Sejak kebelakangan ini, specialty coffee atau kopi dengan gred tertinggi bukan sahaja menarik kumpulan khusus pencinta kopi, bahkan khalayak ramai.
Ia bukan lagi sekadar secawan kopi yang memberi tenaga setiap pagi, malah bagi ramai penggemar kopi, kini ia ibarat satu seni yang menyaksikan individu menghargai aroma, perisa dan tekstur kopi tersebut.
Dengan itu, ia menyumbang kepada trend kian ramai pelanggan sanggup membayar harga yang lebih mahal – sekitar $7 ke atas – untuk secawan kopi.
Kopi bergred tinggi ditakrif daripada biji kopinya yang bermutu, keupayaan mengesan asal usul serta perisanya yang unik.
Tidak seperti kopi biasa yang dihasilkan pada skala besar, kopi bergred tinggi diperoleh dengan teliti.
Kaedahnya termasuk menggunakan profil rasa, dengan biji kopi yang biasanya berada pada kedudukan melebihi 80 mata pada skala cupping – iaitu ukuran bagi rasa keseluruhan kopi, aroma dan keseimbangan.
Banyak biji kopi bergred tinggi juga berasal daripada satu sumber atau ladang – dikenali sebagai single origin – membolehkan penggemar minuman itu menikmati cita rasa unik dari kawasan asalnya yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran tertentu.
Menyentuh tentang kopi bergred tinggi itu, pemilik kafe Penny University, Encik Mustafah Kamal, berkata:
“Biji kopi bergred tinggi adalah kompleks, dengan keunikan dalam kemanisan dan keasidan, menawarkan perisa berbeza dalam setiap cawan.”
Beliau menambah bahawa kopi bergred tinggi membolehkan penggemar kopi meneroka beraneka profil rasa yang ditawarkan dalam setiap biji.
Pemilik bersama kafe, Dutch Colony Coffee Co, Encik Suhaimi Sukiman, yang telah berkecimpung dalam dunia kopi sejak 1998, turut berkongsi bagaimana trend itu semakin berkembang di Singapura.
“Rakyat Singapura semakin menghargai kopi bermutu tinggi hasil pengalaman perjalanan dan pendedahan kepada kopi bergred tinggi di luar negara,” katanya.
Menurutnya, perisa kopi bergred tinggi mencerminkan kaedah pemprosesan, cara ia dipanggang dan perisa unik rantau biji kopi tersebut diperoleh.
Kedua-dua Encik Suhaimi dan Encik Mustafah menekankan komitmen terhadap mutu dan keupayaan dalam mengesan biji kopi.
Di kafe Dutch Colony Coffee Co, yang beroperasi sejak 2012, Encik Suhaimi memberi tumpuan kepada “hubungan kopi”, yang bermaksud menjalinkan hubungan yang berkekalan dengan ladang biji kopi tertentu.
Ini membolehkan tahap kepercayaan dan ketekalan, memberi manfaat kepada kedua-dua petani dan pelanggan yang menghargai ketelusan.
“Kami mendapatkan sumber dan membancuh kopi yang kami juga suka minum. Mutu adalah keutamaan pertama, diikuti dengan pilihan pelanggan kami,” jelas Encik Suhaimi.
Mereka juga sangat teliti dalam proses pemanggangan bagi setiap kumpulan, dengan usaha dilakukan bagi menyerlahkan kemanisan, keasidan atau rasa kemasaman pada tekstur semula jadi kopi.
Di Penny University pula, Encik Mustafah menjelaskan bahawa mereka menyesuaikan proses pemanggangan untuk menyerlahkan perisa khusus dalam setiap biji kopi
“Jika kami mempunyai biji kopi dari Kenya, perisa biji kopi itu biasanya mempunyai rasa sitrus. Justeru, kami menyesuaikan proses memanggang untuk menyerlahkan perisa kulit oren,” kata Encik Mustafah.
Proses mendapatkan sumber biji kopi menuntut perincian.
Kedua-dua kafe menjalankan proses ‘cupping’ atau kaedah rasa yang digunakan untuk menilai dan membezakan biji kopi berdasarkan mutu seperti aroma, kemanisan dan keasidan.
Dutch Colony Coffee Co mengikut protokol merasa khusus, termasuk analisis pasaran dan jangkaan pengguna, sebelum membuat komitmen kepada satu kumpulan kopi.
Setelah pemilihan dibuat, mereka akan bekerja secara langsung dengan petani dan pembekal untuk mendapatkan kontrak jangka panjang, bagi menyokong amalan mampan.
Cara kopi dibuat akan lebih mempengaruhi pengalaman penggemar kopi bergred tinggi.
Bagi Encik Suhaimi, beliau suka perkakas, French Press, kerana kaedah itu ringkas dan tidak ditapis.
Beliau menyifatkan kaedah mudah itu menyerlahkan sifat semula jadi biji kopi.
Ia juga membawa nostalgia tentang proses membeli kopi.
Sementara itu, Encik Mustafah pula bereksperimen dengan pelbagai cara untuk lebih menyesuaikan rasa dengan profil biji kopi.
Kegemarannya sekarang adalah menggunakan perkakas, April Brewer, yang menggunakan cara tuang air panas ke biji kopi yang telah dikisar, yang disebut sebagai pour over.
Ini membolehkan rasa perisa yang lebih jelas dan menghasilkan bru ringkas yang menyingkap nuansa unik biji kopi tersebut.
Dengan sumber lebih premium, pemanggangan khusus dan pendekatan dengan sentuhan artisan, harga kopi bergred tinggi juga lebih mahal sedikit berbanding kopi komersial.
Dutch Colony Coffee Co dan Penny University mengimbangi harga mereka dengan trend pasaran, kos biji kopi dan jangkaan pelanggan.
Walaupun harga mungkin lebih mahal daripada kedai kopi biasa, pelanggan hari ini lebih berpengetahuan dengan apa yang terdapat dalam secawan kopi tersebut yang lebih tinggi nilainya.
“Mereka (pelanggan) lebih berpengalaman melalui kembara mereka di luar negara dan juga lebih bijak dari segi mutu.
“Justeru, mereka tidak keberatan membayar lebih untuk kopi kerana mereka menghargai kopi bergred tinggi sedemikian,” ujar Encik Mustafah mengenai harga kopi yang meningkat.
Menurutnya juga sepanjang 12 tahun Penny University beroperasi, beliau telah mencuba mengekalkan harga yang sama hampir sedekad dan terpaksa menaikkan harga sekali sahaja beberapa tahun lalu untuk mencerminkan kos biji kopi yang semakin mahal.
Encik Suhaimi turut menambah bahawa lebih ramai pelanggan sekarang tahu apa dan bagaimana mereka ingin kopi mereka disiapkan berbanding sebelum 2014.
“Harga yang diletakkan menjadi tanda aras kepada harga purata pasaran.
“Jika terlalu mahal, pelanggan akan elak, jika terlalu murah, mereka akan mempunyai gambaran bahawa ia tidak bermutu,” jelas Encik Suhaimi, yang menambah bahawa pelanggan sekarang mempunyai jangkaan yang tinggi.
Encik Suhaimi bersetuju bahawa kafe seperti Dutch Colony Coffee Co ataupun Penny University bukan sahaja tentang kopi.
Ia lebih kepada persekitaran yang dapat mengukir kenangan indah, barista atau pembuat kopi yang berkemahiran, peralatan bermutu tinggi dan juga khidmat pelanggan yang baik.
Seiring perkembangan budaya kopi di Singapura, kopi bergred tinggi mungkin akan kekal sebagai pilihan premium tetapi mudah diakses bagi mereka yang mencari rasa unik dan sumber beretika serta mampan.
Sama ada daripada asal usulnya yang boleh dikesan, seni memanggang atau ketepatan setiap bancuhan, kopi tersebut mencerminkan tahap dedikasi dan kepakaran yang melangkaui piawaian kopi biasa.
Untuk penggemar kopi sejati, kopi bergred tinggi adalah pengalaman indah yang dinikmati pada setiap hirupan.
Bagi kafe seperti Dutch Colony Coffee Co dan Penny University, kopi bergred tinggi bukan sekadar produk biasa.
Malah, ia mencerminkan minat mendalam dan falsafah hidup, yang dibentuk untuk memberikan pengalaman autentik dan luar biasa dalam setiap cawan kopi kepada mereka yang menghirupnya.
“
“Harga yang diletakkan menjadi tanda aras kepada harga purata pasaran. Jika terlalu mahal, pelanggan akan elak, jika terlalu murah, mereka akan mempunyai gambaran bahawa ia tidak bermutu.”“
“Mereka (pelanggan) lebih berpengalaman melalui kembara mereka di luar negara dan juga lebih bijak dari segi mutu. Justeru, mereka tidak keberatan membayar lebih untuk kopi kerana mereka menghargai kopi bergred tinggi sedemikian.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg