Dapat jual 100 dulang ‘quesillo’ sehari di bazar Geylang
Dapat jual 100 dulang ‘quesillo’ sehari di bazar Geylang
Ministry of Spud jual dua perisa iaitu asli dan jagung di Bazar Ramadan Geylang Serai
Pencuci mulut bertekstur lembut, berkrim tetapi pejal dengan liang-liang halus di setiap potongan serta lapisan karamel keemasan kini mencuri perhatian pengunjung bazar Ramadan di Singapura.
Hidangan itu dikenali sebagai quesillo, pencuci mulut tradisional dari Venezuela yang popular sepanjang Ramadan ini.
Di gerai Ministry of Spud di Bazar Ramadan Geylang Serai, quesillo dijual dalam dua perisa, asli dan jagung selain hidangan kentang, spud potatoes yang sudah dikenali pelanggan sejak 2025.
Spud potatoes sering disajikan dengan pelbagai isi atau hiasan atas seperti keju, kacang panggang, tuna mayo, krim masam, daging cencang, atau sayur-sayuran yang terkenal di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.
Menurut pemiliknya, Encik Abdul Khalil Abdul Mohsen, 39 tahun, idea menjual pencuci mulut dari Venezuela itu tercetus sekitar pertengahan 2025, selepas melihat ia tular di Malaysia dan Thailand.
“Apabila saya nampak pencuci mulut itu, ia mengingatkan saya kepada pencuci mulut yang arwah nenek saya pernah buat.
“Mungkin rupanya sama, mungkin tidak sama sepenuhnya.
“Jadi saya cari semula resipi daripada mak cik dan ibu saya, kemudian saya buat kajian tentang resipi asal quesillo,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkataan quesillo bermaksud ‘keju kecil’ dalam bahasa Sepanyol walaupun tiada keju digunakan dalam versi resipi yang popular di Venezuela.
“Setahu saya, ia dipanggil quesillo sebab apabila kita potong, ada lubang-lubang kecil yang nampak macam keju.
“Sebab itu namanya begitu walaupun resipi asalnya langsung tidak menggunakan keju krim,” ujarnya.
Encik Khalil berkata beliau tidak banyak mengubah resipi tersebut.
Malah, versi jagung yang dijual adalah penghormatan kepada arwah neneknya.
“Hari kedua jualan, ada seorang lelaki dari Colombia beritahu ia hampir sama dengan pencuci mulut di negaranya dan beliau beri beberapa saranan.
“Cuma saya belum sempat nak sesuaikan lagi,” katanya.
Beliau melakukan pelancaran Quesillo Zerts di acara Grand Market di Suntec Singapore beberapa minggu sebelum membawanya ke Bazar Ramadan Geylang Serai.
“Dalam masa lima hingga enam jam, saya boleh jual hingga 100 dulang sehari,” jelasnya tentang sambutan quesillo yang menggalakkan di Geylang.
Walaupun terdapat beberapa kritikan di media sosial, beliau melihatnya dari sudut positif.
“Bagi saya, semua mata dan kritikan di media sosial itu sebenarnya beri pemasaran dan perhatian yang baik.
“Kalau saya buat siaran langsung di TikTok, ada 600 hingga 700 penonton tengok saya layan pelanggan di bazar Geylang,” katanya.
Tambahnya, pelanggan tetap terus memberi sokongan, malah ada yang datang hingga empat kali untuk membeli.
“Saya dah lalui perkara sama pada 2025 dengan Ministry of Spud, dan ada sedikit kontroversi.
“Tapi yang penting ialah pelanggan yang datang cuba dan sokong,” ujarnya.
Proses penyediaan quesillo di Ministry of Spud mengambil masa hampir sehari.
Adunan perlu disediakan lebih awal, dikukus, disejukkan dan disimpan semalaman sebelum dijual dalam keadaan sejuk bagi mendapatkan tekstur terbaik.
Menurut beliau, perancangan produk dilakukan lebih awal bagi memastikan perniagaan sentiasa relevan.
“Kita kena faham pasaran. Orang yang beli daripada kita sebenarnya ingin sokong kita.
“Untuk kekal relevan, saya perlu kaji apa yang orang mahukan dan bagaimana cara kita pasarkannya.
“Ia tentang strategi pemasaran,” katanya.
Kini Encik Khalil telah membawa masuk bungkusan dan barang peralatan untuk persiapan bazar buat 2027.
“Saya mula merancang setengah tahun hingga satu tahun ke hadapan.
“Ia mengambil masa untuk cuba produk itu dan melihat bagaimana pasaran boleh menerimanya,” kata beliau.
Harga bagi perisa asli sepotong, $10 dan tiga potong, $27;
Harga bagi perisa jagung pula sepotong, $11 dan tiga potong, $30.
Ministry of Spud (Gerai 53, 54 & 55)
Alamat: 1 Engku Aman Turn, Singapura 408528Isnin hingga Ahad, 3 petang hingga 10 malam

