Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Ulama sumber keberkatan ilmu

Jul 14, 2023 | 05:30 AM



Perkembangan teknologi dalam era digital semakin pesat dan memudahkan proses mendapatkan pelbagai maklumat dalam hanya beberapa saat.

Namun, perlu diingat bahawa ilmu agama tidak semudah bergantung kepada sumber-sumber dalam talian semata-mata. Bagi mendalami ilmu agama, penting bagi seseorang berpegang kepada ajaran dan tradisi yang telah diturunkan dan dipraktikkan oleh ulama terdahulu.

Meskipun perkembangan teknologi kini memberikan akses luas terhadap teks suci dan pelbagai pendapat agama, pengalaman berguru dan berinteraksi dengan ulama yang bertauliah masih sangat penting untuk memahami makna sebenar dan konteks yang tepat daripada ajaran agama.

Sabda Nabi Muhammad saw: “Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang telah mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang banyak.” (HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi).


Maka tepatlah para ulama digelar pewaris para Nabi dan wali Allah swt kerana tugas mereka mengembangkan ilmu agama yang sahih serta membimbing umat mengikut garis pandu syariat yang ditetapkan.


KEUTAMAAN ULAMA

Ulama mempunyai jasa besar kerana merupakan ‘perantara’ yang menyampaikan pemahaman agama yang benar. Agama inilah yang menjadi penentu sama ada nasib kita bahagia ataupun sengsara di akhirat kelak. Justeru, menghormati, menghargai dan memuliakan ulama adalah suatu kewajipan.

Sayangnya di zaman ini, seringkali terdapat perlekehan terhadap ulama. Ulama dianggap tidak relevan dalam dunia moden yang serba canggih. Namun, mereka tidak menyedari bahawa ulama adalah penghubung kita dengan ajaran agama yang telah diturunkan oleh Nabi Muhammad saw.


Kedudukan ulama sangat mulia dalam Islam sehinggakan mereka yang memperlekehkan ulama tidak diakui Nabi sebagai umatnya. Sabda Baginda saw: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak menghormati yang lebih tua, tidak mengasihi yang lebih muda dan tidak pula mengerti hak seorang ulama.” (HR Ahmad).


ULAMA WAJIB DIMULIAKAN

Selain menggalas amanah menyampaikan ilmu agama, terdapat pelbagai sebab seorang guru wajib dimuliakan. Ini termasuk:

1) Kedudukan tinggi


Guru merupakan insan mulia. Allah menggandingkan orang berilmu dengan malaikat. Firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 18:

“Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


2) Memiliki kebijaksanaan


Melalui kebijaksanaan, seorang guru mampu membentuk dan memperluas pengetahuan serta kebijaksanaan dalam diri murid-muridnya. Ini akan menghasilkan generasi Muslim yang memiliki akhlak dan kepribadian yang cemerlang.

3) Jasa tidak ternilai


Jasa guru begitu luar biasa sehingga tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata. Bayangkanlah betapa besarnya jasa seorang guru dalam membimbing kehidupan manusia dengan pengetahuan yang mereka ajarkan.

KISAH NABI MUSA DAN NABI KHIDIR

Kisah yang dirakamkan dalam Surah Al-Kahfi ini menggariskan beberapa adab penting dalam menimba ilmu khususnya dalam berguru, daripadanya:

1) Ilmu adalah pemberian Tuhan;

2) Sifat sabar, tidak terburu-buru serta kebijaksanaan diperlukan;

3) Pelihara adab dengan guru.

Kata Imam As-Syafie: “Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya.”

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Dengan kemudahan teknologi kini, ia tidak bermakna budaya tadabbur dan bermuzakarah bersama guru diabaikan.

Penggunaan media sosial boleh mendatangkan banyak kebaikan, malah mampu menjadi mangkin ke arah menyebarkan syiar Islam serta memberi kefahaman mengenai sesuatu perkara jika digunakan dengan betul.

Walau pelbagai kelas serta perbahasan hukum agama boleh didapati dalam talian, penting sebagai umat Islam dan pengguna media sosial yang berhemah mempraktikkan sifat berhati-hati.

Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu ditimbangkan:

1) Pastikan guru bertauliah, merujuk kepada sumber yang benar


Dalam konteks Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengiktiraf asatizah yang berkelayakan menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Ini adalah langkah penting untuk memastikan ilmu yang diperoleh datang daripada guru yang benar-benar berpengetahuan dan bermutu.

Dalam pada itu, haruslah seseorang itu pastikan sumber yang dirujuk adalah benar dan berlandaskan dalil-dalil daripada Al-Quran dan sunah Nabi saw.


Sabda Baginda saw akan bahaya berdusta atas namanya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama orang lain. Kerana barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di neraka.” (HR Bukhari dan Muslim).


2) Meraikan perbezaan pendapat


Ulama masa kini menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha menangani isu-isu berkaitan agama. Ketika timbul konflik akibat perbezaan pendapat dalam suatu isu, ini menyebabkan munculnya kata-kata yang menghina.

Malah ulama bertauliah yang berpengalaman dihina dan ajaran mereka ditolak oleh segolongan masyarakat.

Sebaliknya tidak semua ‘ilmu’ yang diperoleh dalam talian menerusi ‘Syeikh Google’ berlandaskan dalil yang benar mahupun kitab-kitab yang dipercayai.

Justeru, hukum agama perlu diserahkan kepada yang lebih alim, sebagaimana firman Allah swt dalam Surah An-Nahl ayat 43: “Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”


Lebih merisaukan lagi adalah ketika konflik datang daripada orang yang berilmu ataupun mereka yang mempunyai pengaruh di media sosial.

Akibatnya, masyarakat menjadi bingung dan terpengaruh dengan fahaman yang belum tentu benar.

Sikap fanatik dan menganggap hanya pendapat kita adalah benar harus diubah.

Sebaliknya, seorang Mukmin perlu bersikap lapang dada dalam menerima perbezaan pandangan dan dalam masa yang sama menghayati keluasan syariat.

Sikap terpuji Imam Syafie dengan beliau mengutamakan ukhuwah berbanding menegakkan pendapatnya sendiri patut dicontohi dalam situasi sebegini.

Maka penting untuk kita ingati bahawa bagaimana yakin pun kita akan kebenaran yang diperolehi, terdapat kemungkinan bahawa ilmu yang kita miliki itu masih ada kekurangannya.

KESIMPULAN

Meskipun maklumat berkaitan agama mudah diperolehi dalam talian, penting untuk kita bezakan bahawa ia hanya merupakan alat bantu tetapi tidak dapat menggantikan peranan ulama sebagai sumber ilmu agama yang diutamakan.

Semoga kita tergolong di antara mereka yang sentiasa menelaah ilmu sahih dan menegakkan keadilan dalam kata-kata serta perbuatan kita, amin insya-Allah.

Penulis bertugas sebagai penyunting kandungan di Berita Harian/ Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang Tafsir dan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir. Beliau telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau mantan eksekutif kurikulum dan ustazah di sebuah pusat pendidikan Al-Quran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >