Pilihan Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kekalkan warisan keluarga melalui hidangan kampung rentas generasi

Warung Selera Masakan Kampung tarik pelanggan dengan 50 lauk berbeza setiap hari
Oct 17, 2025 | 5:00 PM
Warung Selera Masakan Kampung, Nashibah Tahar, Encik Sufian Ahmad
Pemilik generasi kedua Warung Selera Masakan Kampung, Cik Nashibah Tahar, bersama suamiya, Encik Sufian Ahmad, yang juga merupakan tukang masak utama di dapur itu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dimasak dengan penuh kasih sayang, setiap hidangan di Warung Selera Masakan Kampung membawa makna yang mendalam.

Bukan sekadar mengisi perut, bahkan menyentuh jiwa pelanggan.

Bagi sebahagian pelanggan tetapnya yang sudah berusia, masakan kedai itu menjadi santapan terakhir sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.

“Ada pelanggan yang menelefon untuk menempah lauk kegemaran mereka, tanpa kami sedar itulah kali terakhir mereka menikmati masakan kami,” kata pemilik generasi kedua, Cik Nashibah Tahar, 43 tahun.

Warung yang diasaskan oleh ibunya, Cik Aini Amat, pada 1992 di Joo Chiat Complex, kekal menjadi lambang ketabahan serta jiwa keluarganya.

“Empat tahun lalu (2021) kami diberi peluang untuk mengembangkan kedai kami di Changi Road.

“Kami menerima cabaran itu demi meneruskan legasi perniagaan mak,” tambah Cik Nashibah.

Lokasi tersebut menarik pelbagai lapisan umur yang mencari hidangan seperti masakan di rumah.

“Kami dapat mengembangkan perniagaan kepada empat cawangan.

“Semua ini hasil berkat dan doa pelanggan orang ramai. Biasanya pelanggan warga emas yang banyak menyokong kami.

“Apabila kami buka cawangan baru, mereka sanggup datang walaupun sekali, semata-mata untuk menunjukkan sokongan,” luah Cik Nashibah.

Baginya, semangat dan amanah ibunya adalah kekuatan yang mengekalkan perniagaan keluarga itu.

“Saya anggap ini tanggungjawab dan warisan mak. Saya teruskan sebab rasa itu bukan milik saya seorang, tapi milik keluarga dan pelanggan kami juga,” katanya.

Bersama suaminya, Encik Sufian Ahmad, yang bertugas memasak sehingga 50 jenis lauk-pauk, mereka meneruskan tradisi masakan Melayu asli yang menjadi tarikan pelanggan pelbagai generasi.

“Ada yang tua, kami kenal juga anak dan cucu mereka. Jadi, kami mengenali tiga generasi dalam satu keluarga. Itu yang buat kami rasa seperti keluarga sendiri,” jelas Cik Nashibah.

Apabila diminta berkongsi kisah yang paling menyentuh hati, beliau berkata:

“Ada seorang kakak yang menghidap barah. Deria rasanya sudah hilang.

“Suaminya memesan lauk kami, dan katanya itulah kali pertama arwah dapat makan dengan selera selepas sekian lama.

“Beberapa hari kemudian, suaminya datang semula ke kedai dan beritahu isterinya telah meninggal dunia.”

Selama lebih tiga dekad, Warung Selera Masakan Kampung mengekalkan keaslian rencah dan rasa.

“Ibu mentua saya memang tak bagi guna bahan beku. Ikan, udang semua mesti segar.

“Orang tua boleh tahu kalau ikan itu tidak segar. Kami jaga mutu makanan, sebab itu adalah prinsip mak yang diturunkan,” jelas Encik Sofian.

Kini warung itu menawarkan sekitar 50 jenis hidangan yang ditukar setiap hari.

“Isteri saya selalu memeriksa rasa lauk, sebab dia ikut tekak maknya. Saya hormat, sebab resipi semua daripada maknya,” tambah Encik Sofian.

Antara lauk terkenal termasuk Nasi Rawon, Lemak Cili Ikan, Siput Sedut Lemak dan Sotong Hitam, hidangan yang menjadi kegemaran harian ramai pelanggan.

Namun, dua menu yang juga menjadi sebutan pelanggan ialah Laksa Siglap dan Laksa Penang.

“Resipi Laksa Siglap berasal daripada nenek saya.

“Dulu beliau tinggal di Kampung Amber, kemudian pindah ke Kampung Siglap.

“Beliau bekerja dengan keluarga yang terkenal dengan Laksa Siglap dan belajar resipinya.

“Kini, orang kampung lama datang ke sini apabila rindu rasa itu,” cerita Cik Nashibah.

Laksa Siglap menggunakan mi khas dikenali sebagai laksa cap, yang diperbuat daripada kanji ubi dan tepung beras.

Mi laksa cap tebal, lembut, sedikit kenyal, dan kini semakin jarang ditemui.

Kuahnya pula ringan tetapi berperisa.

Ia dihidangkan bersama timun segar, tauge rangup, daun laksa dan sambal yang menyeimbangkan kepedasan.

Menurut Encik Sufian, Laksa Siglap lebih sukar dihasilkan berbanding Laksa Penang kerana kuahnya menggunakan pelbagai jenis kelapa seperti santan dan kelapa parut.

Jika terlebih kelapa, kuah mudah basi.

Sementara itu, Laksa Penang menonjol dengan kuah yang kaya dengan rasa ikan dan menyegarkan.

Ia menggunakan ikan kembung dan sardin sebagai asas kuah, dihidangkan bersama timun, bawang merah hiris, nanas cencang, bunga kantan, daun kesum dan cili merah segar.

Kedua-dua jenis laksa itu dijual pada harga $4.50.

Pasangan itu berhasrat mengembangkan perniagaan kepada katering majlis perkahwinan.

“Biasanya orang kahwin ada nasi beriani, tapi jarang ada nasi campur.

“Dari segi perkembangan kedai, empat cawangan dah cukup buat masa ini,” jelas Encik Sofian.

Setiap hidangan bagi semua empat cawangan dimasak di kedai utama yang terletak di Changi Road sebelum dihantar ke cawangan lain.

“Mak mentua selalu kata, masakan Melayu tidak boleh sekat rencah. Kalau sekat dah hilang rasanya.

“Oleh itu sampai sekarang kami masih tumbuk sendiri serai, lengkuas dan bawang.

“Apabila buat sendiri, baru ada wangi dan rasa yang benar-benar ‘kampung’,” jelas Encik Sofian.

Warung Selera Masakan Kampung
Alamat: 60 Changi Road, Singapura 419712
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 8 pagi hingga 4 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg