Pada 2013, Cik Suryanie Ismail mula membuat takoyaki sendiri apabila mengidam makanan ringan Jepun itu semasa hamil.
Apa yang bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB) kini berkembang menjadi Yummy Takoyaki, sebuah jenama terkenal dengan takoyaki atau bebola yang diisi pelbagai inti, disokong oleh pelanggan setia selama 10 tahun.
“Semasa kehamilan pertama, saya ‘tergila-gilakan’ takoyaki.
“Saya menonton banyak video dan bereksperimen dengan resipi tetapi tidak memakannya sendiri. Lebih memuaskan melihat keluarga saya menikmatinya,” singkap Cik Suryanie.
Takoyaki buatannya mula mendapat perhatian di majlis keluarga dan sambutan Hari Raya, sehingga membawa kepada permintaan tempahan.
Pada mulanya, Cik Suryanie, 43 tahun, mengimbangi kerja sepenuh masa sebagai eksekutif pengurusan projek dengan memenuhi pesanan takoyaki.
Selepas bersalin, beliau mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menjual takoyaki.
Namun, permintaan luar biasa daripada pelanggan mendorongnya untuk memulakan semula perniagaan tersebut.
Menyedari potensi perniagaan kecilnya, beliau memberanikan diri meninggalkan kerjayanya selama 10 tahun sebagai eksekutif pengurusan projek dalam industri pendidikan untuk membuka kedai Yummy Takoyaki di East Village pada 2015.
Keistimewaan Yummy Takoyaki terletak pada rasa unik dan komitmen terhadap mutu.
Bermula dengan inti klasik seperti sotong, udang dan ketam, menu itu kini diperluaskan dengan pilihan kreatif seperti Padi Corned Beef, Tuna Cili dan Keju Banjir – takoyaki yang diisi dengan keju dan disalut dengan sos keju yang menjadi kegemaran ramai.
Bagi penggemar hidangan manis, Yummy Takoyaki turut menawarkan Tako Tella – takoyaki berinti Nutella dengan tambahan sos coklat.
Melangkah lebih jauh, jenama itu baru-baru ini memperkenalkan Siri Boba, menampilkan minuman bubble tea atau teh buih seperti Teh Susu Coklat dan Karamel Coklat yang ditambah dengan pearls (bebola tepung ubi).
“Ketika mula-mula berniaga, saya ingin mencipta takoyaki yang mengenyangkan, padat dengan inti dan dilengkapi sos yang melimpah-ruah.
“Ketika itu, pilihan halal adalah terhad, dan saya melihat peluang untuk membuat sesuatu yang lebih baik,” kongsinya.
Kunci kejayaan sedekad Yummy Takoyaki terletak pada keupayaan Cik Suryanie untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan trend.
“Kekal relevan selama 10 tahun bukanlah mudah. Anda perlu sentiasa berkembang.
“Ini melibatkan penyegaran menu, pengenalan produk baru dan memastikan hubungan yang erat dengan pelanggan, termasuk di luar kedai fizikal,” katanya.
Penambahan seperti Keju Banjir dan Siri Boba Yummy menjadi contoh usaha beliau untuk kekal mendahului dalam pasaran yang berdaya saing.
Selain itu, penyertaan dalam pelbagai acara turut memainkan peranan penting dalam meluaskan jangkauan jenama.
“Berada di pusat beli-belah kejiranan, pesta sekolah dan acara korporat membolehkan kami memperkenalkan takoyaki kami kepada pelanggan baru, termasuk daripada pelbagai anggota masyarakat yang kini menjadi pelanggan setia.
“Melihat mereka datang ke acara semata-mata untuk mencuba takoyaki kami adalah pengalaman yang sangat menggembirakan,” ujar Cik Suryanie.
Salah satu inisiatif perniagaan itu ialah konsep pandu lalu, yang diperkenalkan untuk mengatasi cabaran tempat letak kereta di kawasan Arab Street.
Pelanggan boleh membuat pesanan 30 minit hingga sejam sebelumnya dan mengambilnya di tepi jalan berhampiran kedai.
Selain itu, Yummy Takoyaki On Wheels, memperkenalkan khidmat, live station – kaunter makanan panas – untuk menyediakan takoyaki baru dimasak di acara seperti majlis perkahwinan, sekali gus meluaskan lagi jangkauan jenama.
Perjalanan itu bukan tanpa cabaran.
Menyempurnakan resipi yang halal memerlukan penyelidikan dan pembangunan yang meluas, kerana resipi Jepun biasanya menggunakan bahan tidak halal, kata Cik Suryanie.
Sepanjang bertahun-tahun, Cik Suryanie telah memperhalusi adunannya secara berterusan untuk mendapatkan ketekalan dan tekstur yang sempurna, bagi memastikan ia kekal bermutu tinggi.
Baginya, sebagai peniaga, penting untuk terus menyesuaikan diri dan berinovasi.
“Jika anda tidak berubah, anda berisiko menjadi tidak relevan.
“Keutamaan pelanggan sentiasa berkembang, dan sebagai pemilik perniagaan, anda perlu sentiasa bergerak mengikut aliran untuk memenuhi keperluan mereka,” jelas Cik Suryanie.
Memandang ke hadapan, Cik Suryanie bercita-cita untuk membuka sebuah kedai makan agar pelanggan dapat menikmati takoyaki segar.
“Perubahan adalah kunci untuk kekal relevan.
“Dapatkan restu dan sokongan daripada keluarga, kerana itu akan membantu anda bertahan, walaupun di saat-saat sukar,” nasihatnya kepada mereka yang berhasrat untuk mengorak langkah lebih besar dalam dunia perniagaan.
Alamat: 6 Jalan Pisang, Singapura 199073
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 6.30 petang
Isnin hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 6.30 petang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg