Cef Bob kembali dengan kafe 9 Yards di S’pura
Cef Bob, atau nama penuhnya, Encik Shahrizal Salleh, kembali melancarkan kafe miliknya sendiri dengan pembukaan 9 Yards di Changi Village pada November 2025.
Pembukaan kafe ini adalah cerminan gigihnya demi bangkit semula selepas lebih sedekad beliau menutup operasi sendiri akibat cabaran besar dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Beliau sebelum ini dikenali menerusi Sedap Corner di Simpang Bedok, yang beroperasi dari 2007 hingga 2014.
Namun, masalah tenaga kerja yang berpanjangan memaksa beliau menutup perniagaan tersebut.
“Ketika itu saya masih baru, dan banyak perkara saya buat tanpa sistem dan data yang betul,” kata Cef Bob semasa mengimbas kembali pengalaman awalnya dalam dunia F&B.
Walaupun tidak lagi mengendalikan kafe sendiri selepas itu, Cef Bob kekal aktif dalam industri melalui kerjasama dan perkongsian perniagaan, termasuk jenama Bobmi yang menjual makanan popular dari Indonesia, yang biasa dikenali sebagai bakmi.
Kini Bobmi mempunyai tiga cawangan – terletak di Anchorvale, Tampines dan pusat beli-belah Lucky Plaza.
Pengalaman ini memberinya ruang untuk berniaga tanpa tekanan operasi harian.
Langkah membuka 9 Yards di Singapura dibuat selepas beliau terlebih dahulu menubuhkan 9 Yards di Sepang, Malaysia, pada 9 September 2023 dan masih beroperasi pada masa ini.
Menariknya, keputusan membuka cawangan di Singapura tidak dijangkakan.
“Tiada masa yang sesuai untuk membuka perniagaan F&B. Saya dan rakan niaga saya kebetulan lalu kawasan ini di Changi Village kerana mencari tempat untuk satu perniagaan agensi pelancongan.
“Bila nampak ruang ini, ia memenuhi kriteria untuk buka kafe. Kewangan pun stabil untuk kami membuka di lokasi yang berpotensi ini.”
“Ini walaupun waktu di pasaran kini tidak menentu dengan banyak penutupan tempat makan,” tambahnya lagi.
Menurut Cef Bob, titik perubahan yang membuatkan beliau sedia kembali membuka kafe ialah pendekatan yang lebih berdisiplin.
“Harga barangan naik dan tenaga kerja masih menjadi sebuah isu utama. Jadi kali ini kami tidak ikut perasaan.
“Kami guna data, untuk mengkaji trafik pelanggan di kawasan ini, kaji pasaran selama enam bulan untuk tentukan jika kami sedia atau tidak,” katanya.
Pembukaan 9 Yards di Singapura bertujuan untuk mengukuhkan jenama, bukan sekadar mengejar emosi atau nostalgia memiliki kedai, kata beliau.
Menurut beliau, Changi Village dipilih atas faktor kadar sewanya yang lebih berbaloi serta potensinya digunakan sebagai ruang acara.
Dari segi menu, 9 Yards mengekalkan konsep yang sama dengan cawangannya di Malaysia, namun disesuaikan dengan budaya makan tempatan.
Di Sepang, pelanggan gemar melepak lama dan hidangan nasi menjadi keutamaan.
Justeru, nasi lemak menjadi menu utama, termasuk di Singapura.
“Ada yang terkejut kenapa saya jual nasi lemak di kawasan yang terkenal dengan banyak gerai nasi lemak. Tapi sambutannya sangat positif,” katanya.
Menurut Cef Bob, hidangan nasi lemak di 9 Yards menggunakan nasi yang dikukus untuk menjadikan teksturnya lebih gebu dan beliau tidak menggunakan beras basmati agar nasinya terasa lebih lemak.
Terdapat beberapa pilihan set nasi lemak, termasuk nasi lemak kepak ayam, berharga $6.90, nasi lemak ikan tempura ($8.90) dan nasi lemak bulgogi daging lembu ($9.90).
Untuk pasaran di Singapura, minuman seperti matcha sering laris di kafe tersebut, antaranya ialah Salted Caramel Matcha ($8.90) dan Strawberry Matcha ($8.90).
Kopi minuman khas Brown Butter Latte ($7.90) juga mendapat sambutan baik.
Menariknya, kafe 9 Yards ini juga beroperasi dengan waktu yang panjang, iaitu sehingga 3 pagi pada Jumaat dan Sabtu, selari dengan budaya lepak yang dekat dengan dirinya.
Biskut 9 Yards yang sebelum ini dijual menerusi ‘pop-up’ kini ditawarkan secara tetap di kafe itu.
“Kalau perniagaan dah ‘berdarah’ (mengalami kerugian), lebih baik berhenti. Kalau ingin mula semula, buat dengan data dan kaji pasaran dengan baik,” katanya.
Dengan pendekatan lebih matang, Cef Bob kini melangkah dengan harapan untuk bertahan.
Menjelang April, Cef Bob bakal membuka kedai kopi di kawasan Bidadari bersama seorang pempengaruh dari Singapura, Kai Emilio Mohamed Jeffery.
9 Yards SG
Alamat: 1 Netheravon Rd, #01-05 VILLAGE HOTEL, Singapura 508502Isnin hingga Khamis dan Ahad, 8 pagi hingga 10 malam
Jumaat dan Sabtu, 8 pagi hingga 3 pagi

