Makanan Asia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Shell out’ satukan keluarga di meja makan

Perniagaan kecil-kecilan Saos berkembang dengan aneka sos pilihan pelanggan
Jun 13, 2025 | 3:35 PM
Saos, Herman Mohd Hashim, Siti Haslina Hussin
Pengasas Saos yang terkenal dengan hidangan ‘shell out’, Encik Herman Mohd Hashim dan isterinya, Cik Siti Haslina Hussin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bayangkan meja makan yang penuh dengan makanan laut bersalut sos telur masin yang pekat, ketam bermandikan sos cili ketam dan mantou (roti ban kukus) panas yang rangup di luar dan gebu di dalam.

Di sekeliling meja itu, anggota keluarga dan rakan-rakan duduk dengan tangan yang ‘comot’ sambil menikmati hidangan tersebut.

Tiada telefon, hanya tumpuan penuh terhadap hidangan pembuka selera itu di samping sembang santai bersama satu sama lain.

Inilah pengalaman yang ingin diketengahkan oleh jenama Saos, sebuah perniagaan tempatan yang membawa konsep makan ‘shell out’.

Saos diasaskan oleh pasangan suami isteri, Cik Siti Haslina Hussin, 49 tahun, dan Encik Herman Mohd Hashim, 50 tahun.

Saos bermula sebagai perniagaan kecil-kecilan dari rumah (HBB) ketika pandemik Covid-19 melanda. Ketika itu, ia hanya menjual satu produk iaitu sos telur masin.

“Kami cuba jual sos telur masin dan telah mendapat sambutan yang baik oleh keluarga dan rakan terdekat,” jelas Encik Herman.

Dari situ, pasangan itu mula mempelbagaikan sos mereka berdasarkan maklum balas pelanggan dan minat mendalam terhadap masakan rumah.

Antara sos popular lain ialah Rendang, Ayam Masak Merah dan Lemak Cili Padi.

Dengan semangat ingin mencuba, mereka turut menghasilkan rangkaian sos sedia dimakan atau Ready-To-Eat (RTE) yang kini menjadi antara produk utama Saos.sg.

Namun, titik perubahan terbesar buat Saos berlaku apabila mereka memperkenalkan hidangan ‘shell out’.

‘Shell out’ ialah gaya makan makanan laut secara berkongsi atas dulang atau meja, dinikmati secara beramai-ramai tanpa sudu garpu.

Idea itu datang secara spontan daripada seorang rakan rapat mereka.

“Kawan kami yang memberitahu kami untuk cuba ‘shell out’.

“Pada masa itu ia memang terkenal di Malaysia dan belum lagi dikenali ramai di Singapura. Jadi kami fikir, dengan sos yang kami ada, kenapa kami tak cuba?” singkap Encik Herman.

‘Shell out’ di Saos bukan sahaja menampilkan makanan laut yang besar dan segar, seperti udang, ketam, kupang, kerang dan sotong, malah ia juga dimasak terus bersama sos pilihan pelanggan.

Antara sos yang boleh dipilih pelanggan ialah sos premium telur masin, ketam bercili (chilli crab), lada hitam (black pepper), mentega bawang putih (garlic butter), tomyam pedas, lada putih bawang putih (garlic white pepper), lemak cili padi, susu mentega emas (golden buttermilk), sos pedas tomato (fiery tango tomato) atau fusion masak merah.

“Ada pelanggan yang pilih sos ketam cili sebab mereka takut untuk cuba sos baru. Tapi ramai juga yang suka garlic butter atau golden buttermilk,” tambah Encik Herman.

“Kami sudah siapkan sos, jadi bila dapat pesanan ‘shell out’, kami masak terus dengan makanan laut untuk rasa yang lebih sebati,” kata Cik Haslina.

“Pada saya, keenakan ‘shell out’ terletak pada sosnya. Makanan laut yang segar memang banyak di pasaran, tapi yang membezakan satu ‘shell out’ dengan yang lain ialah sos.

“Kami gunakan udang besar dan segar... ketam hidup pun kami tak simpan lama. Sebelum disiang, kami ‘tidurkan’ dahulu dalam peti sejuk,” jelas Cik Haslina.

Pelbagai sos di Saos akan dihasilkan setiap minggu untuk memastikan kesegaran dan mutu hidangan yang disajikan.

Namun, misi pasangan itu bukan sekadar menjual makanan, malah mencipta kenangan.

“Daripada dahulu, saya dan suami memang didik anak-anak agar makan bersama.

“Sekarang kalau kita lihat golongan muda, mereka selalu saja dengan telefon bimbit, walaupun pada masa makan.

“Tapi bila makan ‘shell out’, tangan mereka memang akan kotor dengan sos, jadi tak sempat untuk pegang telefon bimbit,” luah Cik Haslina.

“Yang kami mahu sebenarnya adalah mereka berbual, ketawa dan luangkan masa bersama keluarga,” tambah Encik Herman.

Sambutan luar biasa terhadap konsep itu membuatkan Saos melangkah lebih jauh dari dapur rumah.

“Apabila kewangan kami sudah lebih kukuh, kami mula buka dapur pusat sendiri pada 2023,” kata Cik Haslina.

“Dapur di rumah dah tidak mampu menampung tempahan. Pada masa itu, setiap hari ada 15 hingga 18 pesanan ‘Jumbo Set’, dan setiap set ada dua bekas besar.

“Dari dapur sampai ke ruang tamu penuh dengan pesanan. Itulah titik tolak kami putuskan untuk kembangkan perniagaan dan buka dapur pusat,” tambahnya.

Namun, perjalanan mereka membangun perniagaan tidak mudah.

“Kami bermula sebagai HBB, tak ada tempat untuk pelanggan merasa makanan kami. Pesta dagang Twilight Feast antara platform pertama yang beri kami peluang untuk dikenali.

“Ia bantu menaikkan jualan dan beri kami pendedahan. Cabarannya ialah memperkenalkan jenama kami kepada orang ramai yang tak kenal kami,” kata Encik Herman.

Pasangan ini turut percaya pada kekuatan kerjasama sesama pengusaha kecil.

Pada Hari Ibu lalu, mereka bekerjasama dengan Tymelezz Treat untuk menghasilkan set eksklusif bersama pencuci mulut suji.

“Sebagai peniaga yang bermula sebagai HBB, saya faham cabaran untuk bina nama. Jadi kami percaya kerjasama sesama usahawan penting untuk terus bertahan dalam industri,” kata Cik Haslina.

Kini, Saos dikenali sebagai jenama yang menawarkan pengalaman makan mesra keluarga, lengkap dengan sentuhan santai menikmati hidangan laut segar bersama-sama di rumah.

Saos menawarkan ‘shell out’ dalam pelbagai saiz – Jumbo Bucket untuk empat hingga enam orang (berharga $243) merangkumi ketam, udang karang, kupang, udang, lala, sayuran campuran, nasi garlic butter, 12 ketul mantou dan minuman ringan.

Personal Bucket (berharga $67) pula mengandungi ketam, udang, kupang, lala, sayur campuran dan empat keping roti mantou.

Untuk tempahan, pelanggan boleh melakukannya menerusi Instagram di https://bh.sg/saos1 dan laman web rasmi Saos di https://saossg.com/.

Pada saya, keenakan ‘shell out’ terletak pada sosnya. Makanan laut yang segar memang banyak di pasaran, tapi yang membezakan satu ‘shell out’ dengan yang lain ialah sos. Kami gunakan udang besar dan segar... ketam hidup pun kami tak simpan lama. Sebelum disiang, kami ‘tidurkan’ dahulu dalam peti sejuk.
Cik Siti Haslina Hussin, pengasas bersama Saos.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg