Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Perumpamaan nyamuk satu peringatan supaya konsisten muhasabah diri

Mar 22, 2024 | 05:30 AM



Dalam Al-Quran, Allah swt mengetengahkan beberapa pendekatan untuk menyampaikan sesuatu mesej. Salah satunya adalah melalui perumpamaan.


Ia adalah satu cara berkesan untuk memberi gambaran yang khusus mengenai sesuatu perkara supaya sesiapa sahaja boleh memahaminya dan meneliti daripada aspek visualnya.

Perkara ini dapat kita perhatikan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 26: “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya, iaitu kalau orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar daripada Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): “Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.”


Daripada perumpamaan ini, kita dapat meraih beberapa pelajaran, antaranya adalah:

Setiap ciptaan ada hikmahnya

Pertama, Allah swt mencipta dan membentuk setiap ciptaan-Nya dengan penuh hikmah. Ini supaya kita merenung dan menjadikannya bukti akan tanda kebesaran Allah.


Allah tidak malu untuk memberi contoh yang secara zahirnya terlihat remeh. Bahkan, dalam Al-Quran, banyak perumpamaan lain yang disebutkan seperti nyamuk, labah-labah, lebah, semut dan lalat. Ia setanding hebatnya dengan contoh-contoh lain, seperti gunung-ganang, langit, laut dan sebagainya.

Walhal, jika kita fikirkan dengan akal rasional dan atas dasar logik, kita akan sedar bahawa lebih kecil sesuatu ciptaan Allah itu, maka ia akan kelihatan lebih canggih dan menakjubkan.

Ini kerana daya manusia yang terhad dan mata kasar manusia tidak mampu mewujudkan perkara yang sama.

Persamaan nyamuk dengan orang yang lalai

Kedua, menurut tafsir Ibn Kathir, Ar-Rabi’ bin Anas berkata berkenaan perumpamaan nyamuk adalah untuk memberi gambaran perihal kehidupan dunia.

Nyamuk hidup selagi mana ia memerlukan makanan. Tetapi selepas ia kenyang dan menjadi gemuk, ia mati.

Dari sudut yang lain, perumpamaan yang sama adalah seperti perihal seseorang yang mendapatkan pelbagai nikmat dunia, lalu Allah swt mengambilnya kembali atas sebab kelalaian mereka sehingga melupakan tentang tuntutannya sebagai seorang Muslim kepada Tuhannya.


Kenikmatan dunia boleh berbentuk harta, kesihatan, rupa, pangkat dan kuasa. Ia selari dengan apa yang disebutkan dalam Surah Al-An’aam, ayat 44: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).”


Kesenangan sebagai ujian

Hal ini cukup mirip dengan konsep ‘istidraj’, iaitu apabila Allah swt memberikan seseorang kenikmatan sebagai ujian dan hukuman dan ia datang daripada kemurkaan Allah.


Peringatan ini berdasarkan ayat 182-183, daripada Surah Al-A’raaf, yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami menarik mereka sedikit demi sedikit (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku akan memberikan tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasan-Ku amatlah teguh.”


Kemudian, dua kemungkinan boleh berlaku, iaitu sama ada Allah membiarkan seorang itu terus menerus dalam kesenangan sehingga dia sedar dan menyesalinya di akhirat kelak; atau Allah memberikan kesenangan, lalu kesenangan itu lesap secara mengejut dan digantikan dengan ujian berat.

Namun, tidak wajar juga bagi kita bertanggapan bahawa seorang Muslim tidak patut berusaha menjadi kaya atau bersikap menolak segala bentuk kenikmatan dunia secara keseluruhannya. Malah, nikmat-nikmat adalah satu bentuk rezeki daripada Allah swt.


Sangat penting juga tatkala kita melihat seseorang diberikan kenikmatan dunia yang melimpah, kita tidak membuat andaian bahawa seseorang itu sedang lalai dan Allah bakal mengambil kembali nikmat tersebut.

Apa yang boleh kita lakukan?

Antara langkah proaktif yang boleh kita lakukan adalah:

Pertama, kita harus menyedari bahawa semua nikmat dan rezeki merupakan kurniaan dan anugerah daripada Allah.


Kesedaran ini akan memupuk rasa kebergantungan pada Allah dan rasa rendah hati bahawa semua nikmat dan kurniaan adalah atas izin Allah, dan bukan seluruhnya atas usaha kita semata-mata.

Tatkala kita mula berasa bahawa kita berhak ke atas sesuatu, atau menjadikan sesuatu kejayaan itu seluruhnya atas usaha kita, perasaan sebegini membuka pintu kepada sifat takbur, kelalaian dan sangkaan bahwa seseorang itu tidak memerlukan Allah.

Kedua, pupuk kesedaran bahawa dalam rezeki, ada hak-hak orang lain yang perlu kita laksanakan, seperti nafkah isteri dan anak-anak, zakat bagi asnaf, zakat fitrah, sedekah dan sebagainya.


Kenikmatan yang Allah berikan kepada kita mungkin saluran bagi yang lain mendapatkan rezeki mereka. Dengan mempunyai prinsip sebegini, kita lebih peka tentang penggunaan harta dan lebih sensitif akan keperluan orang lain.

Kesedaran ini membuat seseorang lebih cenderung berkongsi kesenangan yang ada dengan yang lain.

Kesimpulannya, Allah Maha Bijaksana dalam ciptaan-Nya. Daripada perumpamaan nyamuk, kita dapat belajar meneliti diri kita dan meninggalkan maksiat serta tabiat-tabiat buruk, seperti takbur dan angkuh, dan lebih peka agar dapat untuk terus memperbaiki diri menjadi seorang Muslim yang sempurna imannya.

Justeru, perumpamaan nyamuk ini sekadar satu peringatan supaya kita terus konsisten membuat semakan pada diri melalui cara seperti muhasabah diri, zikir, ibadah dan sebagainya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >