Sempena Hari Kebangsaan, ramai jenama makanan tampil dengan menu edisi khas. Namun bagi dua jenama tempatan, Jinjja Chicken dan Rumah Makan Minang, sambutan tahun ini bukan sekadar memperkenalkan hidangan baharu.

Malah, mereka berganding bahu menghasilkan dua hidangan edisi terhad yang menggabungkan kepakaran masing-masing, sekali gus meraikan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Singapura.

Mulai 5 Ogos, pelanggan di semua cawangan Jinjja Chicken dan Jinjja Kitchen boleh menikmati Jinjja K-Boneless Chicken with Belado berharga $9.90, ayam rangup tanpa tulang yang disaluti sambal belado istimewa Rumah Makan Minang dengan sentuhan pedas ala Korea.

Turut diperkenalkan ialah Rendang Bulgogi Beef Loaded Fries, $6.90, kentang goreng rangup yang dihiasi daging bulgogi dimasak menggunakan kuah rendang Minang sebelum dilengkapkan dengan sos ranch istimewa Jinjja.

Bagi hidangan yang lebih memuaskan pelanggan boleh memesan Belado K-Boneless Chicken with Coconut Rice untuk $10.90.

Namun di sebalik dua hidangan itu, terselit satu mesej yang lebih besar, iaitu kejayaan industri makanan tempatan bukan dibina melalui persaingan, tetapi melalui semangat saling mengangkat antara satu sama lain.

Kolaborasi tersebut bermula apabila pengasas kedua-dua jenama bertemu dalam satu acara dan menyedari mereka berkongsi nilai yang sama, iaitu menghargai makanan berkualiti, menyokong jenama tempatan dan percaya bahawa kerjasama mampu menghasilkan sesuatu yang lebih bermakna.

Menurut pengarah urusan Jinjja Chicken dan Jinjja Kitchen, Encik Bernard Tay, Singapura mempunyai antara landskap makanan paling rencam di dunia dan ia wajar diraikan dengan lebih daripada sekadar memperkenalkan menu bertema.

“Bekerjasama dengan jenama tempatan seperti Rumah Makan Minang merupakan cara yang tepat untuk menyambut Hari Kebangsaan. Ia bukan sekadar menghasilkan menu baharu, tetapi menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila dua tradisi makanan yang berbeza memilih untuk bergabung.

“Ia selari dengan semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Majulah Singapura, Go Beyond’, iaitu melangkah ke hadapan bersama-sama,” katanya.

Bagi Pengarah dan generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, kerjasama itu turut menemukan sebuah jenama warisan yang telah bertapak sejak 1954 dengan sebuah jenama moden yang dekat di hati generasi muda.

“Kolaborasi ini menyatukan dua jenama tempatan, dua budaya makanan dan dua generasi dalam satu hidangan yang meraikan Singapura.

“Kami percaya kerjasama seperti ini mengukuhkan industri makanan tempatan dan membuktikan lebih banyak perkara boleh dicapai apabila jenama memilih untuk bekerjasama berbanding bersaing,” katanya.

Menurut beliau, gabungan cita rasa Minang dan Korea juga mencerminkan identiti Singapura yang dibentuk daripada kepelbagaian budaya.

“Jika kolaborasi ini dapat memperkenalkan Rumah Makan Minang kepada generasi muda atau menggalakkan lebih banyak jenama tempatan bekerjasama, kami menganggap usaha ini satu kejayaan,” ujarnya.

Bagi Encik Bernard pula, mesej paling penting yang ingin disampaikan bukanlah sekadar mengajak orang ramai mencuba dua menu baharu itu.

“Rumah Makan Minang telah menghabiskan bertahun-tahun menyempurnakan resipi belado dan rendang mereka, manakala kami pula memberi tumpuan kepada ayam goreng kami. Daripada melihatnya sebagai persaingan, kami melihatnya sebagai satu peluang.

“Budaya makanan yang baik tidak dibina apabila jenama berebut pelanggan yang sama, tetapi apabila jenama saling menyokong dan berkongsi kepakaran. Itulah semangat sebenar kolaborasi ini,” katanya.

Jinjja Chicken x Rumah Makan Minang
Alamat: 1 Tampines Walk, #01-101 Our Tampines Hub, Singapura 528523
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 8.30 malam dan Jumaat dan Sabtu, 11 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon