Akbar 24 Hours Restaurant, yang terletak di kawasan Tanjong Pagar, menawarkan konsep pandu lalu pertama yang menyajikan teh tarik dan masakan mamak.
Ia merupakan kedai kopi India Muslim pertama yang menawarkan khidmat pandu lalu dengan pilihan yang luas untuk dipesan pelanggan.
Apabila kita memikirkan ruang pandu lalu, tempat yang selalu terlintas di fikiran ialah restoran makanan segera seperti McDonald’s dan KFC.
Bagaimanapun, ruang pandu lalu yang luar biasa itu menyajikan pelbagai pilihan makanan seperti nasi beriani, mi goreng dan minuman seperti teh tarik dan Milo Dinosaur.
Ruang pandu lalu yang terletak di 2 Lim Teck Kim Road, iaitu di lorong belakang kedai makan itu, dikhususkan buat pelanggan memesan makanan dari kenderaan mereka melalui tingkap kecil.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah pemandu teksi dan pegawai seragam yang akan membeli makanan dan minuman kami.
“Ia juga mudah bagi pekerja kawasan pusat bandar (CBD) untuk datang dan memesan makanan mereka semasa waktu makan tengah hari dan waktu rehat untuk minum teh petang,” kata Encik Shajahan Mohamad Yakoob, pengurus di Restoran Akbar 24 Jam.
Menurutnya, pandu lalu itu telah mula beroperasi 14 tahun lalu.
Dalam sehari kedai makan itu akan melayan 50 hingga 60 pelanggan di ruang pandu lalu.
Teh tarik yang dihidangkan di Restoran Akbar 24 Jam adalah minuman klasik yang mempunyai keseimbangan sempurna antara rasa berkrim dan manis, tanpa rasa pahit.
“Bahan-bahan kami yang digunakan untuk teh tarik bukanlah sesuatu yang istimewa, tetapi ia lebih kepada teknik membuatnya,” tambah beliau.
Pelanggan boleh memilih untuk menghubungi kedai makan terlebih dahulu atau membuat pesanan mereka terus dari kereta atau motosikal mereka menerusi tingkap di situ.
Jika pelanggan singgah pada waktu sibuk atau pada waktu larut malam, kedai itu mencadangkan pelanggan agar menghubungi mereka lebih awal.
Alamat: 2 Lim Teck Kim Road, Singapura 088933
Waktu operasi: Dibuka 24 jam


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg