Di Kaki Bukit 511 Market & Food Centre, aroma roti john yang digoreng panas menjadi tarikan yang memanggil pelanggan yang beratur panjang.

Gerai Nur Jannatun Naim terkenal bagi peminat roti john.

Bagi pemilik generasi kedua, Cik Mul’liati Ahmad, hidangan ini bukan sekadar makanan jalanan, tetapi legasi keluarga yang sudah bertahan lebih tiga dekad.

“Ibu bapa saya memulakan perniagaan ini di Pasir Panjang Park. Dari gerai kecil, kami berkembang dan buka di Bedok,” jelas Cik Mul’liati, 44 tahun.

Cik Mulliati menguruskan perniagaan bersama abang dan kakaknya, Encik Kamarul Zaman Ahmad, 54 tahun dan Cik Norhuda Ahmad, 47 tahun.

Dari situ, roti john mereka terus mencipta pengikut setia daripada mak cik pak cik hinggalah ke golongan muda.

Walaupun menu di sini menampilkan roti john, hidangan lain seperti ‘sabsuka’ dan ayam goreng juga menjadi antara yang popular.

“Rasa roti john kami sederhana sahaja. Ada telur, daging cincang, bawang, kami campurkan dengan roti,” kata Cik Mul’liati.

Prosesnya bermula di atas kuali leper yang besar dan panas.

Campuran telur, bawang dan daging cincang dituang dan diratakan, sebelum roti Perancis ditekan ke atasnya. Aroma bawang dan daging itu memikat bagi pelanggan yang berdiri menunggu di luar kedai.

Roti itu kemudian dibalikkan, digoreng hingga permukaannya keemasan.

Hasilnya cukup memuaskan. Apabila Kaki Makan mencubanya, bahagian luar sedikit rangup sementara bahagian dalamnya lembut dan padat, dengan inti daging dan bawang bersama telur.

Satu lagi rahsia terletak pada roti itu sendiri. Mereka mempunyai pembekal roti khas.

“Dalam roti itu, ia kena mampat. Kalau ambil yang biasa dijual di luar, kadang isi dia tak padat. Jadi susah nak buat roti john yang elok,” jelasnya.

Menariknya, roti john di sini tidak menggunakan sebarang rempah tambahan dalam adunan. “Kami tidak pakai rempah, sebab kami takut ia senang basi. Ramai orang risau kalau letak macam-macam, roti tak tahan lama,” katanya.

Sebaliknya, mereka kekalkan campuran asas telur dan bawang, menjadikannya lebih tahan untuk disimpan beberapa jam tanpa menjejaskan rasa.

Tidak seperti versi moden yang penuh dengan sos mayones atau sos keju, roti john di sini mengekalkan gaya asli.

“Roti john kami autentik. Tapi tetap ada pilihan untuk memesan roti john dengan keju,” tambahnya.

Menurutnya, ramai pelanggan lebih gemar roti john asli yang tidak terlalu basah atau ‘soggy’, terutama jika mahu dibawa pulang atau disimpan.

“Ada orang cakap, mereka tidak suka yang ada sos… kalau makan lambat nanti lembik,” tambahnya lagi.

Malah, ramai pelanggan sudah menemui cara tersendiri untuk menikmatinya.

“Ada yang beli banyak 10, 20 roti john sekali gus. Mereka simpan dalam freezer. Bila nak makan, keluarkan dan panaskan semula,” katanya sambil ketawa.

Seorang pelanggan dari Choa Chu Kang pernah membeli lebih 20 roti john untuk disimpan. Ada juga yang datang dari luar negara semata-mata untuk mengimbau rasa lama.

“Saya ingat ada seorang pelanggan dari Finland. Dia datang dan cakap dah lama cari roti john macam ini,” tambahnya lagi.

Selain inti roti, sambal di sini juga memainkan peranan penting.

Disediakan setiap hari, sambal merah itu mengambil masa sekitar dua jam untuk dimasak.

“Kami harus masak sampai minyak pecah, baru rasanya naik,” jelasnya.

Hasilnya ialah sambal pedas manis yang pekat, menjadi pelengkap kepada roti john.

Operasi gerai ini dikendalikan oleh tiga adik-beradik. Abangnya bertanggungjawab menyediakan sambal, kakaknya menguruskan proses menggoreng roti hingga garing sempurna, manakala Cik Mul’liati sendiri mengendalikan pesanan pelanggan.

“Kami semua ada peranan masing-masing. Karakter berbeza, tapi saling melengkapi,” katanya.

Dalam sehari, lebih 100 roti john boleh terjual.

Cik Mulliati berpendapat keaslian roti john itulah yang terus menarik pelanggan hingga ramai sanggup beratur untuk menikmati hidangan yang sederhana tetapi cukup memuaskan.

Nur Jannatun Naim
Alamat: 511 Bedok North Street 3, #01-12, Singapura 460511
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, tanpa hari Rabu, 12 petang hingga 5 malam

Get therelocation-icon