Ayam gepuk, hidangan dari Indonesia yang terkenal dengan rasa pedas, lemak dan sedikit manis, semakin mencuri perhatian pencinta makanan di Singapura. Dihidangkan bersama ayam goreng, sambal kacang gajus dan kubis goreng, hidangan ini kini menjadi semakin terkenal selepas tular di Malaysia dan Indonesia. Di Singapura, trend ini turut diperkenalkan oleh Ayam Gepuk Anak Mak dan Papa Ayam yang masing-masing menampilkan sentuhan mereka tersendiri. BERITA HARIAN menemui peniaga di sebalik dua jenama itu.

Pedas, lemak dan sedikit manis.

Itulah rasa yang membuatkan pasangan suami isteri, Encik Kazhendra Kas Kazan dan Cik Noorazlina Ajis, terus jatuh hati dengan hidangan ayam gepuk sebaik sahaja mencubanya buat kali pertama di Johor Bahru pada 2025.

“Kali pertama saya cuba ayam gepuk di Larkin adalah bersama seorang kawan dan saya rasa hidangan itu memang sedap.

“Selepas itu, saya membawa suami saya pula dan kami terus jatuh hati,” kata Cik Noorazlina, 37 tahun.

Menurut beliau, mereka kemudiannya sanggup berulang-alik ke Johor Bahru hampir setiap minggu semata-mata untuk menikmati hidangan tersebut.

“Ada masa kami terpaksa beratur panjang dan tidak dapat tempat duduk.

“Dari situ, kami mula tertanya-tanya, kenapa di Singapura tidak ada ayam gepuk?”

Persoalan itu akhirnya mencetuskan idea untuk menghasilkan sendiri hidangan tersebut di rumah.

Berbekalkan pengalaman menjual makanan tradisional menerusi perniagaan dari rumah (HBB) sejak 2020, Cik Noorazlina mula menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) selama hampir tiga bulan bagi menghasilkan semula rasa ayam gepuk yang mereka nikmati di Johor Bahru.

“Saya beli batu lesung dan cuba menghasilkan semula rasa hidangan yang kami cuba di Johor Bahru,” kata Cik Noorazlina.

“Ada saja yang tak kena. (Proses membuat) sambalnya yang paling susah kerana kita cuba menghasilkan rasa yang sama.

“Kami juga mencuba pelbagai jenis cili dari negara berbeza, serta mencari kubis yang sesuai untuk digoreng sehingga garing,” kata Encik Kazhendra, 40 tahun.

“Kami (membuat) R&D dan masak sehingga tempat goreng di rumah meletup dua kali,” sambung Cik Noorazlina.

Usaha tersebut akhirnya melahirkan Ayam Gepuk Anak Mak yang mula diperkenalkan sebagai perniagaan dari rumah selama kira-kira enam bulan, sebelum perniagaan itu berkembang kepada kedai fizikal di Ang Mo Kio.

Pasangan itu turut memperkenalkan hidangan tersebut di bazar Ramadan pada 2025, sekali gus membantu memperkenalkan ayam gepuk kepada masyarakat Singapura, yang ketika itu masih kurang mengenalinya.

“Sambutan pada awalnya perlahan kerana ramai yang ingat ini ayam penyet.

“Namun selepas mereka mencubanya, ia mula tersebar dari mulut ke mulut dan pelanggan pun semakin ramai,” kata Cik Noorazlina.

Mereka kemudian menggunakan wadah TikTok Live untuk memperkenalkan hidangan tersebut kepada lebih ramai pelanggan.

Sambutan yang diterima menerusi HBB, bazar Ramadan dan TikTok Live akhirnya menjadi terlalu besar untuk dikendalikan dari rumah.

“Rumah dah terlalu berminyak. Pelanggan yang datang ambil tempahan sendiri pun tahu rumah kami hanya melalui bau ayam goreng,” kata Cik Noorazlina berseloroh.

Mereka kemudian menghentikan operasi tanpa sebarang pengumuman selama kira-kira dua bulan bagi mencari ruang yang sesuai sebelum kembali beroperasi di kedai fizikal mereka di Ang Mo Kio.

Kini, Ayam Gepuk Anak Mak menjual antara 150 dengan 200 hidangan sehari, malah jumlah itu boleh mencecah sehingga 250.

Namun, apakah sebenarnya perbezaan antara ayam gepuk, ayam penyet dengan ayam geprek?

Menurut portal berita Indonesia, IDN Times, ketiga-tiga hidangan itu berkongsi persamaan sebagai ayam goreng yang dipadankan dengan sambal, namun berbeza dari segi teknik penyediaan.

Ayam geprek menggunakan ayam goreng rangup bersalut tepung yang dihancurkan bersama sambal sehingga sambal melekat pada lapisan ayam yang garing.

Hidangan itu sering dipadankan dengan sambal bawang.

Ayam penyet pula menggunakan ayam yang diperap dan dimasak bersama rempah terlebih dahulu sebelum digoreng.

Ayam itu kemudian ditekan atau dilenyek secara ringan dan dipadankan dengan pilihan sambal.

Ayam gepuk pula sering dianggap gabungan antara ayam geprek dengan ayam penyet.

Hidangan itu menggunakan ayam berempah yang digoreng sebelum diketuk, atau ‘digepuk’, sehingga sedikit leper tanpa menghancurkan isinya seperti ayam geprek.

Menurut Cik Noorazlina, sambal dan kubis goreng merupakan identiti utama hidangan tersebut.

“Perbezaan utama ialah sambalnya. Ayam gepuk menggunakan sambal cili bersama kacang gajus.

“Ayam geprek dan ayam penyet pula tidak menggunakan kacang.

“Selain itu, ayam gepuk biasanya dihidangkan dengan kubis goreng, manakala geprek dan penyet selalunya disajikan dengan timun atau kubis mentah,” jelasnya.

Encik Kazhendra menambah, kubis goreng memberikan satu dimensi rasa yang berbeza.

“Berdasarkan apa yang kami kaji, kubis goreng memberikan sedikit unsur manis yang tidak terdapat dalam ayam penyet dan ayam geprek,” katanya.

Di Ayam Gepuk Anak Mak, satu hidangan ayam gepuk berharga $8.50 dan disajikan bersama nasi putih, ayam goreng, sambal, tempe, tahu serta kubis goreng.

Pelanggan juga boleh menambah bayam goreng, iaitu sentuhan istimewa mereka sendiri yang menambah tekstur rangup pada hidangan tersebut.

Menurut Cik Noorazlina, mereka menggunakan kacang gajus sepenuhnya bagi menghasilkan sambal mereka, walaupun kosnya tinggi.

“Kita pakai kacang gajus sepenuhnya. Ada beberapa tempat yang mencampurkan buah keras atau kacang tanah sebab harga gajus memang mahal.

“Kami pernah cuba campuran lain tetapi rasanya tidak sama.

“Sebanyak 11 kilogram boleh mencecah sekitar $170.

“Kacang gajus, sambal, kicap manis dan kubis goreng saling melengkapi antara satu sama lain.

“Sambal itu memberikan rasa pedas dan lemak yang menjadi identiti ayam gepuk,” katanya.

Bagi Cik Noorazlina, populariti ayam gepuk di Malaysia turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hidangan tersebut.

“Di Malaysia, fenomena ayam gepuk memang luar biasa – ia hangat diperkatakan di media sosial.

“Di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan, ada pelbagai jenama dengan cara penyajian dan hidangan sampingan yang berbeza.

“Saya banyak melihat perkembangan itu, tetapi saya mahu fokus kepada rasa asal ayam gepuk terlebih dahulu,” katanya.

Populariti ayam gepuk di Malaysia turut dipengaruhi oleh kemunculan pelbagai jenama serta pencipta kandungan makanan seperti Jason Chen yang sering berkongsi ulasan dan pencarian lokasi ayam gepuk di seluruh negara.

Menurut beberapa laporan media Indonesia, populariti ayam gepuk banyak dikaitkan dengan kemunculan Ayam Gepuk Pak Gembus, kendalian usahawan, Encik Rido Nurul Adityawan, di Jakarta pada 2013, sebelum ia berkembang melalui model francais ke beberapa negara termasuk Malaysia.

Selepas berkembang daripada perniagaan dari rumah kepada kedai fizikal di Ang Mo Kio, pasangan itu berharap dapat membuka lebih banyak cawangan pada masa hadapan selain memperkenalkan variasi menu baru yang masih dalam peringkat R&D.

“Kami melihat perniagaan ayam gepuk ini sebagai pelan persaraan kami daripada dunia muzik,” kata Encik Kazhendra, seorang pemain bes profesional, yang juga bermain muzik dalam kumpulan yang sama dipanggil One Nation, bersama Cik Noorazlina, bekas peserta rancangan realiti nyanyian, Singapore Idol.

“Selepas bertahun-tahun dalam industri muzik, akhirnya kami dapat membina perniagaan ini bersama-sama. Ia berlaku secara semula jadi,” kata Cik Noorazlina.

Dengan semakin banyak restoran tempatan mula menawarkan ayam gepuk, Encik Kazhendra percaya hidangan itu bukan sekadar trend sementara.

“Saya rasa ayam gepuk akan kekal dan menjadi seperti ayam penyet,” katanya.

Ayam Gepuk Anak Mak
Alamat: 215 Ang Mo Kio Avenue 1, #01-877, Singapura 560215
Waktu Operasi:
  • Waktu Operasi: Isnin, Rabu hingga Ahad, 12 petang hingga 8.30 malam

Get therelocation-icon