Ketika Encik Mohd NurHafidz Abu Bakar menggigit chicken tenders yang dibeli keluarganya untuk sambutan Hari Raya semasa beliau berada di balik tirai besi di Penjara Kluang, Johor Bahru, air matanya tiba-tiba mengalir.

Bukan sahaja kerana ia, menurutnya, makanan paling enak yang pernah dinikmati sepanjang berada di penjara, malah gigitan itu turut membangkitkan rasa kesal, terharu dan harapan untuk membina kehidupan baru.

“Saya rasa memang ada air mata yang mengalir. Memang betul-betul sedap sangat.

“Masa itu saya dapat semangat, ‘Aku kena buat ini (chicken tenders) bila aku keluar’,” kata Encik NurHafidz yang kini berusia 40 tahun.

Chicken tenders yang rangup dan berjus merupakan hidangan utama dan laris dijual di Last Bite.
Chicken tenders yang rangup dan berjus merupakan hidangan utama dan laris dijual di Last Bite. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik NurHafidz menjalani hukuman dari Jun 2020 hingga Februari 2025 susulan kes berkaitan penyeludupan manusia.

Sebelum dipenjarakan, warga Johor Bahru itu bekerja di sebuah syarikat telepemasaran dan menjadi pemandu Grab sambilan untuk menambah pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, seorang kenalan memintanya menghantar enam penumpang dari Indonesia dari Masai ke Sungai Rengit. Namun, sebaik tiba di destinasi, beliau diserbu polis dan kemudian mendapati penumpangnya merupakan pendatang tanpa izin.

Beliau pada awalnya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun sebelum membuat rayuan. Dengan pengurangan hukuman dan kelakuan baik, beliau akhirnya menjalani hukuman selama empat tahun lapan bulan.

Namun, kehilangan kebebasan bukan satu-satunya dugaan yang perlu dihadapinya.

Ketika di penjara, rumah tangganya berakhir dengan perceraian. Dua anaknya pula baru berusia empat dan enam tahun ketika beliau mula dipenjarakan.

NurHafidz berkata anak-anaknya sehingga kini tidak mengetahui bahawa beliau pernah dipenjarakan kerana tidak mahu perkara itu menjejas mereka, terutama di sekolah.

“Mereka hanya tahu yang ayah mereka kerja di luar negara,” jelasnya.

Pada saat beliau hampir berputus asa, sokongan ibu bapanya, termasuk arwah ibunya, serta pegawai penjara menjadi antara sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Kemudian tiba Hari Raya pada 2024.

Selepas beberapa kali menyambut Aidilfitri di penjara dengan hidangan seperti ketupat, rendang dan lemang, perhatian Encik NurHafidz kali ini tertumpu kepada chicken tenders dalam menu khas yang boleh dibeli keluarga untuk banduan.

Beliau meminta ibunya membeli 10 paket supaya dapat berkongsi dengan banduan lain.

“Orang lain tanya, tak nak rendang ke sebab Hari Raya? Tapi saya tengok chicken tenders macam lain,” katanya.

Pengalaman menikmati hidangan itulah yang menanam hasrat dalam dirinya untuk mencuba bidang makanan selepas dibebaskan.

Chicken tenders merupakan hirisan isi ayam tanpa tulang, daripada bahagian dada ayam, yang disalut tepung dan digoreng sehingga rangup.

Selepas dibebaskan, Encik NurHafidz segera mencari pekerjaan dan akhirnya mendapat peluang bekerja di sebuah kedai makanan Barat di Aperia Mall, Singapura.

Di situ, majikannya melihat potensi dalam dirinya dan kemudian menjadi rakan niaganya dalam membangunkan Last Bite Western, sesuatu yang dianggap Encik NurHafidz sebagai rezeki dan peluang yang tidak disangka-sangka.

Ketika mereka mencari hidangan yang boleh membezakan perniagaan itu daripada kedai makanan Barat lain, fikirannya kembali kepada hidangan yang pernah membuatnya menangis.

“Bos, apa kata kita jual chicken tenders?” cadangnya.

Menurut Encik NurHafidz, ketika itu belum banyak perniagaan di Singapura yang memberi tumpuan kepada chicken tenders, berbanding sajian Barat seperti chicken chop dan fish and chips.

“Ada masanya jualan kami hanya mencecah $100 atau $200 sahaja.”

Walaupun tidak mempunyai pengalaman memasak sebelum ini, beliau menghabiskan sekitar tiga bulan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk membuat kajian di Internet, membeli pelbagai bahan dan berkali-kali menguji resipi.

Adik-adiknya menjadi antara pengkritik terawalnya.

“Adik-adik saya sampai cakap, ‘Bang, dah. Ini dah okey. Kami rasa nak muntah sebab hari-hari makan tenders,’” katanya kepada Berita Harian di kedainya yang terletak di 5 Dover Crescent.

Hasil R&D itu kini menghasilkan hidangan utama mereka iaitu OG Buttermilk Tenders, $10.90 yang disajikan dengan kentang goreng, roti dan pilihan sos.

Ayam diperap semalaman dengan campuran sekitar 20 bahan dan rempah bagi memastikan isinya kekal lembut dan berjus sebelum disalut adunan tepung dan digoreng sehingga rangup.

Sos seperti Secret Sauce turut dihasilkan sendiri.

“Rangup, berjus dan rasanya itu penting. Kita kena pastikan ayam itu tidak kering. Perapan dengan buttermilk memang sangat penting,” katanya.

Selain chicken tenders, Last Bite turut memberi tumpuan kepada burger, termasuk LB Double Smash Classic Burger, $13.90 menggunakan roti brioche (roti yang sedikit manis) dan kepingan daging yang dipanggang sehingga berkerak di permukaan.

Namun, di sebalik membangunkan perniagaan itu ialah rutin harian yang menuntut pengorbanan.

Encik NurHafidz masih menetap di Johor Bahru dan berulang-alik ke Singapura setiap hari.

Beliau meninggalkan rumah sekitar 8.45 pagi dan selepas menutup kedai serta membuat persiapan bagi hari berikutnya, kadangkala hanya tiba di rumah sekitar 11 malam.

Jika anak-anaknya belum tidur, beliau akan membuat panggilan video dengan mereka.

“Bila saya rasa sedih atau hilang semangat, saya akan tengok gambar anak-anak yang saya jadikan wallpaper telefon. Merekalah motivasi saya untuk terus cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Dengan sambutan yang diterima setakat ini, beliau dan rakan niaganya berharap dapat mengembangkan Last Bite menjadi sebuah restoran dan membuka cawangan lain pada masa hadapan, dengan chicken tenders kekal sebagai produk utama.

Namun, meskipun perniagaannya hari ini mempunyai kaitan rapat dengan pengalaman di sebalik masa dalam penjara, Encik NurHafidz menegaskan penjara bukan pengalaman yang mahu dilaluinya sekali lagi.

“Jangan masuk penjara. Ia macam ‘neraka dunia’ bagi saya,” katanya.

Namun, beliau tidak menyesali sepenuhnya perjalanan tersebut.

“Saya tak sepenuhnya menyesal masuk penjara. Ia ajar saya cara hidup dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Bila dapat peluang, jangan lepaskan.”

Selain harapan perniagaan Last Bite sentiasa laris dan disambut baik, Encik NurHafidz berharap untuk meluangkan masa dengan anaknya dan untuk bagi mereka mencuba chicken tenders yang ‘menyelamatkan’ hidupnya.

Last Bite
Alamat: 5 Dover Crescent, Singapura 130005
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 10.30 pagi hingga 9 malam

Get therelocation-icon