Menghirup teh di tepi jalan Bussorah Street merupakan perkara ‘harus’ jika anda berada di kawasan itu.
Seringkali penuh dengan pelanggan, kedai Bhai Sarbat di kawasan Kampong Gelam itu tidak asing lagi bagi ramai penggemar teh dan rakyat Singapura.
Tidak hairanlah apabila gerai itu menerima antara undian tertinggi dalam tinjauan rambang pembaca Berita Harian (BH) bagi kedai teh tarik terbaik.
BH menemui Encik Mohammad Zaki Mohammad Asgar, anak sulung pemilik Bhai Sarbat, Encik Mohammad Asgar Azmi, bapa empat anak, ketika mengunjungi kedai mereka baru-baru ini di 21 Bussorah Street.
Adik lelakinya, Encik Mohammad Gani Mohammad Asgar, 20 tahun, juga bekerja bersamanya pada hari itu.
Dalam kunjungan tersebut, kami melihat barisan pelanggan tidak putus-putus membeli teh tarik di kedai mereka, terutama pada cuaca redup selepas hujan renyai-renyai turun.
Encik Zaki, 24 tahun, telah mula bekerja bersama bapanya sejak usia 16 tahun dan akan mengambil alih perniagaan bapanya itu pada masa akan datang.
Selama lapan tahun beliau belajar dan berlatih membuat teh tarik yang diminati ramai, dan kini, Encik Zaki juga boleh dianggap berkemahiran dan handal membuat teh tarik.
Apabila ditanya apakan rahsia di sebalik teh tarik mereka yang cukup istimewa itu, Encik Zaki dengan singkat menjawab ia terletak pada sukatan yang padat.
Serbuk teh yang digunakan menghasilkan asas teh yang kuat dan pekat, dan ia adalah antara kunci membuat teh yang baik, menurut Encik Zaki.
Namun, sukatannya penting dalam memastikan perisa, kepekatan dan juga kemanisan teh tersebut sempurna.
“Serbuk kami tiada jenama. Kami hanya tahu ia dari India. Tapi yang penting, apa yang membuat teh kami sedap adalah air tangan siapa yang membuat teh itu. Langkah dan proses semua boleh ikut tetapi siapa pembuat airnya, itulah kuncinya,” seloroh Encik Zaki kepada wartawan.
Satu lagi teh keistimewaan Bhai Sarbat ialah teh rempah mereka, atau lebih dikenali sebagai teh masala. Encik Zaki berkata teh masala mereka mengandungi lebih 10 rempah-ratus berbeza, menghasilkan aroma dan teh berempah dengan rasa yang seimbang.
“Bahan-bahan ini kami dapatkan dari Mustafa Centre sahaja tetapi seperti yang saya tekankan tadi adalah sukatannya. Setiap rempah ada peranannya untuk menghasilkan teh masala yang cukup seimbang,” jelas bapa dua anak itu.
Selain minuman, kedai itu juga menjual kudapan untuk santapan ramai.
Selain karipap dan vadai, Encik Zaki mengesyorkan nasi sambal goreng daging sebagai hidangan sampingan yang sesuai dimakan bersama teh tarik panas di gerainya.
“Entah mengapa, tetapi teh tarik dan nasi sambal goreng memang wajar dipasangkan bersama bukan sahaja untuk saya malah ramai pelanggan. Rasanya lengkap dan bagi saya tidak terlalu berat, lantas ini mesti dicuba,” cadang Encik Zaki.
Sejarah kedai Bhai Sarbat bermula sejak era 1950-an apabila perniagaan minuman telah dimulakan oleh seorang warga India yang dikenali ramai sebagai Encik Firuz.
Ia kali pertama beroperasi dari sebuah beca. Perniagaan itu kemudian dinamakan Warung Bhai Sarbat.
Apabila Encik Asgar mengambil alih perniagaan itu pada 2018, beliau menamakan kedai itu Bhai Sarbat.
Menurutnya, kedai itu hanya menawarkan 12 jenis minuman sahaja pada masa itu. Namun, dengan daya kreatif dan bakatnya, Encik Asgar telah mengembangkan menu minumannya kepada lebih 140 jenis untuk pilihan pelanggan.
“Saya harap saya akan dapat meneruskan legasi kedai ini dengan baik, sepertimana bapa saya telah mengembangkan perniagaan Bhai Sarbat,” tambah Encik Zaki.
Alamat: 21 Bussorah Street, Singapura 199439
Waktu operasi: Setiap hari, 6.30 pagi hingga 1 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg