Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarong by Tiram gabung nasi padang, makanan laut bagi penuhi cita rasa pelanggan
Tawar konsep baharu sebagai strategi perniagaan, menu berbeza pada waktu pagi dan petang
Warong by Tiram gabung nasi padang, makanan laut bagi penuhi cita rasa pelanggan
Seawal 3 pagi, dapur Warong by Tiram di bangunan Alice @ Mediapolis sudah mula sibuk dengan persiapan lauk-pauk nasi padang.
Menjelang 6.30 pagi, hidangan seperti rendang daging, sotong masak hitam dan sambal goreng sudah siap untuk dihidangkan kepada pelanggan apabila kedai itu membuka pintunya pada 8 pagi.
Rutin tersebut merupakan perubahan besar bagi pengurusnya, Cik Masturah Quek, yang sebelum ini mengendalikan restoran Tiram Seafood Bar & Grill by M.QK, yang terkenal dengan hidangan makanan laut segar dan sajian Barat.
Kini, setelah menamatkan operasi di ruang lamanya di Jalan Teban yang terletak di daerah Thomson, beliau mengambil pendekatan berbeza dengan memperkenalkan konsep dua dalam satu, hidangan tradisional Melayu pada sebelah pagi dan sajian istimewa Tiram mulai tengah hari.
Menurut Cik Masturah, perubahan itu dibuat bagi memastikan perniagaan lebih mampan dalam keadaan industri makanan dan minuman (F&B) yang semakin mencabar.
“Memang sukar untuk mengekalkan perniagaan restoran kerana bukan setiap hari orang mahu keluar makan di restoran.
“Tambahan pula, kami menggunakan makanan laut segar dan kini ramai pelanggan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.
“Jadi, kami memutuskan untuk menawarkan makanan harian seperti nasi padang yang boleh dinikmati pelanggan dengan lebih kerap, sambil mengekalkan hidangan istimewa Tiram,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Terletak di 29 Media Circle, Warong by Tiram menyasarkan golongan pekerja pejabat di sekitar Mediapolis yang mencari pilihan sarapan dan makan tengah hari.
Antara hidangan popularnya ialah nasi sambal goreng rendang, $7, nasi lemak ayam, $5 dan lontong tahu bersama telur, $5.
Pelanggan juga boleh menikmati sotong masak hitam dan mi siam goreng, selain pelbagai lauk nasi padang yang disediakan setiap hari.
Menariknya, sebahagian pelanggan datang seawal 8 pagi untuk membeli makanan sebelum membawanya ke pejabat dan memanaskannya semula ketika waktu makan tengah hari.
“Ada pelanggan yang datang setiap hari dan memesan hidangan yang sama sehingga kami sudah tahu apa yang mereka mahukan sebaik sahaja mereka melangkah masuk,” ujar Cik Masturah.
Beliau turut menerima tempahan makanan daripada syarikat berhampiran, termasuk hidangan untuk kakitangan dan mesyuarat mengikut belanjawan yang ditetapkan.
Di sebalik masakan tradisional itu, ibu Cik Masturah yang pernah mengusahakan gerai nasi padang turut memainkan peranan penting.
Ibunya hadir setiap hari untuk membantu memasak dan memastikan rasa hidangan kekal seperti masakan tradisional.
“Kami masih mengekalkan cara memasak tradisional. Ibu saya juga ada setiap hari untuk membantu dan merasa masakan supaya rasanya kekal seperti yang sepatutnya,” jelasnya.
Mulai tengah hari pula, pelanggan boleh menikmati sajian Barat dan makanan laut seperti chicken chop bersama nasi goreng, $10.50, hor fun, mi goreng serta tiram segar enam biji, $35.
Hidangan istimewa seperti Tiram Panas, $90 dan Shellout, $98.80, yang menawarkan pilihan udang karang atau ketam, turut dikekalkan.
Walaupun sambutan setakat ini menggalakkan, Cik Masturah mengakui cabaran utama ialah menarik pelanggan di luar kawasan pejabat, terutama selepas waktu bekerja.
“Kami giat menggunakan siaran langsung TikTok pada awal pagi untuk memperkenalkan menu dan menerima tempahan penghantaran makanan.”
Dalam pada itu, Warong by Tiram turut bersiap sedia menawarkan semula perkhidmatan penghantaran juadah berbuka puasa mangkuk tingkat sempena Ramadan 2027.
Pakej 20 hari itu ditawarkan pada harga $560 untuk dua orang dan $880 bagi empat orang, termasuk kos khidmat penghantaran.
Antara menunya ialah nasi jagung bersama daging merah dan dalca, serta nasi putih dengan ayam goreng rempah, kailan sos tiram dan telur kicap.
Menurut Cik Masturah, jumlah tempahan kali ini dihadkan kepada sekitar 200 hingga 300 orang, dengan kurang daripada 100 tempat masih tersedia.
“Sekarang pelanggan boleh datang sendiri ke kedai untuk mencuba nasi padang kami terlebih dahulu dan melihat sama ada rasanya memenuhi cita rasa mereka sebelum menempah perkhidmatan mangkuk tingkat,” katanya.
Warong by Tiram
Alamat: 29 Media Circle, #01-02 (Alice@Mediapolis), Singapura 138565Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 8 malam dan Sabtu 12 tengah hari hingga 5 petang