Makanan Asia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restoran Cilantro: The Biryani Club berani beri suntikan berbeza pada hidangan tradisi

Beriani Hyderabad, ‘wagyu’ dan Tomahawk antara sajian istimewa
Feb 8, 2025 | 5:30 AM
Pengasas, Cilantro: The Biryani Club (dari kiri) Encik Hairul Isa, Encik Muhammad Najeeb Ali dan Encik Mustafa Reza Ali di restoran terbaru mereka di Joo Chiat yang menawarkan beriani gaya Hyderabad. Encik Najeeb dan Encik Mustafa adalah anak Allahyarham Ustaz Ali Mohamed yang terkenal dengan keenakan nasi beriani Masjid Khadijah.
Pengasas, Cilantro: The Biryani Club (dari kiri) Encik Hairul Isa, Encik Muhammad Najeeb Ali dan Encik Mustafa Reza Ali di restoran terbaru mereka di Joo Chiat yang menawarkan beriani gaya Hyderabad. Encik Najeeb dan Encik Mustafa adalah anak Allahyarham Ustaz Ali Mohamed yang terkenal dengan keenakan nasi beriani Masjid Khadijah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila Cilantro: The Biryani Club dibuka pada Januari 2025, ia membawa nafas baru ke Joo Chiat Road.

Menggantikan restoran Walaku di lokasi tersebut, Cilantro diasaskan oleh tiga usahawan makanan dan minuman (F&B) – Encik Hairul Isa, Encik Muhammad Najeeb Ali dan Encik Mustafa Reza Ali.

Mereka juga merupakan usahawan di sebalik jenama terkenal seperti restoran Aleeya, Cherry & Oak, Mondays dan Brulee.

View post on Instagram
 

“Apabila kami memulakan Cilantro, kami bingung jika kami mahu mengikuti gaya beriani Masjid Khadijah atau gaya Hyderabad,” kata Encik Hairul.

Teknik Hyderabad dianggap lebih sihat kerana menggunakan bahan-bahan seperti minyak zaitun.

Perjalanan untuk menyempurnakan beriani Cilantro bermula dalam penyelidikan dan pengembangan (R&D) yang mendalam.

“Kami melakukan R&D dan mencari beriani yang ada di pasaran Singapura.

“Sudah tentu, setiap penjual beriani mendakwa mereka yang terbaik.

“Tetapi bagi kami, selepas mencuba dan merasa semua beriani di Singapura, kami mendapati bahawa beriani Hyderabad adalah yang paling lazat dan mempunyai rasa yang ringan,” jelas Encik Hairul.

Beriani Masjid Khadijah memiliki tempat istimewa dalam kehidupan Encik Najeeb dan Encik Mustafa kerana ia dimasak oleh ayah mereka, Allahyarham Ustaz Ali Mohamed.

“Beriani biasa mempunyai rasa kesan selepas makan (aftertaste), yang mendorong kami meneroka pilihan beriani Hyderabad dengan lebih mendalam,” tambah Encik Hairul.

Nasi beriani Hyderabad menonjol dengan kaedah memasak dam yang teliti, iaitu apabila daging diperap mentah dilapisi dengan nasi separuh masak dan kemudian dimasak secara perlahan hingga sempurna.

Berbeza dengan beriani Melayu atau India biasa yang sering dimasak dengan daging separuh masak, versi Cilantro memasak daging bersama nasi, agar rasanya lebih sebati.

“Ia berbeza daripada beriani biasa kerana tekniknya berbeza,” jelas Encik Najeeb.

“Protein seperti ikan, daging dan ayam dimasak dalam keadaan mentah. Kami meletakkan nasi di atas protein, jadi nasi direbus bukannya ditumis.

“Nasi itu direbus dengan air, daun-daun dan rempah, kemudian dilapisi di atas daging, menyerap semua rasa yang kaya.”

Encik Mustafa menambah: “Untuk beriani Hyderabad, terdapat dua cara – menumis atau merebus nasi. Kami memilih untuk merebus kerana ia lebih sihat dan nasi itu cantik kerana ia berderai.”

Menu Cilantro menggabungkan warisan dengan sentuhan kontemporari.

Hidangan Hyderabad Dum Lamb Biryani pada harga $18 menampilkan kambing Australia yang diperap dalam rempah yang kaya dan dimasak perlahan dengan nasi basmati wangi.

Bagi pilihan yang unik dan jarang ditemui, Wagyu Brisket Biryani pada harga $28 menawarkan daging wagyu yang dimasak perlahan untuk menghasilkan tekstur yang lembut dan penuh rasa.

Bagi mereka yang memilih diet vegetarian, mereka juga tidak ketinggalan.

Beriani Nangka menawarkan rasa yang mirip daging salai dengan tekstur berserat seperti daging.

Pembuka selera seperti Crispy Okra Fritters dan Mushroom Masala (berharga $12 sepinggan setiap satu) menambah variasi yang menyelerakan.

Hidangan Imperial Platter pada harga $138 pula sesuai dikongsi empat hingga lima orang.

Hidangan tersebut menawarkan rak kambing masala, brisket wagyu (potongan daging premium), udang lada, tikka ayam, tanduri, itik dan ikan goreng cili kering, lengkap dengan raita (sejenis salad terdiri daripada tairu, timun dan bawang), dalca dan nasi beriani.

Selain beriani, Cilantro menawarkan hidangan klasik India Utara seperti Butter Chicken Masala ($18), Chicken Tikka ($18) dan pelbagai jenis roti naan bermula dari $4.

Pilihan apam, iaitu penkek tipis rangup dengan bahagian tengah yang kenyal, membawa nostalgia sarapan pagi.

Pilih daripada Apam Biasa ($3), Apam Keju ($5) atau Apam Telur ($4) – pencuci mulut ringkas tetapi berperisa.

Encik Najeeb menyifatkan Roti Karamel Halwa ($8) mereka seperti puding roti yang diperap dengan rempah-ratus seperti kunyit, ditaburi gula dan kemudiannya dibakar seperti creme brulee.

Pencuci mulut, gulab jamun, buatan sendiri yang dihidangkan dengan aiskrim vanila merupakan hidangan klasik yang memikat selera.

Teh Karak (sejenis teh masala) yang dijual pada harga $5, dan susu badam pada harga $6, adalah minuman buatan sendiri, diseduh dengan rempah-ratus segar.

“Rasanya mencerminkan jenama kami. Apabila orang mengenali jenama kami sebagai Cilantro, mereka tahu teh karak dan susu badam kami unik dan bermutu,” kongsi Encik Hairul.

Encik Mustafa pula berkongsi perbezaan ketara antara minuman buatan tangan mereka dengan versi komersial.

“Perbezaannya sangat jelas. Versi komersial terlalu manis. Kami memberi tumpuan kepada rempah-ratus dan tidak lokek menggunakannya.”

Menurut pengasasnya, Cilantro lebih daripada sekadar restoran; ia adalah kesinambungan warisan masakan keluarga mereka.

“Masakan ini adalah warisan daripada ibu bapa kami, yang diwarisi turun-temurun,” kata Encik Hairul.

“Setelah menubuhkan Aleeya yang menampilkan masakan Melayu, kami berasakan adalah wajar untuk membuka restoran beriani untuk menghormati asal usul kami.

“Alhamdulillah sambutannya sangat baik. Anehnya, kebanyakan pelanggan kami adalah daripada kalangan masyarakat Cina. Masyarakat Melayu masih belum menemui kami.

“Kami juga telah mengimbangi rasa untuk menarik pelbagai selera, termasuk ramai pelanggan India, yang menghargai perhatian kami terhadap keutamaan diet mereka.”

Clianto: The Biryani Club
Alamat: 102 Joo Chiat Road, Singapura 427396
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Ahad, 11 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg