Wanita
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemutih gigi selamat atau berbahaya?

Cara putihkan gigi dengan selamat dan berkesan
Sep 3, 2025 | 5:30 AM
Pemutihan gigi sebelum dan selepas rawatan.
Pemutihan gigi sebelum dan selepas rawatan. - Foto ISTOCKPHOTO

Tiada yang dapat meningkatkan keyakinan diri seperti senyuman yang mempesona.

Apabila gigi berseri, anda bersedia untuk menyerikan mana-mana ruang.

Namun, daripada kesan kopi pagi hingga ke jus pelbagai perisa, pelbagai perkara boleh merosakkan gigi kesayangan.

Semasa meneroka pilihan kaedah pemutihan gigi, anda mungkin tertanya: Adakah pemutihan gigi memudaratkan?

Menurut laporan di laman web, Colgate, saiz pasaran produk pemutihan gigi di pasaran sejagat dijangka mencecah $3.93 bilion menjelang 2028.

Pemutihan gigi boleh didapati untuk aplikasi di klinik dan di rumah.

Secara keseluruhan, pemutihan gigi dianggap selamat.

Produk itu telah wujud selama berdekad dan jutaan orang menggunakannya – termasuk ramai doktor gigi, seperti yang dinyatakan oleh doktor gigi yang menulis di laman web, Cleveland Cinic, Ohio, Amerika Syarikat, Dr Anne Clemons.

Namun, seperti mana-mana jenis rawatan, potensi masalah wujud.

“Adalah sangat biasa untuk mengalami sensitiviti pada gigi atau kerengsaan pada gusi selepas anda mula menggunakan produk pemutihan.

“Kedua-dua masalah ini cenderung hilang dengan cepat,” jelas Dr Clemons.

Penyelidikan makmal turut menunjukkan kemungkinan hakisan gigi dan perubahan dalam mikrostruktur gigi melalui pelunturan yang agresif.

Kajian menunjukkan pemutih mungkin bertindak balas secara kimia dengan korona seramik, bahan tampal dan bahan-bahan yang digunakan pada gigi lain yang pernah dipulihkan.

Tetapi kajian itu dilakukan dalam tetapan makmal dan bukan pada gigi hidup, tegas Dr Clemons.

Kesimpulannya?

“Terdapat risiko dengan mana-mana jenis rawatan, tetapi produk pemutihan gigi telah dirumus dengan teliti untuk memastikan ia selamat digunakan pada gigi anda,” kata beliau.

Jika anda ingin menambahkan kilauan pada senyuman, Dr Clemons menawarkan nasihat berikut untuk melakukannya dengan selamat dan berkesan.

Berbincang dengan doktor gigi

Sebagai permulaan, doktor gigi boleh membantu menentukan mengapa gigi anda mungkin kelihatan sedikit berubah warna.

Itu penting kerana produk pemutih berfungsi paling baik pada gigi yang telah kekuningan seiring usia atau akibat pewarnaan makanan atau minuman – seperti kopi dan minuman yang ada pewarna.

Tetapi perubahan warna coklat atau kelabu boleh menjadi penanda masalah yang tidak dapat diperbaiki oleh kit pemutih.

Mengatasi kebimbangan seperti penyakit gusi atau kaviti sebelum memulakan rawatan pemutihan juga penting.

“Ambil langkah untuk memastikan gigi sihat sebelum memulakan sebarang proses pemutihan,” ujar beliau.

Doktor gigi juga boleh mengesyorkan produk terbaik untuk gigi.

Beli produk yang diiktiraf

Pastikan ubat gigi pemutih dan produk pemutihan yang digunakan mempunyai kelulusan pihak berkuasa.

Ia menandakan bahawa produk tersebut didapati selamat dan berkesan dalam ujian bebas.

Ikut arahan

Kekerapan penggunaan produk pemutihan gigi berbeza berdasarkan kepekatan agen peluntur.

Ada yang direka untuk digunakan sekali sehari, manakala yang lain boleh digunakan dua kali (atau lebih).

Ada yang digunakan selama seminggu, manakala yang lain boleh digunakan selama dua minggu (atau lebih).

“Itulah sebabnya sangat penting untuk membaca dan mengikut arahan untuk melindungi gigi.

“Anda tidak mahu menggunakannya secara berlebihan,” kata Dr Clemons.

Peka dengan keadaan gigi

Seperti yang disebut, sesetengah individu mengalami keadaan sensitif sementara pada gusi atau gigi mereka apabila menggunakan produk pemutihan.

Walaupun itu bukan tanda kerosakan jangka panjang, ia boleh menjadi tidak selesa.

Pertimbangkan untuk berehat daripada pelunturan atau beralih pada produk lebih ringan jika ia berlaku.

Sekali lagi, berbincanglah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat yang tepat.

Elak rawatan di rumah

Cari dalam talian dan anda akan menemui beberapa teori menarik mengenai pemutihan gigi menggunakan minyak masak, cuka epal dan bahan dapur lain.

Serbuk arang aktif juga sering disebut.

Tetapi berhati-hati untuk mencuba kaedah alternatif itu.

“Sesetengahnya mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi ia boleh merosakkan gigi dari masa ke masa,” nasihat Dr Clemons.

Tambahan pula, terdapat sedikit atau tiada bukti yang menunjukkan kaedah itu berkesan.

Di samping itu, jangan mudah gunakan hidrogen peroksida, yang mungkin terdapat dalam kabinet ubat, untuk penjagaan gigi.

Ini kerana walaupun bahan dalam ubat gigi yang telah diluluskan dirumus secara teliti, bahan kimia itu secara berasingan boleh mengundang banyak risiko.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg