Di lorong belakang 60A Arab Street, tersembunyi rahsia yang semakin hari kian diketahui orang ramai, iaitu kehadiran Open Secret.
Gerai kecil itu bukan kafe, tetapi konsep bawa pulang makanan atau takeaway yang menawarkan pengalaman berbeza.
Pelanggan boleh mengambil kerusi lipat dan menikmati roti bakar berisi keju atau grilled cheese toastie panas bersama kopi artisan di ruang terbuka lorong di tengah-tengah Kampong Gelam.
Walaupun tanpa ruang makan tetap, gerai itu menarik perhatian ramai menerusi konsep berani yang menyatukan dua pengasas berpengalaman dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Mereka adalah Encik Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, lebih dikenali sebagai Syarif, dari Chulop! dan Boms & Buns, serta Encik Fahmi Zailani, pengasas kafe kopi, State of Affairs di Upper Thomson.
“Ini bukan sebuah kafe. Ia memang konsep bawa pulang makanan dan minuman. Tapi pada hujung minggu bila jalan ditutup, pelanggan boleh duduk di luar atas kerusi lipat dan bersantai,” jelas Syarif.
“Saya dah lama kenal Fahmi. Selalu ke kafenya untuk beri sokongan, dan beliau pun sama. Kami pernah bekerjasama dalam beberapa acara. Dari situ, saya tahu ada keserasian,” tambahnya.
Encik Fahmi turut berkongsi:
“Kami dah lama bincangkan tentang kerjasama ini. Bila jumpa unit yang kecil dan mudah diurus, kami tahu inilah peluangnya. Kami gabungkan pengalaman masing-masing ke dalam satu ruang.”
Persahabatan itu akhirnya membuka jalan bagi peluang yang lebih besar.
“Bila saya dapat tempat ini, saya rasa inilah masa yang sesuai. Fahmi ada kepakarannya sendiri. Saya berbekal pengalaman saya. Saya telefon beliau dan cakap, ‘Saya rasa cheese toastie dan kopi memang padan. Nak join tak?’”
“Dan selebihnya adalah sejarah,” kongsi Encik Syarif.
Minat Encik Syarif terhadap roti bakar atau toastie mula berkembang melalui konsep terdahulunya, Missus, yang pernah beroperasi di Hamilton Road.
Walaupun mendapat sambutan, ia terpaksa ditutup atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Saya tak mahu ulang formula yang sama. Jadi kali ini saya jenamakan semula sebagai Grilla Gang, jenama yang lebih ‘lasak’ dan lebih serasi dengan suasana atau ‘vibe’ tempat ini,” katanya.
Grilla Gang terkenal dengan roti bakar yang padat rasa dan roti white country loaf yang dibakar sendiri setiap hari.
Menu kegemaran ramai ialah GG Toastie, $10.90, gabungan keju ‘meleleh’ dan trufel, dipadankan dengan sup tomato buatan sendiri.
Pilihan lain termasuk Bombay Toastie, $9.90, campuran kentang masala berempah dan cutni tomato dengan keju gril, Kaya Cheese Toastie, $8.90 dengan kaya pandan dan keju, Tuna Toastie, $10.90 dengan tuna kisar khas, dan Bac’n Cheese Toastie, $11.90 dengan daging lembu salai, bawang karamel dan jeruk.
“Semuanya kami hasilkan sendiri, dari roti ke cutni, masala hingga ke sup,” ujar Encik Syarif.
Dari segi minuman, Encik Fahmi menyesuaikan pendekatan kopinya untuk lokasi ini yang lebih santai dan terbuka.
“Ia tidak seperti cawangan kami di Thomson yang ada bar kopi penuh, tetapi tetap kekalkan mutu,” katanya.
“Minuman matcha memang tengah naik namanya dan terkenal sekarang, jadi kami sertakan dalam menu Strawberry Matcha, berharga $7 dan sambutannya luar biasa.
“Rasanya seimbang, ada rasa asli matcha, kemanisan dari strawberi dan menyegarkan. Sesuai untuk cuaca panas di sini,” tambahnya.
Encik Fahmi turut memperkenalkan beberapa minuman baru berdasarkan cuaca setempat.
“Saya berjalan sekitar kawasan ini dan terasa panas sangat. Saya cari minuman sejuk tapi cuma jumpa slurpee. Dari situ tercetus idea untuk tambah slushie (minuman berperisa yang dibekukan) dalam menu yang menyegarkan,” jelas Encik Fahmi.
Kini pelanggan boleh nikmati minuman seperti Teh Slush, $6.50, Lemonade, dan Black Lemonade, $6.50, slush limau yang ditambah dengan satu ‘shot’ espreso untuk rasa sitrus yang menyegarkan serta kafein yang menyuntik tenaga.
Konsep jualan dua rakan ini diinspirasikan daripada pengalaman melancong seperti berkunjung ke Melbourne di Australia, di mana kafe kecil dan lorong belakang menjadi tempat kegemaran untuk menghirup kopi dan menjamu sandwic bermutu.
“Saya memang suka tempat yang ada ‘jiwa’. Dan bila fikir kopi, saya teringat Fahmi,” kata Encik Syarif.
“Kali ini saya fikirkan strategi berbeza, iaitu kerjasama padu. Seperti yang Fahmi cakap, bila dua pengalaman digabungkan, ia lebih utuh dana ada sinergi,” tambah Syarif.
Bila tiba masa untuk memberi nama, Encik Fahmi mengakui ia bukan kekuatannya.
“Kami lontar pelbagai idea. Akhirnya isteri saya beri cadangan, Open Secret, dan ia benar-benar bertepatan dengan konsep dan lokasi kami,” katanya.
Nama itu juga mencerminkan konsep sebenar mereka, dua jenama, State of Affairs dan Grilla Gang, beroperasi dalam satu ruang.
“Pelanggan kopi saya mungkin tak tahu tentang roti bakar atau toastie, dan sebaliknya. Tapi di sini, kami saling mempromosikan dan membantu satu sama lain untuk berkembang,” jelas Encik Fahmi.
Lebih daripada sekadar makan dan minum, Open Secret menjadi bukti kekuatan kerjasama, khususnya dalam pasaran F&B golongan minoriti di Singapura yang semakin berdaya saing.
“Saya memang sejak dulu amat berpihak pada kerjasama. Dalam pasaran kecil macam ini, kita tak boleh berdiri sendiri.
“Kalau bukan kita bantu sesama kita, siapa lagi?” luah Encik Syarif.
“
Saya memang suka tempat yang ada ‘jiwa’. Dan bila fikir kopi, saya teringat Fahmi. Kali ini saya fikirkan strategi berbeza, iaitu kerjasama padu. Seperti yang Fahmi cakap, bila dua pengalaman digabungkan, ia lebih utuh dana ada sinergi.”Isnin hingga Khamis, 10.30 pagi hingga 8.30 malam; Jumaat, 10.30 pagi hingga 10 malam; Sabtu, 8.30 pagi hingga 10 malam; Ahad 8.30 pagi hingga 8.30 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg