Sukar membayangkan hidangan rendang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tanpa aroma rempah yang membangkitkan selera.

Namun, di sebalik penggunaan rempah dalam masakan harian, tersimpan sejarah panjang perdagangan dan pertukaran budaya yang menghubungkan masyarakat Nusantara dengan pelbagai wilayah dunia.

Pengasas syarikat makanan asal Indonesia, Javara dan usahawan sosial, Cik Helianti Hilman, berkata perdagangan rempah sejak berabad lalu bukan sahaja membentuk hubungan ekonomi, malah mempengaruhi cita rasa, tradisi dan identiti makanan masyarakat di pelbagai negara.

Pelbagai rempah dan bahan aromatik, termasuk (ikut putaran jam) bunga kantan, buah pala, bunga lawang, cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, cili kering, lada hitam dan ketumbar mencerminkan kekayaan bahan masakan Nusantara yang turut dipengaruhi perdagangan.
Pelbagai rempah dan bahan aromatik, termasuk (ikut putaran jam) bunga kantan, buah pala, bunga lawang, cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis, cili kering, lada hitam dan ketumbar mencerminkan kekayaan bahan masakan Nusantara yang turut dipengaruhi perdagangan. - Foto INSTAGRAM TAMU.JKRT

Beliau menjelaskan bahawa kepulauan Maluku di Indonesia, yang dikenali sebagai Kepulauan Rempah, pernah menjadi antara pusat penting pengeluaran buah pala dan bunga cengkih.

“Rempah tersebut kemudiannya dibawa melalui rangkaian perdagangan yang menghubungkan Melaka, Goa di India, Hormuz, Zanzibar dan Afrika Selatan sebelum sampai ke pasaran dunia,” kongsinya.

Menurutnya, laluan perdagangan itu menjadi semakin penting selepas Melaka dikuasai Portugis, apabila pedagang mencari rangkaian dan pusat perdagangan alternatif.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tidak semua rempah yang digunakan secara meluas dalam masakan Nusantara berasal dari rantau ini.

Sebagai contoh, bunga lawang berasal dari China, manakala buah pelaga hijau yang dikenali sebagai ‘kapulaga seberang’ di Indonesia berasal dari India.

Istilah ‘seberang’ itu sendiri, jelas beliau, menggambarkan asal usul bahan tersebut yang dibawa dari wilayah lain melalui perdagangan.

“Kita tidak menanam bunga lawang. Ia datang dari China sejak dahulu lagi, dan itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Menurutnya, pertukaran bahan makanan antara negara membolehkan masyarakat mengolah ramuan asing mengikut cita rasa dan tradisi tempatan sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti kulinari mereka.

“Kita sememangnya mahu mengutamakan bahan yang tumbuh di kawasan sendiri, tetapi ada bahan yang tidak dapat kita tanam.

“Di situlah berlakunya pertukaran budaya dan pertukaran bahan makanan,” jelasnya.

Menurut beliau, pengaruh perdagangan rempah juga dapat dilihat dalam tradisi masyarakat di luar Asia Tenggara.

Sebagai contoh, aroma buah pala, bunga cengkih dan kayu manis telah menjadi sebahagian daripada pengalaman sambutan Krismas di Eropah.

“Bolehkah anda bayangkan sambutan Krismas di Eropah tanpa aroma buah pala, bunga cengkih dan kayu manis?” soalnya.

Begitu juga, katanya, masyarakat Nusantara sukar membayangkan sambutan Aidilfitri tanpa hidangan tradisional seperti rendang yang kaya dengan rempah.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan perdagangan rempah melangkaui keuntungan ekonomi kerana bahan tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada masakan keluarga, kenangan peribadi dan perayaan masyarakat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan
Siapakah masyarakat Orang Laut?Oct 30, 2026 | 2:59 PM