Lempeng atau pankek kentang yang digoreng rangup dan dikenali sebagai rosti di Switzerland kini boleh dinikmati pekerja di kawasan Amoy Street.
Ini susulan pembukaan Rostii, kedai makanan halal milik seorang Muslim yang menyediakan sajian Barat.
Ia menampilkan konsep unik yang jarang ditemui, dengan sajian rosti yang rangup di luar, namun tetap lembut di bahagian dalamnya.
Pankek itu turut disajikan bersama pelbagai gabungan bahan tambahan.
Lokasi kedai yang strategik, bertepatan dengan keperluan pekerja pejabat di kawasan sekitar, yang sentiasa mengejar masa, menjadikan Rostii sebagai destinasi menarik bagi mereka yang inginkan sajian ‘cepat’, ringkas, tetapi tetap mengenyangkan.
Terletak di 135 Amoy Street, Rostii ialah konsep terkini daripada Encik Isrudy Shaik, yang juga pemilik restoran daging salai terkenal, Asap & Co, di Telok Ayer.
Kedai itu mampu memuatkan sehingga 20 pelanggan pada satu-satu masa.
Rostii mengetengahkan menu berasaskan rosti.
Walaupun hidangan itu agak asing dalam kalangan masyarakat tempatan, Encik Isrudy, percaya rosti mempunyai potensi besar untuk diterima ramai.
Beliau mula bereksperimen dengan resipi rosti seawal 2009, ketika memasak secara santai di rumah untuk keluarga dan rakan-rakan melalui kegiatan jamu selera yang dipanggil, Rosti Party.
“Saya mula buat rosti lebih 10 tahun lalu, sekadar bereksperimen di dapur.
“Tapi bila saya tengok tidak ramai yang jual, apatah lagi versi halal, saya nampak satu jurang besar yang boleh saya isi,” luahnya.
Menurut beliau dalam pasaran hari ini, tidak banyak tempat yang menawarkan rosti versi halal.
Baginya, ini bukan sahaja satu peluang dari sudut perniagaan, bahkan juga demi menjadikan makanan antarabangsa yang jarang didapati halal lebih mampu dinikmati pelanggan Muslim.
“Saya ingin masyarakat kita rasa macam, ‘Eh, akhirnya saya boleh makan sajian ini (rosti)’, dan pada masa yang sama boleh nikmati bersama rakan sekerja yang bukan Melayu atau beragama Islam,” katanya.
Sebelum membuka kedai tetap di Kawasan Pusat Bandar (CBD) itu, Rostii mula diperkenalkan kepada umum menerusi penyertaan di acara dagangan, Boutique Fair Singapore, pada 2024.
Acara itu merupakan paparan gaya hidup eksklusif yang menampilkan jenama runcit dan makanan tempatan.
Sambutan yang diterima di sana membakar semangat Encik Isrudy dan isterinya, Cik Mariam Moni, untuk mengembangkan jenama itu secara lebih serius.
“Dari situ, kami nampak permintaan itu wujud.
“Ramai yang tertarik dengan sesuatu yang baru, yang lain daripada lain,” jelasnya.
Pada acara tersebut, pelanggan sanggup beratur dan menunggu antara 30 dengan 45 minit untuk menikmati rosti mereka.
Kini, Rostii beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dan menyajikan aneka rosti.
“Kami menggunakan sekitar 20 kilogram kentang Russet (dengan kandungan kanji yang tinggi) dari Idaho, Amerika Syarikat setiap hari.
“Kentang ini diparut dan dimasak segar bagi memastikan tekstur luar yang rangup dan bahagian dalam yang lembut,” jelasnya tentang proses menghasilkan hidangan kentang itu.
Setiap hidangan direka untuk menepati konsep grab and go (ambil dan pergi).
Ia mudah, pantas dan sesuai dinikmati dalam suasana kerja yang sibuk.
Antara hidangan yang paling digemari ialah, Classic Rostii, yang menyerlah dengan teksturnya yang tebal, rangup dan berwarna keemasan di luar.
Ia kekal lembap dan empuk di dalam dan sudah cukup enak dimakan begitu sahaja atau dengan sour cream (krim masam) di sampingnya.
Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih mengenyangkan, Smoked Salmon Rostii, berharga $12 ialah pilihan klasik yang tidak mengecewakan.
Salmon salai yang masin secara semula jadi digandingkan dengan sour cream yang memberikan rasa masam yang segar.
Ia menampilkan rasa seimbang, menjadikan hidangan itu ringan dan tidak menjelakkan pelanggan.
Chicken Herb Sausage Rostii, ($12) pula menawarkan rasa yang lebih ringan dan mudah diterima ramai.
Sosej ayam bermutu yang diperap dengan herba disajikan di atas rosti, menjadikannya pilihan sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang turut mesra kanak-kanak.
Salah satu pilihan paling unik ialah Beef Gochujang Rostii, ($12), yang menggunakan potongan kecil daging seperti wagyu atau angus.
Potongan itu dicencang halus dan dimasak bersama kuah gochujang (sejenis pes pedas dalam masakan Korea, yang diperbuat daripada cili merah, kacang soya yang diperam, beras dan garam).
Ia disebatikan dengan daging lembut, kaya dengan rasa masin dan sedikit pedas manis.
“Daging yang kami pakai memang bermutu.
“Kami cencang daging itu dan campur dengan kuah gochujang, lantas mengekalkan rasa premium,” kata Encik Isrudy.
Sementara itu, Smoked Wagyu Brisket Rostii, ($15), menampilkan brisket wagyu yang dimasak perlahan dan disalai selama lebih 12 jam, menggunakan kayu jenis ceri dan hickory.
Hasilnya ialah daging yang sangat lembut dengan aroma salai.
Ia disajikan bersama sos barbeku yang memberikan dimensi rasa yang lebih kompleks.
“
Saya mula buat rosti lebih 10 tahun lalu, sekadar bereksperimen di dapur. Tapi bila saya tengok tidak ramai yang jual, apatah lagi versi halal, saya nampak satu jurang besar yang boleh saya isi... Saya ingin masyarakat kita rasa macam, ‘Eh, akhirnya saya boleh makan sajian ini (rosti)’, dan pada masa yang sama boleh nikmati bersama rakan sekerja yang bukan Melayu atau beragama Islam.Isnin hingga Jumaat 9 pagi hingga 3 petang, 5 petang hingga 7 malam. Sabtu 9 pagi hingga 3 petang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg