Makanan Asia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu ulang-alik ke Batam timba kemahiran bikin martabak manis

Demi buru impian niaga, usahawan asal Indonesia pernah hantar tempahan pelanggan dari satu stesen ke satu stesen MRT bersama dua anak
Aug 29, 2025 | 5:16 PM
Irna Permata Sari,  Irna’s Taste Food & Cakes
Pemilik, Irna’s Taste Food & Cakes, Cik Irna Permata Sari, terkenal dengan hidangan asli Indonesia seperti ‘Martabak Manis’, ‘Martabak Telur’, ‘Ayam Geprek’ dan ‘Batagor’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Penangan Martabak Manis yang dihasilkan Pemilik, Irna’s Food Taste & Cakes, Cik Irna Permata Sari, terletak pada tekstur lembut dan gebu martabak tersebut yang kaya dengan aroma mentega.

Resipi Cik Irna meliputi penggunaan tiga jenama mentega, Blue Band, Golden Churn dan Wijsman.

Gabungan itu bukan sahaja memberi rasa lemak manis yang seimbang dengan sedikit sentuhan masin, malah menjadikan martabak kekal lembut.

“Dengan tiga mentega ini, rasanya memang lain daripada lain.

“Walaupun kos lebih tinggi, saya tetap menggunakannya sebab mahu pelanggan rasa puas apabila menikmatinya,” kata Cik Irna, usahawan berusia 39 tahun itu.

Setiap kotak martabak manis daripada Irna’s Food Taste & Cakes di pasar dagang dan seni, Curbside Crafters, di North Bridge Road, kelihatan sarat inti dan terasa berat apabila dipegang.

Tiada istilah ‘kedekut’ bagi sajian kedai itu kerana keju, coklat dan susu pekat, yang dipanggil ‘kental manis’ dalam bahasa Indonesia, ditabur atau digunakan lebih daripada jangkaan pelanggan.

Terdapat juga pilihan premium seperti, Nutella, Biscoff, durian dan krim keju, serta pelbagai jenis kulit martabak – asli, pandan atau Red Velvet.

Ketika ditemui Kaki Makan, Cik Irna mengakui beliau tidak pernah terlintas untuk menjadi usahawan makanan.

Beliau berhijrah ke Singapura dari Batam pada 2011 selepas berkahwin.

Sajian pembuka selera, yang terdiri (dari kiri) ‘Martabak Telur Sapi’ ($14), ‘Batagor’ ($10) dan ‘Martabak Manis’ ($16).
Sajian pembuka selera, yang terdiri (dari kiri) ‘Martabak Telur Sapi’ ($14), ‘Batagor’ ($10) dan ‘Martabak Manis’ ($16). - Foto BH oleh KHALID BABA

“Saya datang ke sini, tidak ada kegiatan, tidak ada teman.

“Satu hari ketika bercuti di Batam, saya makan martabak dan terasa ‘Wow sedap sekali’.

“Saya kemudian bertanya kepada penjual itu tentang cara membuatnya.

“Mujur beliau tidak lokek ilmu dan memberi kesempatan untuk saya belajar perlahan-lahan,” cerita Cik Irna.

Sejak itu, Cik Irna kerap berulang-alik ke Batam dari Singapura untuk menimba ilmu.

Setelah yakin dengan hasil air tangannya, pada 2016, beliau mula berani menjual martabak manis dari rumah.

“Kali pertama saya berjualan, saya tetapkan harga $6. Dapat jual enam kotak sahaja, saya sudah rasa senang hati.

“Dari tidak pandai memasak, tiba-tiba boleh jual martabak manis,” katanya.

Tanpa kedai tetap, beliau sanggup menghantar sendiri pesanan pelanggan dari satu stesen MRT ke stesen MRT lain.

Trolinya penuh dengan martabak, sementara dua anak kecilnya dibawa bersama, seorang digendong dan seorang lagi dipimpin tangannya.

“Setiap minggu saya hantar pesanan ‘cash on delivery’ (pembayaran tunai semasa penghantaran) ke Paya Lebar.

“Hari biasa di Woodlands, Ang Mo Kio atau di tempat lain. Memang perjuangan luar biasa,” ujarnya.

Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau terpaksa menghantar pesanan dari Little India ke Bukit Panjang, Kebun Bunga Singapura dan Sengkang.

“Waktu itu, anak saya baru habis sekolah sekitar 12.30 tengah hari.

“Sampai 3 petang, kami belum makan. Anak mengadu, ‘Bonda, I am hungry’ (Bonda, saya lapar).

“Saya janji nanti kami akan makan selepas kiriman pesanan dibuat. Sepanjang jalan dia ulangi, ‘Promise after this, we eat ya, Bonda.’ (Janji selepas ini, kita makan ya, Bonda.)

“Sehingga kini, dia masih ingat peristiwa itu,” kongsi Cik Irna, sambil menahan sebak.

Kini, anak-anaknya berusia 13 tahun dan sembilan tahun.

Beliau membuka warung kecil di bangunan Millage yang terletak bersebelahan Geylang Serai, pada 2022, selepas mengambil alih gerai seorang penjual takoyaki.

Namun konsep bawa pulang sahaja menyebabkan martabak manis dan Ayam Geprek tidak dapat dinikmati panas-panas.

Terdapat juga cabaran lain yang dihadapi.

Menurut Cik Irna, selain martabak manis, menghasilkan martabak telur – yang jarang ditemui di Singapura – bukan sesuatu yang mudah.

“Awalnya, saya buat versi mini, kecil-kecil sahaja.

“Lama-kelamaan penat sebab kulit harus buat satu per satu. Saya tidak mahu pakai kulit martabak segera kerana rasanya tidak asli.

“Jadi saya cuba buat sendiri. Mula-mula tangan sakit sebab harus mencanai, melipat, mengangkat adunan, semuanya dengan tangan.

“Saya belajar perlahan-lahan dengan menonton YouTube. Akhirnya, saya menemui teknik sendiri,” katanya.

Kini, beliau mampu menyiapkan hampir 100 keping martabak telur dalam masa enam jam.

Bagi pilihan snek ringan, Batagor ($10), singkatan daripada bakso tauhu goreng, menjadi pilihan ramai.

Hidangan itu merupakan gabungan tauhu, bebola ikan dan kulit wantan yang digoreng rangup, lalu dihidang dengan kuah kacang pekat, sedikit kicap manis dan perahan limau nipis.

Selepas tiga tahun di Millage, Irna’s Food Taste & Cakes, berpindah ke Curbside Crafters pada Februari 2025, sebuah lokasi berhawa dingin dengan ruang duduk.

“Di sini (Curbside Crafters) lebih selesa. Tempahan pun lebih banyak terutama pada hujung minggu.

“Hari bekerja agak perlahan tetapi kami masih cuba cari promosi yang sesuai.

“Setiap hujung minggu, saya bangun seawal 5 pagi untuk menghantar tempahan ke Paya Lebar. Ada kalanya sehingga 30 pelanggan,” jelasnya.

Beliau juga membuka cawangan kedua di Lucky Plaza pada Julai dengan nama Marta’Mbak by Irna’s Taste.

Walaupun masih baru dan pelanggan belum ramai, beliau yakin lokasi itu akan memperkenalkan martabak manis kepada lebih ramai orang.

Pada mulanya, ramai pelanggan Singapura menganggap martabak manis sama dengan apam balik.

“Saya hairan, apakah persamaannya? Apam balik itu tipis dan dilipat, sedangkan martabak manis tebal, dipotong kotak dan bahan ‘topping’ (taburan di atas martabak) pula banyak.

“Akhirnya suami ajak saya ke pasar malam, baru saya faham apa sebenarnya apam balik. Memang lain,” katanya sambil tertawa.

Bagi Cik Irna, membuka kedai di Lucky Plaza hanyalah langkah permulaan.

Impiannya adalah memiliki kedai tetap di kawasan Paya Lebar, tempat beliau sering menghantar martabak dan ramai pelanggan setianya menanti.

“Kalau ada rezeki, saya mahu buka kedai di sana – dekat dengan stesen MRT, ramai warga Indonesia di sana dan ada kenangan yang terpahat buat saya,” kata Cik Irna.

Mengenai sambutan pelanggan, beliau bersyukur ramai yang berpuas hati dengan keenakan rasa dan kelembutan martabak manis yang dijual.

“Mereka kata sampai keesokan hari pun, martabak masih sedap dimakan dan kekal lembut.

“Itu yang membuat saya terus bersemangat meniaga.

“Daripada seorang yang tidak pandai masak, sekarang boleh berdiri dengan perniagaan sendiri.

“Semua ini kerana doa, sokongan keluarga, suami dan anak-anak,” tambahnya.

Irna’s Taste Food & Cakes
Alamat: 730 North Bridge Road, Singapura 198698
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Khamis, 11 pagi hingga 7 malam; dan Jumaat hingga Ahad, 11 pagi hingga 8 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg