SHAH ALAM: Pemergian pelakon dan penyanyi veteran, Allahyarham Jalil Hamid, pada 4 Mei telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri hiburan Malaysia.

Ramai rakan selebriti memberikan penghormatan terakhir serta menitipkan doa buat seniman versatil tersebut.

Fauziah Ahmad Daud, atau lebih mesra disapa Ogy, terkejut dan sedih dengan pemergian teman seperjuangannya.

Fauziah yang berganding dengan Allahyarham Jalil dalam drama Ayahanda menyifatkan kehilangan seniman itu sebagai tamparan besar dan kehilangan besar kepada industri seni.

“Saya terperanjat dengan berita pemergian arwah.

“Apa yang boleh saya katakan, berlakon dengan arwah memberikan saya kepuasan. Jalil pelakon yang sangat profesional.

“Arwah pelakon yang berfikir dan tidak suka susahkan sesiapa. Arwah serius dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Kehilangan arwah amat memeranjatkan industri seni. Bukan saya sahaja tapi saya fikir kehilangannya disifatkan amat besar,” katanya kepada BH Online.

Fauziah berkata beliau mula mengenali arwah dari zaman 1980-an menerusi drama Camelia, arahan Allahyarham Hashim Hamid.

Beliau dan arwah Jalil turut berlakon dalam beberapa naskhah lain seperti Calon Suami Untuk Nek Su dan banyak lagi.

Anggota kumpulan legenda Senario, Azlee Jaafar, 59 tahun, pula menyifatkan pemergian Allahyarham Jalil sebagai kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.

Azlee berkata kumpulan Senario banyak menerima tunjuk ajar daripada Allahyarham yang dianggap sebagai ‘pengarah lakon’ mereka pada awal pembabitan, khususnya ketika mula mencipta nama menerusi komedi sekitar awal 2000-an.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada industri hiburan yang tiada galang gantinya.

“Banyak jasa arwah kepada Senario.

“Ketika penggambaran sitkom dahulu, dialah yang banyak memberi tunjuk ajar seperti cara menggunakan pentas dengan betul, menguasai ruang dan teknik lakonan yang berkesan,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah Allahyarham di Masjid Al-Munawwarah, di sini, pada 4 Mei.

Pelakon veteran, Datuk Tarmimi Siregar, 76 tahun, menyifatkan pemergian sahabat seperjuangannya itu sebagai kehilangan besar, selain mengenang arwah sebagai individu yang berpegang teguh pada prinsip hidup.

Tarmimi berkata beliau mengenali Allahyarham sejak era 1970-an ketika masing-masing aktif dalam dunia teater di Johor sebelum terus bekerjasama dalam pelbagai program seni dan pementasan.

“Saya mengenali Allahyarham sejak era 1970-an ketika kami sama-sama aktif dalam dunia teater di Johor.

“Apabila saya dilantik sebagai Pegawai Kebudayaan, kami semakin kerap bekerjasama dalam pelbagai program seni dan pementasan.

“Malah, drama arahan saya yang ditayangkan di TV3 turut menampilkan Allahyarham. Kali terakhir saya bekerjasama dengannya adalah sekitar dua atau tiga tahun lalu menerusi telefilem Ayahanda,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham.