Minuman & Kafe
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend ‘matcha’ makin ‘hijau’ di S’pura

Berada di tangga teratas teh kerap diminum; 67% responden namakan ia minuman kegemaran S’pura
Nov 1, 2025 | 5:30 AM
matcha, teh hijau, viral, tular, sencha
Minuman ‘matcha’ yang kini meraih perhatian ramai sehingga ia menjadi trend untuk membuat minuman itu sendiri dengan menggunakan serbuk teh hijau khususnya dari Jepun dan membancuhnya bersama air dalam mangkuk menggunakan peralatan khas. - Foto ISTOCKPHOTO

Minuman teh hijau Jepun atau matcha bukan lagi sesuatu yang baru dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Ia telah menjadi fenomena sejagat, termasuk di Singapura, dan turut menjadi minuman pilihan ramai dek ‘kegilaannya’ di wadah media sosial, TikTok. 

Teh hijau yang merangkumi matcha (serbuk teh) dan sencha (daun teh) menduduki tangga teratas dalam jenis teh yang biasa diminum, dengan 67 peratus responden menamakan minuman tersebut sebagai kegemaran mereka di Singapura.

Demikian menurut satu tinjauan oleh YouGov pada 22 Julai.

YouGov merupakan syarikat penyelidikan dan analisis data antarabangsa yang mengumpulkan pendapat umum melalui komuniti dalam talian.

Dihasilkan hampir sepenuhnya di Jepun, populariti matcha yang melonjak secara mendadak telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penghasil matcha di Jepun terhadap kekurangan bekalan itu.

Matcha, iaitu serbuk teh hijau dari Jepun, secara tradisional disediakan dengan membancuh serbuk matcha (yang dihasilkan daripada daun teh) bersama air dalam mangkuk menggunakan peralatan khas.

Asal usulnya boleh dikesan kembali ke zaman purba upacara teh tradisional Jepun, sejak abad kelapan.

Ia berkembang daripada amalan perubatan dan keagamaan serta golongan bangsawan kepada satu upacara budaya yang berprestij pada zaman Muromachi.

Matcha terdapat dalam pelbagai jenis dan gred, bergantung pada mutu dan tujuan penggunaannya.

Secara umum, matcha yang digunakan untuk upacara teh tradisional Jepun dianggap sebagai gred tertinggi.

Ia dihasilkan daripada daun teh yang dipetik pada musim tuaian pertama awal musim bunga, dan digunakan dalam upacara tersebut.

Menurut The Business Times (BT), matcha mula menembusi sektor F&B aliran umum di Singapura pada 2010-an melalui kafe, budaya percutian dan trend dalam talian, sebelum meraih populariti sekitar 2018 hingga 2019.

Populariti matcha turut melonjak hasil pengaruh dalam wadah media sosial seperti TikTok

Pada Ogos lalu, Berita Harian melaporkan tentang satu pertandingan lelaki performatif terbaik yang menampilkan golongan lelaki Generasi Z (Gen Z) yang gemar meminum matcha.

Video berkaitan pertandingan itu meraih lebih 112,000 tontonan dan lebih 10,000 tanda suka.

Trend golongan lelaki Gen Z yang gemar meminum matcha itu mula tular pada 2025.

Istilah ‘lelaki performatif’ pula mula menular di wadah TikTok dan X, dengan ribuan video yang meniru gaya lelaki Gen Z yang tampil intelektual dan seolah-olah berbeza daripada stereotaip perwatakan gym bro yang mementingkan otot dan kekuatan fizikal.

Dengan lonjakan populariti minuman matcha di TikTok, minat carian terhadap matcha di Google turut meningkat di Singapura.

Kalau dahulu minuman matcha hanya boleh didapati di beberapa kafe tertentu, kini ia ada di mana-mana.

Dari kafe kecil hingga ke rangkaian terkenal jenama seperti The Coffee Bean & Tea Leaf dan Luckin Coffee, semuanya kini menawarkan pelbagai variasi minuman berasaskan serbuk teh hijau dari Jepun ini.

Menariknya, bukan sekadar matcha latte asli yang jadi kegemaran, malah, kini muncul pula gabungan kreatif seperti matcha pisang, matcha strawberi, dan matcha mangga.

Gabungan unik ini memberi kesegaran yang cukup digemari pengunjung muda.

No Stranger Here

Tambahan minuman terkini seperti ‘Matchamisu’ (kiri) – gabungan ‘matcha ‘dan pencuci mulut ‘tiramisu’ (berperisa kopi), dan B’iscoff Biscuit Matcha’ (tambahan biskut).
Tambahan minuman terkini seperti ‘Matchamisu’ (kiri) – gabungan ‘matcha ‘dan pencuci mulut ‘tiramisu’ (berperisa kopi), dan B’iscoff Biscuit Matcha’ (tambahan biskut). - Foto INSTAGRAM NSHCOFFEE

Dengan suasana minimalis di tengah-tengah Kampong Gelam, kafe ini menawarkan pelbagai pilihan kopi.

Bagi pilihan matcha pula, antara yang ditawarkan termasuk Coconut & Matcha (matcha dan air kelapa); Strawberry & Matcha (tambahan perisa strawberi); Mango & Matcha (tambahan perisa mangga); Matcha Latte; dan Charcoal Matcha (tambahan serbuk arang) yang bermula dengan harga $8 bagi cawan bersaiz 14 auns dan $10 bagi cawan bersaiz 16 auns.

Malah Blue Matcha (menggunakan bunga telang) dan Rose Matcha (tambahan perisa rose) yang berharga $8.50 (14 auns) dan $10.50 (16 auns).

Terdapat juga tambahan minuman terkini seperti Matchamisu (tambahan pencuci mulut ‘tiramisu’ berperisa kopi) – serta Biscoff Biscuit Matcha (tambahan biskut).

Alamat: 39 Sultan Gate, Singapura 198487

Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 10 pagi hingga 8 malam

Ground Floor Coffee

‘Strawberry Matcha’ yang menggunakan ‘matcha’ gred tertinggi (kiri) serta ‘Matcha Sudirman’, yang diinspirasikan daripada cita rasa unik kota Jakarta, Indonesia.
‘Strawberry Matcha’ yang menggunakan ‘matcha’ gred tertinggi (kiri) serta ‘Matcha Sudirman’, yang diinspirasikan daripada cita rasa unik kota Jakarta, Indonesia. - Foto INSTAGRAM GROUND_FLOOR_COFFEE

Bermula sebagai sebuah perniagaan dari rumah (HBB) yang terkenal kerana menjual kopi dari tingkap flat di estet perumahan Pasir Ris ketika pertama kali dilancarkan pada 2022, kafe itu kini beroperasi di East Village.

Sebagai keluaran terhad, mereka juga pernah memperkenalkan Strawberry Matcha yang menggunakan matcha gred tinggi serta Matcha Sudirman, yang diinspirasikan daripada cita rasa unik kota Jakarta, Indonesia. Harga bermula dari $7.90.

Alamat: 430 Upper Changi Road, #01-53 East Village, Singapura 487048

Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 10 pagi hingga 8 malam, Jumaat, 12 tengah hari hingga 6 petang

Offday Coffee

‘Banana Pudding Match’a – gabungan lapisan puding pisang berkrim, ‘matcha’ dan ditaburkan dengan biskut yang telah dihancurkan.
‘Banana Pudding Match’a – gabungan lapisan puding pisang berkrim, ‘matcha’ dan ditaburkan dengan biskut yang telah dihancurkan. - Foto INSTAGRAM OFFDAYCOFFEE.SG

Terletak di kawasan Kampong Gelam dan berkongsi ruang dengan kedai air popular, Broti, kafe ini terkenal dengan Banana Matcha (tambahan perisa pisang) berharga $8, Dirty Bandung (gabungan bandung dan kopi) yang berharga $7.50 dan Spanish Latte (kopi dengan campuran susu pekat istimewa) berharga $7.

Baru-baru ini, di acara dagangan popular, Celebfest pada Oktober, mereka memperkenalkan Banana Pudding Matcha – gabungan lapisan puding pisang berkrim, matcha dan biskut yang dihancurkan.

Alamat: 34 Bussorah Street, Singapura 199452

Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 10 malam 

Binge

Perisa ‘matcha’ unik, ‘matcha taro’ (keladi) dan perisa ‘matcha’ yang sedang tular, ‘matcha’ strawberi.
Perisa ‘matcha’ unik, ‘matcha taro’ (keladi) dan perisa ‘matcha’ yang sedang tular, ‘matcha’ strawberi. -  Foto BH oleh KHALID BABA

Banyak dipengaruhi oleh gaya sandwic dari Amerika Syarikat, ia terletak di Seng Poh Lane, Tiong Bahru menjadikannya daya tarikan kepada pelanggan Melayu/Islam kerana kawasan tersebut yang tidak banyak tempat makanan halal yang boleh anda temui. 

Binge terkenal dengan Strawberry Matcha dan juga bereksperimen dengan Matcha Taro (perisa keladi) dan Matcha Tiramisu (perisa kopi) yang berharga $9 secawan.

Alamat: 61 Seng Poh Lane (kawasan Tiong Bahru), #01-03, Singapura 160061

Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 9 malam, Sabtu dan Ahad, 9 pagi hingga 9 malam.

Bukan itu sahaja, trend matcha yang semakin meluas turut mendorong ramai individu mencuba nasib menjadikan minuman matcha sebagai perniagaan dari rumah (HBB).

Ramai yang bereksperimen dengan resipi sendiri dan menjualnya secara kreatif di dalam talian serta menawarkan perkhidmatan penghantaran atau ambil sendiri.

Antara HBB milik peniaga Melayu/Islam yang baru sahaja berjinak-jinak mencuba menembusi pasaraan matcha ialah:

  1. Matchamugcheek
  2. Match.amade
Antara perisa dan harga yang ditawarkan oleh peniagaan dari rumah (HBB) Matchamugcheek yang terletak di daerah Jurong West.
Antara perisa dan harga yang ditawarkan oleh peniagaan dari rumah (HBB) Matchamugcheek yang terletak di daerah Jurong West. - Foto MATCHAMUGCHEEK
Peniagaan dari rumah (HBB) Match.made yang diasaskan oleh Cik Nur Sarah Remi Erwan, pula terletak di daerah Punggol.
Peniagaan dari rumah (HBB) Match.made yang diasaskan oleh Cik Nur Sarah Remi Erwan, pula terletak di daerah Punggol. - Foto MATCH.MADE

Lebih menarik lagi, trend ini menggalakkan ramai belia untuk menceburi bidang keusahawanan secara kecil-kecilan serta memberi pilihan kepada pembeli dengan minuman itu di mana-mana sahaja tanpa perlu beratur dan menunggu.

Perniagaan dari rumah ini bukan sahaja memudahkan para pelanggan mendapatkannya, malah ia merupakan perniagaan yang fleksibel bagi para peniaga kerana ia boleh beroperasi mengikut jadual mereka sendiri.

Kini terdapat banyak HBB yang juga mengandingkan minuman matcha dengan pencuci mulut yang sedang tular seperti puding pisang.

Dengan pelbagai variasi dan gaya penyediaan, tidak hairanlah kenapa matcha kini menjadi lambang gaya hidup moden di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg