Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Khutbah

Bina daya bingkas hadapi ujian

Dec 29, 2023 | 05:31 AM



Kehidupan adalah ujian. Ujian adalah peluang – peluang untuk kebaikan, meningkatkan keihsanan dan kebingkasan.

Inilah menjadi tuaian dalam kita mengharungi krisis, konflik, dan ujian 2023 tatkala melangkah ke 2024. Agar kita menjadi lebih bingkas, mampu untuk bangkit semula daripada segala bentuk ujian dan penderitaan.

Sama-sama kita amati firman Allah swt dalam Surah Al-Mulk, ayat 2, yang bermaksud: “(Allah) Yang mencipta mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”


Yang mencipta kehidupan ini (Allah) menegaskan tujuan kehidupan. Allah ingin menguji siapa antara kita yang lebih baik amalnya; bukan yang lebih banyak amalnya.

Setiap kesusahan dalam kehidupan adalah peluang kita bersifat ihsan. Ia peluang kita memperbaiki diri dan menjadi lebih baik sebagai individu, masyarakat, dan negara.

Saudara dan saudari yang dikasihi. Kita tidak meminta kesusahan. Kita juga tidak meminta kehidupan yang terus dalam kesenangan. Bahkan kesenangan juga adalah ujian.

Tetapi kita memohon agar Allah memberi kita kekuatan dan kesabaran mengharungi apa juga kesusahan dan kesenangan. Ini semua adalah ujian. Kita perlukan ujian-ujian ini untuk mengasah keimanan dan kekuatan diri kita.

Tidak akan ada kebahagiaan tanpa kesusahan. Tidak ada keselamatan di akhirat tanpa diuji dengan kesabaran di dunia ini.

Yang menentukan nilai seseorang individu dan sesebuah masyarakat bukan kesusahan atau kesenangan. Tetapi reaksi dan tindak balas kita berhadapan dengan ujian-ujian ini.

Namun, Allah Maha Mengetahui. Allah Maha Adil. Dia yang mencipta kita. Dia juga mencipta dalam diri kita kemampuan menanggung kesusahan dan cabaran. Kita tidak diberi ujian-ujian ini tanpa kemampuan dan potensi mengharunginya, untuk bingkas dan bangkit semula.

Allah tegaskan yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebajikan) yang dikerjakannya, dan dia mendapat (seksa) daripada (kejahatan) yang diperbuatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286).


Ini menggambarkan kebijaksanaan Allah Yang Mencipta, dan Keadilan Allah yang menguji setiap seseorang atau sesebuah masyarakat sesuai dengan potensi masing-masing. Dan semua ini menjadi pengajaran dan teladan kepada semua, pada setiap masa dan tempat.

Saudara dan saudari. Tahun ini (2023) telah menyaksikan pelbagai krisis dan konflik. Sebagai contoh, konflik dan keganasan yang berlaku di Gaza secara khususnya.

Kita semua turut berasakan kesedihan yang amat sangat melihat nyawa manusia yang tidak bersalah tergadai: anak-anak, wanita, dan orang yang lemah.

Kita tidak memahami mengapa penderitaan ini perlu dilalui oleh masyarakat Palestin dan Gaza. Kita mungkin menyoal hikmah di sebalik ujian ini yang sudah berterusan puluhan tahun sebenarnya, bukan hanya pada tahun ini (2023).

Tetapi kita kagum melihat ketabahan insan-insan ini, hatta anak kecil sekalipun, dalam mengharungi ujian ini.

Kata-kata keyakinan dan kesabaran mereka lantang terdengar. Si anak kecil, dan si wanita lemah, mampu untuk berkata, “kami tetap beriman dengan Allah Yang Maha Adil. Kami tidak akan meninggalkan bumi ini. Ini adalah bumi kami. Ini adalah ujian kami. Jika kami hilang harapan pada manusia, kami tidak pernah hilang harapan kepada Allah.”

Kata-kata sakti ini menjadi teladan dan pedoman kepada kita semua. Masyarakat Palestin telah melalui keperitan ini bukan hanya tahun ini (2023). Tetapi puluhan tahun. Ujian-ujian ini telah mengasah keimanan dan kekuatan mereka. Sehingga ia menjadi karakter atau sifat masyarakat di Palestin dan Gaza.

Allah menguji mereka sesuai dengan kemampuan mereka. Ini semua menjadi teladan dan inspirasi kepada masyarakat lain, termasuk kita.

Ujian-ujian kemanusiaan ini tidak terbatas di Gaza. Kita tidak lupa juga masyarakat lain di Yaman, Syria, Afghanistan, Sudan, Congo, dan berbagai-bagai lagi hamba Allah yang diuji dengan kesengsaraan kemanusiaan ini.

Mereka semua adalah saudara seinsan kita. Bukan hanya kesengsaraan kemanusiaan, malah perubahan iklim akibat tangan manusia, yang menyebabkan kenaikan suhu panas dunia.

Tahun 2023 ini merakamkan suhu paling panas yang pernah dirakamkan sepanjang sejarah manusia. Semua ini adalah ujian Allah kepada kita.

Apakah akan berakhir segala ujian ini? Tidak. Ia tidak pernah berakhir. Dan ia akan terus menguji kita dalam berbagai-bagai bentuk.

Jadi, bagaimana kita berhadapan dengan segala ujian ini? Bagaimana kita boleh mengukuhkan daya bingkas dan kekuatan kita, agar kita menjadi lebih baik, atau ahsan?


Saudara dan saudari sekalian. Tiga perkara yang boleh kita lakukan.

Pertama, kuatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah. Yakin bahawa Allah Maha Adil.


Allah melakukan segala sesuatu dengan Hikmah-Nya. Ada yang kita faham. Ada yang belum kita faham. Ada yang tidak kita faham. Namun, kita tetap yakin dan beriman dengan Allah Yang Maha Bijaksana. Kita memohon kepada Allah jangan ditarik keimanan dan keyakinan ini dari hati kita.

Kedua, ilmu dan kemahiran.


Sangat mudah sekali emosi kita dirangsang dan diganggu. Khususnya di era media sosial. Sehingga kebenaran dan kepalsuan bercampur aduk.

Ini memerlukan ilmu dan kemahiran. Akal perlu membantu menguruskan emosi. Bukan kita menafikan emosi. Tetapi menguruskan emosi dan menyalurkan mengikut ilmu, nilai dan prinsip.

Ketiga, perpaduan sosial dan keutuhan masyarakat.


Berhadapan dengan cabaran dan krisis-krisis ini memerlukan sokongan masyarakat. Menguatkan rangkaian sokongan masyarakat yang padu memberi kekuatan membangunkan daya bingkas.

Ingatlah. Ujian tidak akan putus dalam kita mengorak langkah ke tahun baru 2024. Tetapi, apabila kita kekal bersatu sebagai satu masyarakat, kita akan lebih mampu mengharunginya. Kita akan keluar dengan lebih kuat dan ihsan (ahsan), insya-Allah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >