Aroma harum mula menusuk hidung sebaik sahaja bungkusan daun pisang dibuka.
Di dalamnya, nasi yang masih hangat menghasilkan bau wangi rempah-ratus yang meresap ke dalam setiap butir nasi.
Itulah nasi bakar hidangan Bara Food, yang menjadikan teknik bara atau memanggang sebagai keunikan utama masakan mereka.
“Bara itu api. Bara itu arang. Di sinilah rahsia keunikan masakan kami,” ujar Pengarah Bara Food, Encik Surya Atmaja, 53 tahun, mengenai kedainya yang mula beroperasi pada 2019 semasa pandemik Covid-19 melanda.
Konsep dan jenama Bara Food dilahirkan daripada keinginan Encik Surya untuk membawa kelainan.
“Kalau di Singapura, ramai hanya kenal makanan Indonesia seperti nasi Padang, ayam penyet dan bakmi, atau lebih dikenali sebagai ‘mi ayam’.
“Sebenarnya, masakan Indonesia itu jauh lebih kaya dan luas.
“Saya mahu memperkenalkan nasi bakar, makanan tradisional Sunda dari Bandung dan Bogor, yang jarang ditemui di luar Indonesia,” katanya.
Beliau akur pembukaan restoran sebelum pandemik penuh risiko, namun keberanian itu membuahkan hasil.
“Kami fikir, mengapa tidak cuba lihat sama ada pasaran Singapura bersedia menerima makanan yang unik ini?
“Respons pelanggan sangat menggalakkan dan maklum balas mereka yang positif membolehkan kami bertahan sepanjang Covid-19,” jelasnya.
Setiap bungkus nasi bakar dimasak dengan teliti.
Nasi dimasak bersama herba dan rempah, disejukkan, lalu dibungkus dengan daun pisang sebelum dibakar di atas bara api.
“Ia seperti konsep ‘double cook’ atau cara memasak menggunakan bahang tidak langsung daripada rebusan untuk memastikan bahan-bahan masakan itu tidak hangus atau hilang kelembapannya.
“Sup boleh ‘double boil’, nasi pun boleh ‘double cook’. Aroma itu hanya akan keluar apabila dibakar.
“Sebaik sahaja pelanggan buka bungkusan di depan mata, keharumannya menusuk hidung, mengingatkan saya pada suasana desa (daerah perkampungan) di Indonesia – bau yang sungguh aromatik,” kata Encik Surya.
Antara pelbagai menu, Ayam Bakar Bara ($14.50), menjadi kegemaran pelanggan.
“Kami perap ayam selama 24 jam dengan rempah khas sebelum dipanggang.
“Setiap hari kami sediakan perapan dan mula masak dari awal. Itulah sebab ayam bakar kami begitu terkenal,” katanya.
Sajian itu dihidangkan bersama nasi bakar, tempe, tauhu, sambal matah serta sos ‘glaze’ manis.
Bagi pelanggan yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza, Sate Lilit ($16.60), menjadi pilihan tepat.
Sate ala Bali itu menggabungkan ayam dan udang, dililit pada batang serai dan dibakar hingga mengeluarkan aroma istimewa.
“Bumbunya kami sediakan sendiri di dapur. Kami tidak pernah menggunakan bahan yang sudah dicampur terlebih dahulu atau diimport,” tegas Encik Surya.
Selain itu, pelanggan boleh menikmati Soto Betawi ($12.50) pekat dan kaya rasa, yang mengandungi daging, kentang serta tomato.
Pilihan lain termasuk Sambal Udang Kentang ($12.50) dan Cumi atau Sotong Goreng Tepung ($12.50).
Nasi bakar juga boleh dipesan secara ala carte (tersenarai dalam menu dan boleh dipesan secara berasingan) pada harga $3.
“Kami memang tidak lokek dengan bahan.
“Apabila pelanggan hirup sesudu kuah soto kami, mereka boleh rasa kekayaan kuahnya.
“Kami mahu kekal setia pada rasa asal dan teknik masakan Indonesia,” katanya.
Sejak awal, Encik Surya memastikan semua sajian Bara Food adalah halal.
“Di Singapura, kita tidak boleh hanya menyasarkan satu kumpulan.
“Kalau tidak halal, pelanggan Melayu akan terpisah daripada rakan sekerja. Itu tidak adil.
“Jadi sejak tahun pertama (2019), kami pastikan makanan halal.
“Prosesnya memang rumit tetapi berbaloi. Kini, separuh pelanggan yang datang pada waktu makan tengah hari ialah orang Melayu,” jelasnya.
Keputusan membuka cawangan pertama di Tanjong Pagar juga dibuat secara strategik.
“Kami tidak mahu bersaing di kawasan yang sudah penuh dengan restoran Indonesia seperti Orchard, Paya Lebar atau Geylang Serai.
“Sasaran kami ialah masyarakat Singapura sendiri seperti kaum Melayu, Cina, India, juga ekspatriat,” jelasnya.
Kini, Bara Food mempunyai tiga cawangan di Simei, Tanjong Pagar, dan VivoCity, dengan rancangan untuk berkembang ke kawasan barat.
“Sejak muda, saya memang minat dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
“Tiga tahun pertama, saya sendiri ‘turun padang’ dan masak semua hidangan.
“Kini, kakitangan saya sudah dilatih, tetapi saya masih terlibat secara langsung di restoran.
“Penyelidikan dan pengembangan (R&D) mengambil masa hampir setahun – saya balik ke Indonesia, tanya resipi dan berkongsi pendapat dengan ibu serta mak cik. Saya tidak mahu terburu-buru,” kata Encik Surya.
Isnin hingga Sabtu, 11 pagi hingga 8 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg