Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

Kisah Nabi Ibrahim lambang pengorbanan seorang ayah

Peristiwa dapat dijadikan warisan agama yang ajar nilai seperti iman, ketaatan, pengorbanan mendalam
Jun 30, 2023 | 05:30 AM



Setiap kali datangnya Aidil Adha , kita sentiasa diingatkan tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.


Apa yang berlaku kepada kededua mereka mengandungi pengajaran yang sangat penting dan berharga tentang kasih sayang serta pengorbanan seorang ayah yang didasari oleh keimanan dan ketaatan kepada Ilahi.

Inti daripada kisah ini adalah ketika Nabi Ibrahim as menghadapi ujian berat dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah swt dan seorang ayah yang sangat mengasihi anaknya.


Nabi Ibrahim as merupakan salah seorang nabi Ulul Azmi yang mempunyai tahap kesabaran dan kecekalan yang luar biasa. Beliau juga telah diberi gelaran Khalilullah iaitu ‘Sahabat Allah’.


Nabi Ibrahim as antara nabi yang diberikan ujian yang banyak dan sangat berat. Namun, setiap ujian dan tugasan itu dilaksanakan dengan sempurna atas dasar ketaatan dan keimanannya yang teguh terhadap Allah swt.


Nabi Ibrahim as telah lama berkahwin, namun belum dikurniakan anak. Walaupun begitu, beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah swt agar dikurniakan seorang cahaya mata yang soleh dan taat serta sentiasa mendampinginya dalam usaha dakwah.


Ia termaktub dalam Surah as-Saffat ayat 100 yang bermaksud: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku anak yang soleh.”


Setelah sekian lama berdoa kepada Allah swt, akhirnya pada usia yang lanjut, Nabi Ibrahim as dikurniakan seorang anak lelaki yang menjadi penyambung zuriatnya. Tentunya sebagai seorang bapa, kurniaan Allah ini adalah sesuatu yang sangat berharga.


Namun, kurniaan tersebut tidak menjadikan beliau lupa tentang tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan seorang bapa. Kasih sayang dan didikan yang diberikan kepada anaknya, Nabi Ismail as, adalah berteraskan keimanan yang sangat tinggi kepada Allah swt.


Nabi Ibrahim as tidak pernah lupa untuk sentiasa memohon kepada Allah swt agar dikurniakan anak yang soleh dan taat serta berusaha memastikan perkara tersebut melalui didikannya.


Allah swt berfirman dalam Al-Quran menceritakan tentang doa Nabi Ibrahim as yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan aku dan anak cucuku orang-orang yang sentiasa mengerjakan solat.” (Surah Ibrahim, ayat 40).


Kemuncak pengorbanan Nabi Ibrahim as dalam mendidik anak dapat kita lihat apabila baginda diperintahkan Allah swt supaya mengorbankan anaknya sebagai satu bentuk pengabdian dan ujian iman.


Meskipun perintah itu sangat berat dan bertentangan dengan naluri seorang ayah yang mencintai anaknya, Nabi Ibrahim as bersedia menjalankannya sebagai tanda kesetiaan dan ketaatan yang mutlak kepada Allah swt.


Pengorbanan Nabi Ibrahim as terhadap anaknya ini memiliki makna yang mendalam dalam konteks keagamaan. Hal ini menunjukkan kepatuhan yang mutlak kepada Allah swt, ketaatan yang tidak goyah dan iman yang kuat, bahkan dalam situasi yang penuh dengan tentangan emosi.


Ketaatan dan kepercayaan Nabi Ismail as terhadap ayahnya pula jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim telah berjaya mendidik anaknya menjadi anak yang mempunyai keimanan yang jitu serta kasih sayang yang tinggi terhadap ayahnya.


Kepercayaan dan kecintaan kepada terhadap seorang ayah tidak akan terpahat dalam hati seorang anak, jika seorang anak tidak dididik dengan didikan yang baik dari kecil dan tidak dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Berkata Nabi Ismail as kepada bapanya seperti dalam firman Allah swt “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (Surah As-Saffat ayat 102)


Kisah ‘pengorbanan’ atau mengorbankan anak ini tidak dimaksudkan untuk dicontohi secara harfiah atau perkataan demi perkataan. Syariat Islam yang dibawa oleh nabi terakhir, Nabi Muhammad saw, tidak membenarkan umatnya mengorbankan jiwa.


Kisah ini perlu difahami dalam konteksnya yang khusus. Namun, kisah ini dapat dijadikan warisan agama Islam yang mengajarkan nilai-nilai seperti iman, ketaatan, dan pengorbanan yang mendalam.

Ia mengingatkan kita tentang cinta dan pengorbanan sejati seorang ayah dan anak yang berasaskan ketulusan hati dan kepercayaan yang teguh kepada kuasa yang lebih tinggi.

Atas rahmat dan kasih sayang Allah swt kepada hamba-Nya, korban yang seharusnya berlaku atas Nabi Ismail as telah ditukarkan kepada seekor kambing. Pensyariatan korban kali pertama yang telah dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim as turut menjadi satu syariat pada umat Nabi Muhammad saw.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >