Di Kaki Bukit 511 Market & Food Centre, Bedok North Street 3, aroma roti john yang digoreng panas-panas cukup menggoda, menarik pelanggan untuk turut beratur panjang di gerai yang terkenal dengan roti johnnya.

Gerai Nur Jannatun Naim terkenal dalam kalangan peminat roti john.

Bagi pemilik gerai generasi kedua, Cik Mul’liati Ahmad, hidangan ini bukan sekadar makanan jalanan, tetapi legasi keluarga yang sudah bertahan lebih tiga dekad.

“Ibu bapa saya memulakan perniagaan ini di Pasir Panjang Park.

“Dari gerai kecil, kami berkembang dan buka di Bedok,” jelas Cik Mul’liati, 44 tahun.

Cik Mulliati menguruskan perniagaan bersama abang dan kakaknya, Encik Kamarul Zaman Ahmad, 54 tahun dan Cik Norhuda Ahmad, 47 tahun.

Dari situ, roti john mereka terus mempunyai pengikut setia daripada mak cik dan pak cik, hinggalah ke golongan muda.

Walaupun menu di sini menampilkan roti john, hidangan lain seperti sabsuka dan ayam goreng juga menjadi antara yang popular.

“Rasa roti john kami sederhana sahaja. Ada telur, daging cencang, bawang dicampurkan dengan roti,” kata Cik Mul’liati.

Prosesnya bermula di atas kuali leper yang besar dan panas.

Campuran telur, bawang dan daging cencang dituang dan diratakan, sebelum roti Perancis ditekan ke atasnya.

Aroma bawang dan daging itu memikat selera pelanggan yang berdiri menunggu hidangan itu siap di luar gerai.

Roti itu kemudian dibalikkan, digoreng hingga permukaannya keemasan.

Hasilnya cukup memuaskan.

Apabila Kaki Makan mencubanya, bahagian luar sedikit rangup sementara bahagian dalamnya lembut dan padat, dengan inti daging dan bawang bersama telur.

Satu lagi rahsia terletak pada roti itu sendiri. Mereka mempunyai pembekal roti khas.

“Isi dalam roti itu, kena mampat. Kalau yang biasa dijual di luar, kadang isi tidak padat.

“Jadi susah nak buat roti john yang elok,” jelasnya.

Menariknya, roti john di sini tidak menggunakan sebarang rempah tambahan dalam adunan.

“Kami tidak pakai rempah, sebab kami takut ia senang basi. Ramai orang risau kalau letak macam-macam, roti tak tahan lama,” katanya.

Sebaliknya, mereka kekalkan campuran asas telur dan bawang, menjadikannya lebih tahan lama untuk disimpan beberapa jam tanpa menjejaskan rasa.

Tidak seperti versi moden yang penuh dengan sos mayones atau sos keju, roti john di sini mengekalkan gaya asli.

“Roti john kami autentik. Namun kami tetap memberi pilihan kepada pelanggan jika mereka mahu memesan roti john dengan keju,” tambahnya.

Menurutnya, ramai pelanggan lebih gemar roti john asli yang tidak terlalu lembik atau ‘soggy’, terutama jika mahu dibawa pulang atau disimpan.

“Ada orang cakap, mereka tidak suka yang ada sos… kalau makan lambat nanti lembik,” tambahnya lagi.

Malah, ramai pelanggan sudah menemui cara tersendiri untuk menikmatinya.

“Ada yang beli banyak, 10, 20 roti john sekali gus. Mereka kemudian simpan dalam penyejuk beku.

Apabila nak makan, keluarkan dan panaskan semula,” katanya sambil ketawa.

Seorang pelanggan dari Choa Chu Kang pernah membeli lebih 20 roti john untuk disimpan.

Ada juga yang datang dari luar negara menikmatinya, semata-mata untuk mengimbau rasa lama.

“Saya ingat ada seorang pelanggan dari Finland.

“Beliau datang dan cakap sudah lama cari roti john macam ini,” tambahnya lagi.

Selain inti roti, sambal di sini juga memainkan peranan penting.

Disediakan setiap hari, sambal merah itu mengambil masa sekitar dua jam untuk dimasak.

“Kami harus masak sambal sampai minyak pecah, baru rasanya naik,” jelasnya.

Hasilnya ialah sambal pedas yang manis dan pekat, menjadi pelengkap kepada roti john.

Operasi gerai ini dikendalikan oleh tiga adik-beradik.

Abangnya bertanggungjawab menyediakan sambal, kakaknya menguruskan proses menggoreng roti hingga garing sempurna, manakala Cik Mul’liati sendiri mengendalikan pesanan pelanggan.

“Kami semua ada peranan masing-masing. Karakter berbeza, tapi saling melengkapi,” katanya.

Dalam sehari, lebih 100 roti john boleh terjual.

Cik Mulliati berpendapat keaslian roti john itulah yang terus menarik pelanggan hingga ramai sanggup beratur untuk menikmati hidangan yang sederhana tetapi cukup memuaskan.

“Rasa roti john kami sederhana sahaja. Ada telur, daging cencang, bawang dicampurkan dengan roti... Kami tidak pakai rempah, sebab kami takut ia senang basi. Ramai orang risau kalau letak macam-macam, roti tak tahan lama.”
Cik Mul’liati Ahmad, pemilik gerai Nur Jannatun Naim.
Nur Jannatun Naim
Alamat: 511 Bedok North Street 3, #01-12, Singapura 460511
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, tanpa hari Rabu, 12 tengah hari hingga 5 petang

Get therelocation-icon