Topic followed successfully
Go to BHkuSelami asal usul roti john
Roti john ialah sejenis makanan tempatan yang terkenal di Singapura.
Ia dibuat menggunakan roti Perancis, roti panjang seperti baguette yang lebih lembut dan padat, dibelah dua, kemudian disapu dengan campuran telur, daging cencang dan bawang sebelum digoreng di atas kuali panas.
Hasilnya rangup di luar tetapi lembut di dalam, dan biasanya dipotong kecil serta dimakan bersama sos cili.
Versi moden pula mengandungi bahan tambahan seperti keju cair, cendawan atau mayones, menjadikannya lebih pelbagai mengikut selera semasa.
Menurut Singapore Infopedia melalui penulisan Cik Bonny Tan, roti john merupakan hidangan unik yang lahir daripada pertembungan budaya Inggeris, Melayu dan India di Singapura.
Nama roti john merupakan gabungan perkataan ‘roti’ – yang berakar daripada bahasa Sanskrit, dan digunakan dalam bahasa Melayu – serta ‘John’, iaitu panggilan umum masyarakat tempatan terhadap orang Barat pada suatu ketika dahulu.
Dari segi sejarah, terdapat beberapa kisah tentang asal usul roti john.
Dalam temu bual sejarah lisan yang didapati di Arkib Negara bersama Encik Pakirisamy Rajagopal, beliau menceritakan bahawa hidangan ini bermula di gerai tepi jalan di Koek Road di Somerset.
Seorang penjual India-Muslim bernama Encik Abdul sering menjual roti telur kepada askar British.
Setiap kali melihat mereka, beliau akan bertanya, “Roti, John?” yang bermaksud “Mahu roti, John?”.
Dari situ, nama roti john mula digunakan.
Terdapat juga kisah dari tahun 1960-an yang menyatakan seorang penjaja Melayu di Sembawang mencipta hidangan ini apabila menyediakan roti telur khas untuk seorang lelaki Inggeris yang menginginkan burger.
Dengan bahan yang terhad, beliau menggunakan roti Perancis dan telur sebagai pengganti, lalu menghasilkan roti john.
Menjelang tahun 1970-an, roti john semakin popular apabila lebih ramai penjaja seperti Cik Norhayati Shukor menjualnya di Taman Serasi berhampiran Kebun Bunga Singapura.
Sejak itu, roti john terus berkembang dan kekal sebagai makanan jalanan ikonik.
