Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu tangkap orang, kini ‘tangkap’ selera dengan ayam goreng
Seorang menghabiskan 23 tahun menguatkuasakan undang-undang, manakala seorang lagi hampir lima tahun di sebalik tirai besi di penjara Kluang, Johor Bahru. Perjalanan hidup Encik Shahrizan Mohamed Sapri dan Encik Mohd NurHafidz mungkin berbeza tetapi kededuanya kini mencari rezeki menjual ayam goreng.
Selepas 23 tahun menyarung seragam polis, Encik Shahrizan Mohamed Sapri membuat keputusan yang mengejutkan ramai, meninggalkan kerjaya stabil untuk berdiri di belakang alat penggoreng pula.
Lebih-lebih lagi, bapa tiga anak berusia 42 tahun itu merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya.
Namun, minat memasak yang sekian lama dipendam akhirnya mendorong bekas pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) itu mengeluarkan sekitar $50,000 daripada simpanannya untuk membuka Foxy’s Chikn di Joo Chiat pada April lalu.
“Ramai sebenarnya bilang jangan berhenti sebab kerja memang dah stabil. Gaji nanti macam mana? Apalagi dengan zaman sekarang banyak F&B tutup,” kongsinya.
Bagi Encik Shahrizan, menunggu sehingga bersara pula mungkin sudah terlambat untuk mengejar impiannya.
“Kalau saya tunggu waktu saya pencen, umur saya mungkin 55 atau 60 tahun. Saya mungkin sudah tidak ada idea atau tenaga untuk jalankan konsep ini.
“Jadi, saya fikir kalau mahu beralih ke F&B, saya perlu lakukannya sekarang dan lakukannya dengan betul,” ujarnya kepada Berita Harian.
Namun, langkah Encik Shahrizan ke dunia F&B sebenarnya bermula sebelum beliau menggantung seragam polis.
Pada lewat 2019, keluarganya memulakan perniagaan berasaskan rumah (HBB), Foxy Snaxy, yang menjual antaranya pencuci mulut, kek dan nasi sambal goreng.
Ketika masih berkhidmat sebagai pegawai polis, Encik Shahrizan banyak membantu di belakang tabir, termasuk menghasilkan dan menguji resipi.
HBB yang beroperasi sekitar dua tahun itu menjadi ruang baginya mencuba idea dan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum ia ditutup pada 2021.
Nama ‘Foxy’ bagaimanapun tidak dibiarkan terkubur.
Apabila bersedia membuka kedai sendiri, beliau menghidupkan kembali nama tersebut sebagai Foxy’s Chikn, kali ini dengan ayam goreng sebagai hidangan utama.
Pilihan itu mempunyai nilai sentimental baginya.
“Ayam goreng itu kenangan semasa zaman kanak-kanak saya. Ibu bapa akan membelikan kami ayam goreng setiap kali ada sambutan istimewa,” katanya.
Di Foxy’s Chikn, menghasilkan ayam goreng yang diinginkannya bukan semudah mencelup ayam ke dalam tepung sebelum menggorengnya.
Ayam melalui proses selama dua hari sebelum bertemu minyak panas.
“Kita buat sendiri ‘buttermilk’ kerana sukar mendapatkan yang halal. Hari pertama, ayam melalui proses ‘buttermilk brine’, kemudian hari kedua barulah melalui proses perapan sebelum digoreng.
“Salutan pula menggunakan tiga jenis tepung dan sekitar 10 hingga 12 rempah. Jadi proses ayam goreng sebelum masuk ‘fryer’ memang sangat rumit,” jelasnya.
Antara rempah yang digunakan ialah paprika, jintan putih dan ketumbar, sementara salutannya menggabungkan tepung gandum, beras dan jagung.
Hasilnya, kulit ayam tampil keemasan dengan tekstur kasar dan rangup, sementara isinya kekal lembut dan berjus.
“Ciri ayam goreng bagi saya, bahagian dalam mesti berjus. Ia tak boleh kering dan tak boleh digoreng berlebihan,” katanya.
Bagi mendapatkan hasil itu, Encik Shahrizan menghabiskan antara enam bulan dengan setahun melakukan R&D, termasuk menguji campuran tepung agar kerangupan ayam dapat bertahan meskipun dibiarkan pada suhu bilik.
Ketelitian yang sama diberikan kepada hidangan sampingan.
Nasi kuning harum yang menemani ayam merupakan olahannya daripada nasi kuning Indonesia yang pernah dimasaknya untuk keluarga dan ketika menjalankan HBB.
Menurutnya, sajian itu turut mendapat sambutan pelanggan dari Malaysia dan pelancong Indonesia yang berkunjung setelah mendengar tentang kedainya daripada orang lain.
“Mungkin mereka gemar dengan konsep ayam goreng dimakan bersama nasi kuning kerana nasi kuning merupakan resipi Indonesia,” katanya.
‘NY Deli Coleslaw’ pula dibuat sendiri menggunakan kubis putih, kubis ungu dan lobak merah yang direndam semalaman bersama cuka, bawang putih dan lada sebelum dikeringkan dan dicampur mayonis.
Ia kekal rangup, dengan rasa masam dan manis yang diseimbangkan dengan kismis Sultana.
Antara hidangan utama ialah Chikn Set, bermula $11, yang menggabungkan ayam goreng, nasi kuning, ‘NY Deli Coleslaw’ dan minuman.
Tenders Set, $13.50 pula terdiri daripada tiga ketul ‘chicken tenders’, kentang goreng bersalut tepung, coleslaw, sos ranch (sos berkrim) buatan sendiri dan minuman.
Namun, satu hidangan yang tidak disangka-sangka menjadi kegemaran pelanggan ialah Chikn Sandwich Set, $13.50.
Paha ayam rangup diapit roti brioche (roti yang manis sedikit) bersama hirisan jeruk ‘gherkin’ (jenis timun kecil) yang tebal dan memberi tambahan tekstur rangup, dan disajikan bersama kentang goreng serta minuman.
Bagi Encik Shahrizan, disiplin yang diterapkan sepanjang 23 tahun sebagai pegawai polis kini turut menjadi bekalan penting dalam mengendalikan perniagaan.
Namun, beralih daripada dunia polis kepada F&B tetap hadir dengan cabaran tersendiri.
“Memang banyak cabaran dan ada turun naik. Pada awalnya kami tidak mempunyai kakitangan. Dua tiga hari pertama, saya kendalikan kedai seorang diri.
“Perlahan-lahan barulah kami dapat mencari kakitangan,” katanya.
Kini, lebih tiga bulan selepas membuka kedainya, Encik Shahrizan berharap pertaruhan besar untuk meninggalkan kerjaya yang dibina lebih dua dekad itu dapat membawa Foxy’s Chikn lebih jauh dan mendapat sokongan yang lebih baik daripada masyarakat.
Foxy’s Chikn
Alamat: 95 Joo Chiat Rd, #01-02, Singapura 427389Selesa hingga Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 9 malam dan Jumaat dan Sabtu, 11 pagi hingga 10 malam
