Topik diikuti
Pergi ke BHkuTarik tembusi pasaran di Dubai, bawa teh tarik S’pura
Tarik tembusi pasaran di Dubai, bawa teh tarik S’pura
Daripada sebuah tingkap kecil di Arab Street sebelum membuka gerai utamanya bertentangan Masjid Sultan yang sering menarik barisan pelanggan, jenama teh tarik tempatan, Tarik, kini mengorak langkah ke luar negara dengan pembukaan cawangan pertamanya di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Terletak di Binghatti Canal, cawangan baru itu yang dibuka pada September merupakan pelaburan terbesar Tarik setakat ini dan satu perubahan besar daripada konsep bawa pulang yang menjadi identiti jenama tersebut di Singapura.
Cawangan Dubai mempunyai sekitar 35 hingga 45 tempat duduk di dalam dan 10 hingga 15 di luar.
Bagi pengasasnya, Sheikh Ali Redha, langkah ke luar negara mula terlintas apabila pelancong yang mengunjungi Tarik di Singapura bertanya bila jenama itu akan dibawa ke negara mereka.
“Apabila pelancong benar-benar menikmati produk kami dan berkata, ‘Baik kalau Tarik dibuka di negara kami’, ditambah pula dengan beberapa permintaan francais antarabangsa, kami sedar Tarik mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh,” kongsi Encik Redha kepada Berita Harian.
Dubai pula bukan tempat asing bagi bekas kru kabin yang berkhidmat selama 14 tahun itu.
Beliau mula mengunjungi Dubai pada 2006 dan sejak itu menjadikan kota tersebut sebagai destinasi percutian hampir setiap tahun.
“Dubai sudah seperti rumah kedua saya. Ia juga sebuah tempat yang penuh dengan peluang,” katanya.
Menurut Sheikh Ali, sekitar 70 peratus penduduk di Dubai merupakan peminum teh, manakala teh karak boleh ditemui hampir di setiap sudut kota itu.
“Setiap kali saya melihat betapa digemarinya karak di sana, saya teringin melihat karak kami sendiri sampai ke Dubai dan dinikmati masyarakat yang menggemarinya,” katanya.
Namun, beliau tidak melihat budaya teh karak yang sudah kukuh atau kewujudan banyak jenama teh di Dubai sebagai saingan kepada Tarik.
“Saya tidak pernah melihat sesiapa atau apa-apa sebagai pesaing. Saya yakin dengan produk saya,” katanya.
Sebaliknya, Sheikh Ali mahu mengetengahkan kelainan budaya teh Asia.
Menurutnya, teh di Dubai lazimnya disediakan menggunakan susu segar dan gula, berbanding penggunaan susu pekat dan susu sejat yang lebih sinonim dengan penyediaan teh di rantau ini.
“Saya mahu membawa budaya teh Asia ke sana. Seni ‘menarik’ teh itu sendiri juga sesuatu yang cukup sinonim dengan Singapura,” tambahnya.
Tarik, yang ditubuhkan pada 2021, menghasilkan campuran tehnya sendiri menggunakan serbuk teh yang diimport dari Kenya, Sri Lanka dan Indonesia.
Antara teh tarik yang laris dijual ialah Teh Tarik Zaffran.
Berbeza dengan gerainya bertentangan Masjid Sultan yang tertumpu kepada pesanan bawa pulang, Sheikh Ali memilih konsep kafe untuk Dubai kerana budaya menjamu selera di kafe lebih menonjol di sana.
“Dubai memang terkenal dengan budaya kafe. Cuacanya juga agak panas, jadi orang lebih gemar duduk, makan dan berbual di dalam,” katanya.
Namun, pembukaan itu berdepan kelewatan apabila ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat pada Februari menjejas kerja pengubahsuaian serta proses mendapatkan permit dan lesen.
Sheikh Ali berkata beliau sudah membuat komitmen terhadap premis tersebut sebelum konflik berlaku dan memilih untuk meneruskan rancangan itu.
“Kami tidak boleh berbuat apa-apa selain menunggu dan yakin keadaan akan kembali reda dalam beberapa bulan,” katanya.
Pelaburan di Dubai itu dibiayai sepenuhnya oleh Sheikh Ali, dengan kos sewa dan reka bentuk yang jauh lebih besar berbanding operasinya di Singapura.
Perkataan “Singapore” turut terpampang pada papan tanda Tarik di Dubai bagi menonjolkan asal-usul jenama itu.
Sheikh Ali turut merancang memperkenalkan makanan Singapura, termasuk nasi lemak dan nasi ayam, kepada pelanggan di Dubai.
Selain Dubai, Sheikh Ali bakal buka cawangan Tarik di Johor Bahru Malaysia pada pertengahan bulan Oktober ini.
