Restoran Aleeya, sebuah restoran sajian Melayu-Indonesia di Dickson Road, di kawasan Little India, telah mengumumkan kerjasama istimewa Ramadan dengan personaliti memasak, BJ Kadir.
Kerjasama itu bertujuan menampilkan keaslian rasa tradisional Melayu dan Indonesia melalui hidangan eksklusif, Nasi Malaya.
Tersedia hanya sepanjang Ramadan, set hidangan premium itu merupakan penghormatan kepada warisan kulinari Melayu.
BJ Kadir, atau nama sebenarnya, Encik Abdul Biji Kadir, ialah nama yang tidak asing lagi dalam dunia kulinari Singapura.
Beliau terkenal dengan pendekatan inovatifnya terhadap masakan Melayu.
Tanda khasnya ‘Lima O’, yang melambangkan lima elemen utama rasa, telah menetapkan piawaian bagi santapan mewah Melayu.
Set Nasi Malaya ($149) menampilkan filet ikan goreng rangup, ayam bakar percik yang diperap dengan rempah, udang sambal, sayur lemak putih berasaskan santan, sayur goreng pedas, serta rusuk lembu kicap istimewa BJ Kadir.
Hidangan itu turut disertakan dengan sambal belacan, Sambal Malaya, dan nasi putih.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan BJ Kadir.
“Nasi Malaya bukan sekadar hidangan, malah satu penghormatan kepada tradisi masakan Melayu sambil memberikan sentuhan moden,” kata pengasas bersama Aleeya, Encik Najeeb Ali.
Bagi BJ Kadir, kerjasama itu amat bermakna secara peribadi.
“Masakan Melayu adalah tentang warisan dan kisah di sebalik setiap hidangan. Ini adalah peluang untuk membawa kembali cita rasa nostalgia kepada generasi baru,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg