Topik diikuti
Pergi ke BHku‘BRAD-er’ roti: Bangkit semula selepas dibuang kerja
‘BRAD-er’ roti: Bangkit semula selepas dibuang kerja
Ayah 3 anak jaya buka kedai roti BRAD berkat sokongan keluarga, wang hasil jual rumah
‘BRAD-er’ roti: Bangkit semula selepas dibuang kerja
Apabila menerima berita beliau diberhentikan kerja pada Julai 2025, dunia Encik Faris Khan Surattee, 50 tahun, seakan terhenti seketika.
Sebagai bapa tiga anak, perkara pertama yang terlintas di fikirannya bukanlah dirinya sendiri, tetapi bagaimana untuk terus menyara keluarganya.
“Saya sangat susah hati kerana tidak tahu bagaimana hendak menanggung keluarga.
“Setiap hari saya hantar resume dan mohon kerja, tetapi tiada satu pun panggilan untuk temu duga,” luah Encik Faris.
Berbulan mencari pekerjaan tanpa hasil membuatkan bekas pengurus projek itu berdepan ketidakpastian.
Namun di sebalik kegelisahan, isterinya, Cik Shahroon Jihan Khairoodin, 49 tahun, mengingatkannya tentang apa yang sentiasa membuat beliau gembira, iaitu cintanya terhadap roti.
“Isteri saya tanya, kenapa tidak buat sesuatu yang saya gemari?
“Saya memang sudah lama membakar roti dan menjualnya dari rumah pada hujung minggu,” katanya.
Daripada dorongan isterinya serta sokongan bapa mentua, lahirlah keputusan yang tidak pernah disangkakan.
Encik Faris mengambil langkah berani menjual kondominiumnya bagi mengumpul modal untuk membuka BRAD di Fernvale Village pada Februari lalu.
“Kalau tidak cuba, kita tidak akan tahu.
“Saya takut juga kerana perlu bayar sewa dan modal yang kami ada terhad.
“Tetapi saya fikir, saya perlu terus berusaha,” tambahnya.
Minat Encik Faris terhadap dunia membakar bermula sejak 2011.
Ketika itu, beliau hanya menikmati pelbagai jenis roti seperti focaccia dan garlic bread sebelum isterinya mencadangkan agar beliau belajar membuatnya sendiri.
Cadangan itu membawanya mengikuti kelas ‘Men Can Bake’ bersama cef selebriti tempatan, Cef Siti Mastura.
“Dulu, saya tidak tahu langsung tentang membakar. Saya cuma tahu makan sahaja.
“Selepas masuk kelas, minat itu semakin berkembang dan saya mula menghasilkan roti sendiri di rumah,” katanya.
Daripada situlah tercetusnya nama BRAD, singkatan kepada ‘Bhai Roti and Desserts’.
Gelaran ‘bhai roti’ pula diinspirasikan daripada latar belakang Pakistan Encik Faris, yang sering dipanggil dengan gelaran tersebut oleh kenalan rapatnya.
Walaupun ketika itu beliau bekerja sepenuh masa dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan dan khidmat kewangan, minatnya terhadap dunia pembuatan roti tidak pernah pudar.
Pada hujung minggu dan musim perayaan, beliau menghasilkan roti, pastri dan pencuci mulut dari rumah untuk pelanggan dan tempahan majlis.
Kini, BRAD menawarkan pelbagai pilihan roti artisan seperti focaccia, quiche dan soft cookies yang menjadi kegemaran pelanggan.
Antara yang paling laris ialah soft cookies Golden Choc, Molten Lava, Cookie Monster dan Misu Tira, iaitu biskut yang diinspirasikan daripada pencuci mulut, tiramisu.
Selain itu, satu lagi tarikan utama di kedainya ialah gelato buatan sendiri hasil ilmu dan kemahiran yang beliau timba dari At-Sunrice GlobalChef Academy.
Minat Encik Faris terhadap gelato begitu mendalam sehingga beliau menghubungi Cef Sarah Ariffin, untuk mendapatkan panduan tentang tempat yang sesuai bagi meningkatkan kemahirannya.
“Saya memang minat gelato sejak dahulu lagi.
“Saya pernah terfikir untuk pergi ke Italy semata-mata untuk belajar membuat gelato, tetapi ketika itu saya tidak mampu,” katanya.
Menurut Encik Faris, proses menghasilkan gelato merupakan antara aspek perniagaan yang paling digemarinya kerana memberi ruang untuk bereksperimen dan mencipta perisa baharu.
“Saya suka bereksperimen. Gelato memberi ruang untuk kita menjadi kreatif.
“Apa yang kita boleh bayangkan, kita boleh cuba jadikan perisa gelato,” ujarnya.
Kini, beliau menghasilkan pelbagai perisa gelato kreatif seperti pistasio, Strawberry Cheesecake, Mango Passionfruit Sorbet dan Cinnamon Roll yang jarang ditemui di Singapura.
Pemilihan Fernvale di Sengkang sebagai lokasi BRAD pula dibuat selepas beliau meninjau beberapa kawasan lain termasuk Tampines dan Pasir Ris.
Namun, harga sewa yang lebih tinggi menyebabkan beliau memilih Fernvale yang dianggap lebih sesuai untuk perniagaan baru.
“Di sini (Fernvale), ada ramai keluarga muda dan penduduk daripada pelbagai peringkat umur.
“Saya rasa kawasan ini sesuai untuk konsep yang kami bawakan,” katanya.
Walaupun sambutan pada peringkat awal agak perlahan kerana ramai belum mengenali kedainya, keadaan berubah apabila tiba Ramadan.
“Ramai mula datang untuk membeli juadah berbuka.
“Dari situ, lebih ramai pelanggan mengenali BRAD melalui video di media sosial dan juga rekomendasi dari mulut ke mulut,” katanya.
Malah, sebuah video yang berkongsi perjalanan hidup Encik Faris daripada kehilangan pekerjaan kepada pemilik kedai turut tular di Instagram dan meraih lebih 155,000 tontonan, sekali gus membantu memperkenalkan BRAD kepada lebih ramai pelanggan.
Menariknya, perjalanan perniagaan Encik Faris turut dibantu oleh ketiga-tiga anaknya yang berusia 16, 20 dan 22 tahun.
Anak sulungnya, Encik Muhammad Suhail Khan Surattee, mencadangkan agar mereka bekerjasama dengan sebuah agensi pemasaran bagi memperluaskan capaian jenama tersebut.
“Sebagai seorang ayah, saya sedar bukan kita sahaja yang memberi nasihat kepada anak-anak.
“Kadangkala kita juga perlu mendengar pandangan mereka,” kongsinya.
Beliau mengakui pada mulanya kurang yakin dengan cadangan tersebut kerana berasa kos yang terlibat agak tinggi.
Namun, akhirnya beliau bersetuju untuk mencubanya.
“Alhamdulillah, hasilnya sangat positif.
“Kini, pelanggan bukan sahaja datang dari Fernvale, malah ada yang datang dari Jurong, Pasir Ris dan kawasan lain,” katanya.
Bagi Encik Faris, pengalaman kehilangan pekerjaan mengajarnya perkara penting tentang kehidupan.
“Kalau menghadapi kesusahan, jangan berputus asa.
“Apabila kita berada dalam kegelapan, kita perlu terus melangkah ke hadapan.
“Dengan usaha, insya-Allah kita akan nampak cahaya di hujung jalan.”
Sebagai seorang ayah pula, beliau percaya seseorang tidak boleh berhenti belajar walau dalam apa jua keadaan.
“Selagi kita hidup, selagi itu kita mesti mencari pengalaman dan ilmu di mana-mana sahaja.
“Jangan rasa kita sudah pandai dan tidak perlu belajar lagi.
“Kita perlu sentiasa rendah hati dan terbuka untuk belajar perkara baru,” katanya.
Malah, beliau mengakui banyak mempelajari strategi pemasaran moden daripada anak-anaknya sendiri dalam membangunkan jenama BRAD.
Bagi Encik Faris, kejayaan BRAD hari ini bukanlah hasil usahanya seorang diri.
Sebaliknya, ia lahir daripada sokongan isteri, ketiga-tiga anaknya serta anggota keluarga lain yang terus berada di sisinya ketika beliau berdepan saat paling sukar dalam hidup.
“Sebagai ayah, kita mahu menjadi kuat untuk keluarga.
“Tetapi saya belajar bahawa tidak salah untuk menerima bantuan dan sokongan daripada isteri dan anak-anak.
“Kadangkala merekalah yang memberi kita kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” luahnya.
BRAD
Alamat: 61 Fernvale Link, #01-04, Singapura 799956Selasa hingga Ahad, 8.30 pagi hingga 8 malam
