Minuman & Kafe
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasa tenang, mewah sambil menikmati ‘high tea’ di Pomegranate

Jan 16, 2026 | 9:27 AM
Pengasas The Wonderment Collective (TWC) dan Pomegranate, Cik Najihah Salim di kafe minum petangnya, Pomegranate di Duo Galleria.
Pengasas The Wonderment Collective (TWC) dan Pomegranate, Cik Najihah Salim di kafe minum petangnya, Pomegranate di Duo Galleria. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Melangkah masuk ke kafe high tea halal, Pomegranate, pengunjung disambut dengan suasana yang tenang dan bergaya.

Pomegranate menyajikan hidangan ringan yang dinikmati pada lewat petang bersama teh, snek kecil dan pencuci mulut.

“Saya memang sentiasa sukakan konsep afternoon tea. Di rumah, itulah cara kami sekeluarga meluangkan masa bersama,” kata pengasas The Wonderment Collective (TWC) dan Pomegranate, Cik Najihah Salim.

“Apa yang saya nikmati, itulah yang saya mahu kongsikan dengan pelanggan.”

Dibuka pada November 2025, Pomegranate merupakan lanjutan perjalanan The Wonderment Collective (TWC) yang bermula sejak 2004 dalam industri perkahwinan, walaupun kini TWC tidak lagi aktif dalam bidang perkahwinan.

Ketika itu, syarikat yang dikenali sebagai The Wedding Chateau menumpukan kepada penganjuran majlis, rekaan berkat atau ‘doorgift’, serta makanan seperti makaron dan kek ‘tower’.

“Waktu dalam industri perkahwinan memang agak mencabar, hujung minggu pun terpaksa bekerja. Bila kita semakin dewasa, saya ingin luang lebih masa untuk diri sendiri. Jadi saya memilih untuk bergerak ke arah sesuatu yang membolehkan saya mengurus masa dengan lebih baik,” kata Cik Najihah.

“Saya sangat bersyukur kepada mereka yang telah menyokong saya sejak 2004 dan datang kembali untuk menyokong usaha terbaru saya kini,” tambahnya.

Cik Najihah banyak meluangkan masa menghasilkan pencuci mulut seperti biskut, kek, scones dengan pembungkusan dan estetik menarik yang mengaitkan kepada jenamanya.

Percubaan pertama ke arah perniagaan kafe bermula di Aljunied. Pada asalnya dirancang sebagai dapur pusat, ruang kecil itu secara tidak sengaja dibuka kepada orang ramai.

“Kafe itu sangat kecil, hanya memuatkan 13 tempat duduk,” katanya sambil ketawa.

“Tapi sambutannya di luar jangkaan. Permintaan bagi high tea memang tinggi.”

Namun, selepas tamat tempoh pajakan dan juga pandemik Covid-19, Cik Najihah memilih untuk berehat seketika pada 2022.

“Saya rasa perlu duduk semula dan fikir, apa sebenarnya pelanggan inginkan,” katanya.

Tempoh hampir dua tahun digunakan untuk membuat kajian, menilai maklum balas pelanggan dan mencari lokasi yang lebih sesuai.

“Walaupun kami tutup, pertanyaan oleh pelanggan mengenai kafe kami tidak pernah berhenti,” ujarnya.

Daripada proses itu lahirlah Pomegranate di DUO Galleria yang terletak di 7 Fraser Street dengan kapasiti tempat duduk yang mampu memuatkan sekitar 40 hingga 45 pelanggan.

Menu di Pomegranate mencerminkan pendekatan dan sentuhan Cik Najihah.

Tumpuan utama adalah set teh petang berharga $70 untuk dua orang, merangkumi sanwic, pilihan kek dan tart, scone buatan sendiri bersama krim dan jem, serta dua jenis teh.

“Scone kami memang antara yang paling laris sejak dulu lagi. Ia resipi yang kami perhalusi dari masa ke masa,” kata Cik Najihah.

Selain itu, kafe ini turut menawarkan hidangan sarapan. Antara menu pilihan ialah full English breakfast berharga, $20 yang terdiri daripada telur hancur, sosej, cendawan, sayuran bermusim, kentang, roti sourdough dan jem.

Di kaunter pastri, pelanggan disambut dengan Yuzu Tart, $8 dan Carrot Cake, $8.50.

Keutamaan Pomegranate tertumpu kepada pilihan sajian halal yang setanding dari segi visual dan pengalaman.

“Kalau orang datang bukan sahaja untuk makan, tapi rasa tenang dan dihargai, itu sudah cukup bagi saya.”

Pomegranate
Alamat: 7 Fraser Street, #01-34/35 Duo Galleria, Singapura 189356
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis, 9.30 pagi hingga 6 petang

  • Jumaat dan Sabtu, 9.30 pagi hingga 8 malam

  • Ahad, 9 pagi hingga 5.30 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg