribs, Moroccan Lamb Kebab, dan ayam panggang gaya Indonesia.
Konsep ini sesuai untuk keluarga yang ingin menikmati pelbagai cita rasa dalam satu lokasi.
Namu Bulgogi
Bagi pencinta makanan Korea, Namu Bulgogi – yang mempunyai cawangan di Tampines 1, Northpoint City di Yishun dan Hillion Mall di Bukit Panjang – memperkenalkan rangkaian baharu samgyetang halal dengan sembilan variasi berbeza.
Hidangan sup ayam ginseng ini dipercayai berkhasiat dan kini ditawarkan dengan sentuhan moden.
Setiap hidangan dimasak selama 12 jam dengan bahan seperti ginseng dan pulut, menghasilkan sup yang kaya dan berperisa.
Antara pilihan menarik termasuk Wild Mushroom Samgyetang, Spicy Pollack Samgyetang dan Tomato Collagen Samgyetang, yang bukan sahaja enak bahkan dipercayai berkhasiat.
Swensen’s
Swensen’s turut menawarkan pilihan pencuci mulut istimewa sempena Hari Ibu.
Antara tarikan utama ialah kek aiskrim Halo Mommy yang dihiasi dengan coklat berwarna merah jambu dan berbentuk rama-rama emas, serta Carnation Sticky Chewy Chocolate Ice Cream Cake yang terkenal bagi pelanggan Swensen’s.
