Topik diikuti
Pergi ke BHkuFika Swedish Cafe & Bistro tutup tirai, beri tumpuan kepada Konditori
Fika Swedish Cafe & Bistro tutup tirai, beri tumpuan kepada Konditori
Fika Swedish Cafe & Bistro tutup tirai, beri tumpuan kepada Konditori
Selepas 17 tahun memperkenalkan cita rasa Sweden kepada masyarakat setempat, restoran halal Sweden pertama di Singapura, Fika Swedish Cafe & Bistro, akan menamatkan operasinya di Arab Street pada 14 Ogos ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman Instagram rasmi restoran berkenaan sempena ulang tahunnya yang ke-17.
Dalam catatan tersebut, pihak Fika mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang telah menyokong mereka sejak dibuka pada 2009 serta menjemput orang ramai menikmati hidangan buat kali terakhir sebelum restoran itu menutup tirainya.
Sepanjang operasinya, Fika pernah mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan di Millenia Walk dan OneKM Mall sebelum kembali memberi tumpuan kepada cawangan utamanya di Arab Street.
Fika diasaskan oleh usahawan tempatan, Cik Tasneem Noor, bersama suaminya yang berasal dari Sweden, Encik Joakim Smidhagen. Encik Joakim merindui masakan tanah airnya dan pasangan itu mendapati ketika itu tiada restoran yang menawarkan hidangan Sweden yang halal di Singapura.
Sejak pembukaannya, Fika menjadi antara destinasi popular bagi penggemar makanan Scandinavia dengan menyajikan pelbagai hidangan autentik yang diolah mengikut keperluan halal.
Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah Swedish Meatballs yang dihidangkan bersama sos perang dan jem lingonberi, selain Pyttipanna, hidangan kentang dan daging cincang ala Sweden, Toast Skagen berasaskan udang, Gravlax Sandwich serta pelbagai pastri dan pencuci mulut Scandinavia.
Sepanjang perjalanannya, Fika bukan sahaja memperkenalkan budaya makanan Sweden kepada pelanggan Muslim, malah menjadi antara perintis yang membuktikan hidangan Eropah boleh disediakan dalam versi halal tanpa mengorbankan keaslian rasanya.
Walaupun Fika bakal mengakhiri operasinya, pemiliknya berkata mereka kini mahu menumpukan perhatian kepada perkembangan jenama bakeri artisanal mereka, Konditori.
Nama Konditori diambil daripada gabungan istilah dalam bahasa Sweden dan Jerman yang merujuk kepada sebuah bakeri atau kedai pastri.
Jenama itu diperkenalkan sekitar 10 tahun lalu dan menawarkan pelbagai pastri Scandinavia, dengan antara jualan paling popular ialah Jumbo Wiener Roll, Lemon Meringue Tart serta Strawberry Cream and Cheese Croissant.
Baru-baru ini, Konditori turut menyertai acara The Great Food Assembly dari 3 hingga 5 Julai lalu, yang merupakan acara pop-up pertamanya.
Menurut pemiliknya, penyertaan itu membuka peluang untuk mereka mendekati lebih ramai pelanggan, dan mereka berharap dapat menyertai lebih banyak acara pop-up dan akan menyertainya pada bulan September akan datang.
Dalam kenyataannya, pihak Fika berkata:
“Walaupun lembaran Fika berakhir buat masa ini, kami teruja untuk memberikan perhatian kepada pengembangan Konditori, dengan pelbagai perkara menarik bakal dinantikan.”
Fika Swedish Cafe & Bistro
Alamat: 257 Beach Road, Singapura 199539Isnin hingga Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 9 malam dan Jumaat dan Sabtu 11 pagi hingga 10 malam