Pencuci Mulut & Pastri
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Munchi Pancakes tawan hati pelanggan dengan apam balik kreatif

Hasil kulit pankek pelbagai warna, inti perisa unik demi memikat hati pelanggan berbilang usia
Dec 14, 2024 | 5:30 AM
Pengurus Pemasaran Munchi Pancakes, Encik Abdul Wafi Solihin Abdull Rahim, berkongsi kejayaan di sebalik jenama Munchi Pancakes di pusat penjaja.
Pengurus Pemasaran Munchi Pancakes, Encik Abdul Wafi Solihin Abdull Rahim, berkongsi kejayaan di sebalik jenama Munchi Pancakes di pusat penjaja. - Foto BH oleh KHALID BABA

Apa yang bermula sebagai gerai penjaja sederhana di Yishun pada 2016 telah berkembang menjadi salah satu jenama penjaja yang dikenali di Singapura.

Munchi Pancakes, yang terkenal dengan kreativitinya terhadap kuih apam balik tradisional – atau dikenali sebagai min jiang kueh dalam masyarakat Cina – telah mengubah semula cara pelanggan melihat hidangan nostalgia ini.

Kini, jenama itu mempunyai 20 cawangan di seluruh Singapura, dengan rancangan untuk menggandakan jumlah itu pada 2025.

View post on Instagram
 

Kuih yang biasanya diisi dengan kacang tanah, kelapa atau kacang merah, kini tersedia dalam perisa baru seperti biskut Biscoff, coklat Belgium dan bijan hitam, dengan harga antara $1.80 dengan $2.60 bergantung pada perisa dan kulit pankek.

Malah kulit pankek telah melalui perubahan, dengan pilihan seperti perisa arang (warna hitam), asli (warna keemasan), dan teh hijau (warna hijau) yang menambah daya tarikan visual kepada kuih tersebut.

“Kami sentiasa percaya bahawa orang ramai makan dengan mata mereka dahulu,” kata Pengurus Pemasaran Munchi Pancakes, Encik Abdul Wafi Solihin Abdull Rahim.

“Makanan penjaja sering dianggap sebagai makanan biasa.

“Kami mahu mengubah persepsi itu dengan menjadikan pankek kami bukan sahaja lazat bahkan juga menyenangkan dari segi estetik, sesuatu yang orang ingin ambil gambar dan kongsikan di media sosial.”

Walaupun bermula pada 2016, Encik Wafi mengakui jenama itu hanya mula mendapat tarikan ketara pada 2020.

“Pada masa itu, kami berjaya bertahan melalui Covid-19, terutamanya dengan semua sekatan. Kami tidak boleh makan di luar, jadi kami memperkenalkan inisiatif baru seperti perkhidmatan penghantaran semasa Covid-19.

“Orang ramai duduk di rumah, sentiasa menggunakan telefon mereka, dan ketika itulah mereka mula melihat pankek yang kami buat sebagai ‘fotogenik’.”

Usaha ini membuahkan hasil apabila pelanggan mula berkongsi pengalaman mereka dalam talian, mencetuskan rasa ingin tahu.

Menjelang 2021, jenama itu mendapat pensijilan halal, yang disifatkan Encik Wafi sebagai detik penting.

“Itu adalah game changer. Ia membuka kami kepada masyarakat yang lebih luas, dan kami menarik lebih banyak perhatian,” kongsinya.

Pada 2022, Munchi Pancakes membuka cawangan keduanya di Fernvale di Sengkang, menandakan peristiwa penting dalam pengembangannya.

“Orang ramai mula memberi lebih perhatian, dan itulah cara kami berjaya berkembang,” ujarnya.

Ciptaan Munchi Pancakes telah menjadi popular dalam kalangan pelanggan lebih muda yang tertarik dengan warna-warni cerah dan perisa unik.

Pada masa yang sama, jenama itu kekal berhubung dengan generasi lama melalui rasa nostalgia seperti kacang, yang menurut Encik Wafi merupakan pilihan paling popular mereka dengan harga $1.80.

“Pelanggan yang lebih berumur menyukainya kerana nostalgia, manakala yang lebih muda membandingkannya dengan rasa mentega kacang (peanut butter), rasa yang mereka kenali,” jelasnya.

Antara perisa dan tekstur unik termasuk Matcha Munchi dan Thai Milk Tea Munchi, berharga $2.40.

“Kami tidak lokek bahan-bahan. Sebagai contoh, isi krim keju kami dibuat dengan keju krim bermutu tinggi.

“Bagi perisa Biscoff pula yang merupakan kegemaran pelanggan pada harga $2.60, mempunyai taburan dengan adunan unik biskut yang dihancur dan krim Biscoff untuk memberi rasa dan tekstur yang berbeza,” ujarnya.

Komitmen jenama tersebut terhadap inovasi meliputi proses penyelidikan dan pengembangan (R&D).

Produk bermusim diuji dengan teliti sebelum ditambahkan kepada menu kekal, bagi memastikan kededua rasa dan daya tarikan pasaran.

“Kulit teh hijau diilhamkan dari Jepun. Dengan teh hijau, kami mahu pelanggan menikmati bukan sahaja isinya malah juga kulitnya. Ia juga menambah warna menarik kepada pankek itu.”

Min jiang kueh dimakan ibu bapa dan datuk nenek kami semasa mereka membesar. Tetapi ia bukan sesuatu yang sering anda lihat lagi,” kata Encik Wafi.

Mini Munchies, iaitu versi kecil min jiang kueh dan berbentuk bulat, juga menjadi kegemaran ramai.

Namun, Encik Wafi menjelaskan bahawa proses menghasilkannya memerlukan banyak tenaga kerja.

“Membuat Mini Munchies melibatkan penyejukan kulit terlebih dahulu sebelum menambah inti sejuk, kerana kulit yang panas boleh menyebabkan inti cair.

“Setiap keping dihasilkan dengan teliti menggunakan acuan logam, jadi ia mengambil masa, terutama semasa waktu sibuk.

“Visi kami sentiasa untuk mengingatkan orang ramai tentang snek warisan ini dan memperkenalkannya kepada generasi baru dengan cara yang moden dan menarik,” katanya.

Munchi Pancakes menyasarkan untuk meletakkan min jiang kueh sebagai hidangan unik Singapura, seperti roti bakar kaya.

Usaha mereka telah mendapat pengiktirafan Anugerah Penjaja Berdaya Saing pada Anugerah Penjaja Singapura 2024.

“Saya rasa anugerah itu hanyalah peringatan untuk kami meneruskan apa yang kami lakukan, untuk terus mencuba perkara baru, demi meningkatkan pengalaman penjaja.

“Ia mungkin juga memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menjadi penjaja dengan cara yang lebih unik,” luah Encik Wafi.

Munchi Pancakes boleh didapati di beberapa cawangan seperti Pusat Penjaja Taman Yishun, Pusat Penjaja @ Hub Tampines Kita (OTH), Lau Pa Sat dan Pusat Penjaja Jurong West.

Munchi Pancakes
Alamat: 51 Yishun Avenue 11 #01-43 Yishun Park Hawker Centre, Singapura 768867
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 8 pagi hingga 8.30 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg