Ministry of Spud jual 100 dulang quesillo dalam sehari di bazar Geylang
Ministry of Spud jual 100 dulang quesillo dalam sehari di bazar Geylang
Pencuci mulut bertekstur lembut, berkrim tetapi pejal dengan liang-liang halus di setiap potongan serta lapisan karamel keemasan kini mencuri perhatian pengunjung bazar Ramadan di Singapura.
Hidangan itu dikenali sebagai quesillo, pencuci mulut tradisional dari Venezuela yang popular sepanjang Ramadan ini.
Di gerai Ministry of Spud di Bazar Geylang Serai Ramadan, quesillo dijual dalam dua perisa, asli dan jagung selain hidangan kentang spud potatoes yang sudah dikenali pelanggan sejak tahun lalu.
Spud potatoes sering disajikan dengan pelbagai isi atau topping seperti keju, kacang panggang, tuna mayo, krim masam, daging cincang, atau sayur-sayuran yang terkenal di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut pemiliknya, Encik Abdul Khalil Abdul Mohsen, 39 tahun, idea menjual pencuci mulut dari Venezuela itu tercetus sekitar pertengahan tahun lalu selepas melihat ia tular di Malaysia dan Thailand.
“Bila saya nampak pencuci mulut itu, ia mengingatkan saya kepada pencuci mulut yang arwah nenek saya pernah buat.
“Mungkin rupanya sama, mungkin tidak sama sepenuhnya. Jadi saya cari semula resipi daripada makcik dan ibu saya, kemudian saya buat kajian tentang resipi asal quesillo,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkataan quesillo bermaksud ‘keju kecil’ dalam bahasa Sepanyol walaupun tiada keju digunakan dalam versi resipi yang popular di Venezuela.
“Setahu saya, ia dipanggil quesillo sebab bila kita potong, ada lubang-lubang kecil yang nampak macam keju. Sebab itu namanya begitu walaupun resipi asalnya langsung tidak guna keju krim,” ujarnya.
Encik Khalil berkata beliau tidak banyak mengubah resipi tersebut. Malah, versi jagung yang dijual adalah penghormatan kepada arwah neneknya.
“Hari kedua jualan, ada seorang lelaki dari Colombia beritahu ia hampir sama dengan pencuci mulut di negaranya dan beliau beri beberapa saranan. Cuma saya belum sempat nak sesuaikan lagi,” katanya.
Beliau melakukan pelancaran Quesillo Zerts di acara Grand Market di Suntec Singapore beberapa minggu sebelum membawanya ke bazar Ramadan di Geylang.
“Dalam masa lima hingga enam jam, saya boleh jual hingga 100 dulang sehari,” jelasnya tentang sambutan quesillo yang menggalakkan di Geylang.
Walaupun terdapat beberapa kritikan di media sosial, beliau melihatnya dari sudut positif.
“Bagi saya, semua mata dan kritikan di media sosial itu sebenarnya beri pemasaran dan perhatian yang baik.
“Kalau saya buat siaran langsung di TikTok, ada 600 hingga 700 penonton tengok saya layan pelanggan di bazar Geylang,” katanya.
Tambahnya, pelanggan tetap terus memberi sokongan, malah ada yang datang hingga empat kali untuk membeli.
“Saya dah lalui perkara sama tahun lepas dengan Ministry of Spud, ada sedikit kontroversi. Tapi yang penting ialah pelanggan yang datang cuba dan sokong,” ujarnya.
Proses penyediaan quesillo di Ministry of Spud mengambil masa hampir sehari. Adunan perlu disediakan lebih awal, dikukus, disejukkan dan disimpan semalaman sebelum dijual dalam keadaan sejuk bagi mendapatkan tekstur terbaik.
Menurut beliau, perancangan produk dilakukan lebih awal bagi memastikan perniagaan sentiasa relevan.
“Kita kena faham pasaran. Orang yang beli daripada kita sebenarnya ingin sokong kita. Untuk kekal relevan, saya perlu kaji apa yang orang mahukan dan bagaimana cara kita pasarkannya. Ia tentang strategi pemasaran,” katanya.
Kini Encik Khalil telah pun membawa masuk bungkusan dan barang peralatan untuk persiapan bazar buat tahun depan.
“Saya mula merancang setengah tahun hingga satu tahun ke hadapan. Ia mengambil masa untuk cuba produk itu dan melihat bagaimana pasaran boleh menyambutnya,” katanya.
Harga: Perisa asli, 1 keping, $10 dan 3 keping, $27. Perisa jagung $11 dan 3 keping, $30.
Ministry of Spud (Gerai 53, 54 & 55)
Alamat: 1 Engku Aman Turn, Singapura 408528Isnin hingga Ahad, 3 petang hingga 10 malam

