Topik diikuti
Pergi ke BHkuSambutan jadi sukarelawan ibadah korban di luar jangkaan
Sambutan jadi sukarelawan ibadah korban di luar jangkaan
Ramai belia tampil semarak semangat gotong-royong, meski ada masjid terjejas dengan haiwan tidak sempat dibawa masuk
Sambutan jadi sukarelawan ibadah korban di luar jangkaan
Seawal usia 16 tahun, Encik Danish Haziq Musa Bharoocha, mula melibatkan diri sebagai sukarelawan bagi ibadah korban pada 2018.
Tugas sebagai pengendali haiwan di Masjid Sultan itu telah memberinya peluang menyaksikan dan memahami ibadah tersebut dari jarak dekat.
Pada tahun-tahun berikutnya, Encik Danish menjadi tukang sembelih pula, di masjid tempatan dan di Indonesia.
Peluang menyembelih sekitar 150 kambing dan biri-biri itu mengasah kemahiran serta meningkatkan keyakinannya.
Aidiladha ini, lulusan politeknik yang bakal menjalani Perkhidmatan Negara (NS) itu dijangka kembali menyumbang tenaga sebagai pengendali haiwan.
Encik Danish, 24 tahun, juga dilantik sebagai ketua kumpulan pengendali haiwan, dan diberi tanggungjawab tambahan memastikan keselamatan haiwan korban dan sukarelawan, agar semua peraturan dan prosedur dipatuhi.
Beliau antara kalangan belia dan beliawanis yang telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan untuk membantu dan menjayakan ibadah korban secara langsung, di beberapa masjid dan lokasi serata Singapura pada 2026.
Namun, sekitar 400 haiwan korban dari Australia yang dikendalikan syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd, tidak akan sempat dihantar ke Singapura menjelang Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei.
Sambutan luar biasa sukarelawan
Meskipun menghadapi kegenjotan itu, syarikat pengendali korban yang bertanggungjawab membekal dan melatih sukarelawan berkata mereka menerima sambutan di luar jangkaan daripada anggota masyarakat Islam yang mahu menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan ibadah itu.
Daripada jumlah sukarelawan yang tampil, mereka mendapati sekitar 40 peratus merupakan belia, dengan ada yang dalam lingkungan belasan tahun.
Minat menjadi sukarelawan itu dialu-alukan, sedang beberapa masjid di Singapura kembali menawarkan ibadah korban secara langsung.
Pada awalnya, sebanyak tujuh masjid dijangka akan menjalankan ibadah korban secara langsung pada 2026, bilangan terbesar sejak ibadah korban tempatan kembali dilaksanakan di sini, selepas terhenti seketika, ekoran pandemik Covid-19.
Masjid itu ialah Masjid Al-Istighfar, Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Firdaus (Jalan Ibadat), Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, Masjid Omar Salmah dan Masjid Tentera Diraja.
Tiga lagi lokasi iaitu Al-Wehdah (Persatuan Arab), Tadika Muhammadiyah, dan Rumah Peralihan Pertapis juga akan menjalankan ibadah korban secara langsung.
Namun, empat masjid yang terjejas dengan kegenjotan bekalan haiwan ialah Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.
Dalam kenyataannya pada 21 Mei, Muis berkata baki perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja akan diteruskan seperti yang dirancang pada Hari Raya Aidiladha.
Korban tempatan itu melengkapi tawaran sebilangan masjid lain bagi perkhidmatan korban di luar negara, yang mana ternakan disembelih di Australia dan dagingnya didingin, dibungkus dan dihantar ke Singapura.
Sebelum 2020, ibadah korban dilaksanakan secara langsung di masjid setempat dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).
Apabila pandemik melanda, operasi penyembelihan dilakukan dan diselenggara sepenuhnya di rumah penyembelihan bertauliah di Australia, dari 2020 hingga 2022.
Pada 2023, model dwipilihan diperkenal.
Korban tempatan dilaksanakan semula di beberapa masjid, manakala majoriti tempahan masih dilaksanakan di luar negara.
Operasi di masjid dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak operator swasta, dengan pihak masjid hanya menawarkan tempat penyembelihan sahaja.
Sukarelawan tonggak ibadah korban
Menjelang Aidiladha yang dijangka jatuh pada 27 Mei, syarikat pengendali korban Aliyah Rizq Holdings, The Meat Brothers dan An-Nahr Master, telah mengadakan sesi taklimat dan latihan di beberapa lokasi dan masjid yang mengambil bahagian.
Di sesi itu, ratusan sukarelawan dimaklumkan tentang keseluruhan proses ibadah korban daripada pendaftaran sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) kepada pengendalian haiwan, penyembelihan, pemotongan, pembungkusan dan pengurusan sisa.
Menekankan pentingnya peranan sukarelawan, Ketua Pegawai Operasi, Aliyah Rizq Holdings, Cik Nabilah Bagarib, berkata mereka antara tonggak utama ibadah korban, di samping sohibul korban, syarikat pengendali, masjid dan pertubuhan yang bekerjasama, serta penaja.
Malah, sukarelawan sebenarnya boleh diibaratkan sebagai tulang belakang keseluruhan operasi, kata beliau.
Menurutnya, syarikat pengendali tidak mungkin dapat menjayakan keseluruhan ibadah korban itu sendirian.
Mujur, masih ramai anggota masyarakat Islam di Singapura yang berminat menyumbang masa dan tenaga dalam proses ibadah korban, malah minat itu didapati bertambah.
“Keghairahan yang masyarakat tunjukkan dalam beberapa tahun kebelakangan telah meningkat.
“Tahun ini (2026), kami sebenarnya mempunyai terlalu ramai sukarelawan.
“Saya rasa kami mempunyai hampir 1,000 sukarelawan merentasi lima lokasi.
“Ia jumlah yang sangat besar.
“Sebagai sukarelawan, mereka tidak diberi upah, jadi mereka datang semata-mata untuk menjayakan ibadah korban,” kata Cik Nabilah, yang mempunyai sekitar 30 peratus sukarelawan kali pertama.
Beliau turut mendapati usia sukarelawan yang tampil juga semakin muda, dan berharap sukarelawan lebih berpengalaman dapat berkongsi ilmu serta kemahiran mereka kepada golongan pelapis.
Menariknya, ramai sukarelawan berminat menjadi tukang sembelih, kata Cik Nabilah.
“Kami tidak dapat memberi kesemua mereka tugas tukang sembelih, jadi kami tawarkan tugas seperti pengendali haiwan atau pembungkus daging, peranan yang juga sangat penting,” katanya.
Salah seorang pengasas The Meat Brothers, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, juga berkongsi perkembangan positif berhubung sukarelawan muda yang tampil.
Beliau mendapati sekitar 40 peratus daripada lebih 200 sukarelawannya merupakan belia berusia 35 tahun dan ke bawah.
Pengarah An-Nahr Master, Encik Zakaria Abdul Gapor, yang akan membekalkan haiwan bagi Masjid Jamae Chulia, berkata kebanyakan sukarelawan yang tampil merupakan ahli keluarga termasuk anak-anak berumur belasan tahun.
“Bagi tugas tukang sembelih, kami mendapatkan orang lama, pak cik-pak cik berusia, kerana mereka mempunyai kepakaran, sementara kami cuba melatih pelapis muda,” ujarnya.
Generasi muda sebagai pelapis
Ditemui semasa latihan penyembelihan haiwan korban di Rumah Peralihan Pertapis pada 16 Mei, Ustaz Tamliikhaa Khamsani, yang merupakan salah seorang pelatih di sesi itu, berkata golongan belia perlu dilatih sejak awal lagi untuk memastikan kesinambungan pengendalian ibadah korban pada masa hadapan.
Ini kerana generasi muda merupakan barisan pelapis penting untuk meneruskan amalan tersebut apabila golongan veteran berundur.
“Anak-anak muda ini merupakan tunjang utama untuk negara, bangsa, dan agama.
“Merekalah yang akan mewarisi dan meneruskan amal ibadah korban ini dengan baik.
“Jadi kalau kita melatih mereka dari awal, insya-Allah mereka dapat lakukan operasi korban dengan sebaiknya pada masa akan datang,” kata beliau kepada Berita Minggu (BM) selepas sesi latihan itu.
Beliau turut meluahkan rasa syukur melihat peningkatan dalam penglibatan anak muda sebagai sukarelawan korban pada hari ini berbanding ketika beliau masih muda.
“Keterlibatan golongan muda memang lebih baik berbanding tahun-tahun lepas.
“Ini mungkin atas sebab kesedaran atau sistem yang lebih meraikan anak-anak muda,” katanya.
Sukarelawan jaga kebajikan haiwan, ‘sohibul’ korban
Berkongsi tentang tugas yang dilakukan sukarelawan, Pengerusi Masjid Al-Istighfar, Ustaz Sadiqul Amin Mazlan, berkata ia tidak sekadar melibatkan pengendalian dan pengurusan haiwan korban, bahkan juga kebajikan sohibul korban.
“Sukarelawan memainkan peranan besar, bukan sahaja sebagai tukang sembelih atau tukang bungkus, tetapi juga dalam pendaftaran serta menyambut dan menghantar sohibul korban ke tempat yang sepatutnya,” katanya.
“Selain itu, kali ini syarikat pengendali korban memperkenalkan sistem menunggu yang memberi perkembangan tentang peringkat proses korban serta baki masa menunggu.
“Untuk itu, kita perlukan sukarelawan yang melakukan tugas memasukkan data juga,” tambahnya.
Memandangkan masa menunggu sekitar sejam, masjid di Pasir Ris itu turut menyediakan jamuan ringan dan program untuk sohibul korban dalam pekarangan masjid, seperti persembahan nasyid dan qasidah serta ceramah agama, dan sukarelawan diperlukan untuk menyelaraskannya.
Sukarelawan turut diperlukan untuk menghantar bungkusan daging dari khemah penyembelihan ke sohibul korban yang menunggu di dalam masjid.
Ustaz Sadiqul meluahkan rasa syukur dengan sambutan yang cukup memberangsangkan daripada sukarelawan masjid, bukan sahaja Masjid Al-Istighfar bahkan juga masjid-masjid lain dalam zon timur.
“Kami menerima 300 hingga 350 sukarelawan yang mahu membantu dalam acara sehari ini.
“Kami rasa ramai yang teruja kerana ini kali pertama masjid di timur dapat menjalankan ibadah korban secara langsung sejak pandemik Covid-19,” katanya.
Bagi sukarelawan kali pertama, Cik Noraisha Mohd Ishak, beliau tidak sabar melaksanakan tugasnya sebagai pengendali kaunter pendaftaran pada hari korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.
Lebih manis, pengalaman menjadi sukarelawan korban itu dikongsi guru prasekolah tersebut bersama anak-anaknya yang berusia 14 tahun, 15 tahun dan 17 tahun.
“Ini adalah kali pertama saya dan anak-anak menjadi sukarelawan bagi acara korban.
“Anak-anak lelaki saya ditugaskan menjaga dan mengiringi kambing, manakala anak perempuan saya diberi tanggungjawab sebagai penyambut tamu.
“Selain meraih pengalaman, saya juga ingin anak-anak saya lebih memahami erti sebenar korban iaitu pengorbanan sebagai seorang Muslim, dan redanya seekor kambing yang akan dikorbankan,” ujarnya.
