Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahsia apam balik GAPP terletak pada resipi adunan

Dec 14, 2024 | 5:30 AM
Pemilik generasi kedua Geylang Apam Pulau Pinang atau GAPP, Encik Muhammad Fadzil Mohamed Shahrir, memulakan harinya seawal 4 pagi untuk persiapan menjual apam balik.
Pemilik generasi kedua Geylang Apam Pulau Pinang atau GAPP, Encik Muhammad Fadzil Mohamed Shahrir, memulakan harinya seawal 4 pagi untuk persiapan menjual apam balik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apam balik yang baru dimasak sentiasa memikat selera, dengan aromanya yang membayangkan rasa manis dan rasa kacang.

Pankek versi Melayu yang digemari ramai ini terkenal dengan bahagian luarnya yang berwarna keemasan dan rangup serta bahagian dalamnya yang lembut dan gebu, serta diisi dengan inti pilihan.

Gabungan kacang tanah yang dihancurkan, jagung dan sedikit mentega menghasilkan rasa berlemak, gabungan yang amat disukai penggemar apam balik.

Geylang Apam Pulau Pinang, lebih dikenali sebagai GAPP, mula dibuka pada 2007 di pasar sementara Geylang Serai semasa pembinaan semula Pasar Geylang Serai dan pembinaan blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berdekatan.

“Geylang Serai ialah lokasi asal gerai ini semasa saya mengambil alih daripada ibu bapa saya,” kongsi pemilik generasi kedua GAPP, Encik Muhammad Fadzil Mohamed Shahrir.

Walaupun apam balik kekal klasik, GAPP membezakan dirinya dengan menawarkan pelbagai perisa yang sesuai mengikut selera semua.

“Selain perisa tradisional, kami mempunyai pilihan lain untuk pelanggan yang lebih muda,” tambahnya.

Perisa popular termasuk kacang, kacang dan jagung, cip coklat, atau jagung sahaja. Perisa kacang dan jagung paling laris dijual.

Apabila ditanya tentang apakah yang membuatkan apam baliknya hebat, Encik Fadzil menekankan bahawa semuanya bermula daripada adunan.

“Adunan itulah yang membeza satu apam balik dengan yang lain. Isi boleh datang daripada pembekal yang sama, tetapi adunan menentukan sama ada ia bagus atau tidak,” jelasnya.

Adunan dibuat dengan teliti bagi memastikan keseimbangan tekstur agar sempurna.

“Ia semua tentang masa. Anda perlu mengeluarkannya dari kuali pada masa yang tepat untuk menjadikannya rangup di luar dan lembut di dalam.

“Apabila ia sejuk, ia kekal lembut sepanjang masa,” katanya.

Memulakan harinya seawal 4 pagi, Encik Fadzil menyediakan adunan dan inti dengan teliti bagi memastikan kesegaran dan ketekalan.

“Bertahun-tahun amalan dan pengetahuan yang diturunkan daripada ibu bapa saya menjadikan saya cekap dalam mengekalkan mutu,” katanya.

Apam balik GAPP dijual pada harga yang bermula daripada $2.50 hingga $3.50 bagi sekeping apam balik.

Ketika ditanya tentang perbezaan antara apam balik dengan min jiang kueh, Encik Fadzil berkongsi perbezaanya,

“Terdapat sedikit perbezaan dalam bahan yang digunakan untuk adunan. Min jiang kueh biasanya vegetarian kerana mungkin tidak menggunakan telur atau mentega,” kongsinya.

“Apa yang paling memuaskan hati saya adalah apabila saya dapat memberikan apa yang pelanggan mahukan dan menerima maklum balas positif,” katanya.

Encik Fadzil berharap apam balik kekal relevan untuk generasi akan datang.

“Ia adalah pencuci mulut tradisional yang boleh dimodenkan dengan pengisian yang berbeza,” katanya.

Harapannya adalah agar apam balik kekal sebagai snek pilihan masyarakat kerana rasa nostalgianya dan ruang untuk berinovasi menerusi pelbagai pilihan inti yang ditawarkan.

Alamat: 1 Geylang Serai, #02-144, Singapura 402001

Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 7.45 pagi hingga 4 petang atau sehingga habis dijual

Harga: Perisa kacang atau jagung dijual pada harga $2.50. Jagung dan kacang atau kacang dan cip coklat, dijual pada $3 sekeping dan perisa keju dan jagung atau keju dan strawberi dijual pada harga $3.50 sekeping.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg