Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapakah masyarakat Orang Laut?
Siapakah masyarakat Orang Laut?
Jauh sebelum Singapura berkembang menjadi sebuah negara moden, perairan dan pulau-pulau di sekitarnya sudah menjadi tempat tinggal serta sumber kehidupan pelbagai kelompok masyarakat Orang Laut.
Dikenali sebagai ‘people of the sea’ atau masyarakat laut, Orang Laut merujuk kepada masyarakat peribumi maritim yang mempunyai hubungan sejarah dengan laut, sungai, kawasan pesisir dan pulau-pulau di Singapura serta Kepulauan Melayu.
Antara kelompok yang pernah mendiami kawasan sekitar Singapura termasuk Orang Seletar, Orang Kallang, Orang Gelam dan Orang Selat.
Walaupun berkongsi hubungan erat dengan persekitaran maritim, setiap kelompok mempunyai sejarah, wilayah dan amalan budaya tersendiri.
Pengasas Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, menjelaskan bahawa identiti Orang Laut dan Orang Pulau mempunyai pertalian, namun tidak semestinya membawa maksud yang sama.
Orang Pulau merujuk kepada masyarakat yang mempunyai akar keturunan dan sejarah kehidupan di pulau-pulau luar pesisir Singapura, khususnya Kepulauan Selatan.
Identiti tersebut juga merupakan sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat Melayu di Singapura, yang merangkumi pelbagai latar keturunan seperti Jawa, Bugis, Bawean dan Minangkabau.
Di bawah Fasal 152 Perlembagaan Singapura, orang Melayu diiktiraf sebagai penduduk peribumi negara ini.
Bagi keluarga Encik Firdaus, hubungan dengan sejarah tersebut amat peribadi.
Nenek moyangnya menetap di Pulau Semakau selama beberapa generasi sebelum keluarganya berpindah ke tanah besar pada 1977, susulan pembangunan semula pulau-pulau Singapura.
Pulau Semakau kini menempatkan satu-satunya tapak pelupusan sampah luar pesisir negara, namun bagi bekas penduduknya, pulau tersebut tetap menyimpan kenangan kehidupan, hubungan kekeluargaan dan warisan budaya.
Pada 2020, Encik Firdaus menubuhkan Orang Laut SG sebagai inisiatif akar umbi untuk mendokumentasikan kisah masyarakat yang pernah mendiami pulau-pulau selatan Singapura.
Melalui kegiatan masyarakat, perkongsian sejarah dan kini makanan tradisional menerusi Terumbu, beliau berharap generasi muda dapat mengenali asal usul mereka dengan lebih mendalam.
“Usaha memelihara warisan Orang Laut bukan sekadar mengenang kehidupan lampau, tetapi memastikan pengetahuan, budaya dan identiti masyarakat tersebut terus berkembang bersama generasi akan datang,” luahnya.